Bila admin mendapat panggilan dari Hong Leong Yamaha untuk menguji Yamaha Super Tenere 1200, timbul rasa teruja bercampur risau kerana ia bukan sebuah motosikal biasa-biasa. Motosikal kembara sebenar ini direka Yamaha dengan kapasiti tangki bahan api 23 liter yang sangat sesuai untuk perjalanan jarak jauh, menjadikan motosikal ini sesuai untuk menjelajah ke seluruh ceruk Malaysia. Ia bukan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan perjalanan jarak jauh. Saiznya yang besar dan berat memerlukan tenaga pengendali yang lebih dari biasa untuk menegakkan ia ketika statik dan mengawalnya ketika tunggangan perlahan. Bagi admin yang saiz badan hampir sama seperti tiang lampu isyarat, jangan haraplah dapat menolak motosikal ini di atas jalan yang tidak rata…berpeluh kome!
Bermula sahaja perjalanan, keselesaan dirasai ketika meluncur di jalan raya terbuka. Tempat duduk yang lebar memang selesa untuk anda dan penumpang meluangkan masa bagi perjalanan yang lama. Terdapat banyak ruang bergerak untuk ke depan atau ke belakang di tempat duduk bagi melegakan diri dan mencari keselesaan menunggang. Tiada tekanan atau kesakitan terutamanya pada bahu dan pergelangan tangan ketika mengendalikan motosikal ini.
Kadang-kadang perkara yang kecil benar-benar mendapat perhatian anda terutama di bar hendal seperti tuil klac. Dengan hanya dua jari pun ia benar-benar mudah dan selesa untuk menarik klac kerana ia mengunakan sistem hidraulik. Instrumen pada paparan meter direka dengan baik dan mudah dibaca semasa bergerak. Pelbagai meter bantuan perjalanan tersedia, dari bacaan jarak yang telah dilalui sehingga meter anggaran penggunaan bahan api. Untuk memasang aksesori seperti GPS atau telefon bimbit, soket 12V disediakan sebagai kelengkapan standard.
Yamaha Super Tenere jika dilihat secara fizikalnya adalah sebuah motosikal yang besar dengan berat mencecah 265kg. Pada mulanya ia kelihatan sedikit menakutkan apabila memikirkan jika kita berada bukan di atas jalan yang rata. Dengan saiz dan berat sebegini, hanya penunggang yang pakar dan biasa dengan motosikal sebegini sahaja yang mampu mengawalnya. Pengalaman penunggang sangat-sangat ditagih untuk mengendalikan Super Tenere 1200 ini.
Anda boleh memilih mod ‘T’ untuk “Touring” bagi memulakan perjalanan dan pengembaraan anda ke destinasi pelancongan atau tempat menjamu selera yang menarik. Atau jika anda berada dalam mood yang lebih agresif, petik sahaja suis untuk menukar mod enjin ke ‘S’ untuk “Sport” bagi karakter enjin yang lebih bertenaga. Serta merta anda akan merasakan perbezaan antara dua mod enjin ini. Jika anda ingin menunggang dalam keadaan santai semula, petik sahaja suis untuk kembali ke mod touring, sangat mudah.
Yamaha melengkapkan Super Tenere ini dengan enjin 2 silinder selari sejukan cecair 1,199cc. Saiz gerek (bore) 98mm dan lejang (stroke) 79.5mm dengan nisbah mampatan 11.0:1 menghasilkan 110hp pada 7,250RPM dan 117Nm di sekitar 6,000RPM. Enjin dua silinder ini diikat pada casis, tiada bingkai kerangka sokongan di bawah enjin. Saiz tayar hadapan adalah 110/80 dengan roda 19 inci dan tayar belakang 150/70 dengan roda 17 inci. Jarak antara roda adalah 1,540mm dan ketinggian tempat duduk 845mm, atau 870mm jika dilaras pada kedudukan paling tinggi. Ketinggian keseluruhan adalah 1,410mm dengan panjang 2,255mm serta lebar 980mm.
Secara tepatnya, anda mempunyai dua piston 600cc setiap satu dan ia meledakkan sejumlah besar tork dengan kuasa yang terkawal. Suntikan bahan api dikawal melalui fungsi Fly-by-Wire yang membolehkan ciri-ciri canggih yang membantu dalam mengawal motodikal ini diletakkan seperti fungsi Traction Control System yang membantu mengawal jumlah kuasa yang dihantar pada roda belakang ketika pendikit dipulas galak dan fungsi Auto Cruise yang sangat berguna ketika perjalanan di jalan lurus yang panjang seperti lebuhraya.