ENJINDOTCOM pernah menguji pandu jentera SUV ini daripada keluarga yang sama iaitu Volvo XC60 T5. Uji pandu ini memberikan pengalaman yang menarik daripada segi pemanduan, keselesaan dan ciri-ciri keselamatan kenderaan ini yang telah lama terbukti. Agak lama juga kami menunggu peluang untuk menguji model T8 ini dan Volvo Cars Malaysia telah memberi jentera dengan teknologi hibrid ini untuk kami uji dengan kesesuaian penggunaan harian dan untuk perjalanan jauh lebih-lebih lagi semasa melancong yang menjadi keutamaan dalam setiap sesi uji pandu ENJIN DOTcom. Unit yang diuji adalah varian hibrid plug-in XC60 T8 Inscription Plus. Perbezaan utama pada varian T8 Inscription ‘biasa’ ialah sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara. Lantunan bunyi yang padu dan mengasyikkan.
Apa yang menariknya kali ini adalah, Volvo XC60 T8 ini hadir dengan varian enjin berkembar. Sebenarnya ia bukan mesin dengan dua enjin, sebaliknya ia dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter 316 bhp dengan induksi paksa “supercharge” dan “turbocharge” yang menggerakkan roda hadapan dan ditambah pula dengan motor elektrik 86 bhp yang menggerakkan roda belakang. Gabungan ini memberikan jentera Volvo XC60 T8 ini kuasa sebanyak 402 bhp! Oleh kerana ia adalah kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dengan bateri, dalam keadaan cas penuh, ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 45 kilometer.
Kami di ENJINDOTCOM seperti biasa tidak terlalu fokus kepada aspek teknikal semata-mata untuk menguji kenderaan ini. Apa yang penting adalah keselamatan, keselesaan dan keupayaan jentera ini di jalan raya untuk kegunaan harian, gaya hidup dan aktiviti melancong. Kali ini admin sempat ke Bandaraya Ipoh dan Kuala Sepetang di Taiping, Perak. Sengaja admin bawa penumpang untuk merasai sama pengalaman di dalam sebuah SUV mewah pertengahan ini. Hasilnya, ia mampu memberi keselesaan kepada semua penumpang. Dalam banyak-banyak SUV yang pernah admin uji, XC60 T8 agak lebar terutamanya apabila dilihat dari luar dan juga ketika memandu. Kadang-kadang terasa agak ngeri juga bila kita mencari tempat letak kenderaan di kawasan yang padat dengan kenderaan. Tetapi dengan bantuan kamera 360 darjah, ia amat mambantu pemandu untuk meletak kenderaan dengan selamat. Reka bentuk luarannya tak dinafikan agak mewah dengan bentuk lampu serta grill yang nampak tegap dan kemas terutamanya bahagian hadapan dengan lampu utama rekaan ala tukul Thor tetapi bahagian belakang XC60 T8 mungkin yang paling menonjol bagi admin kerana lampu belakang berbentuk L, salah satu pandangan paling menarik yang pernah admin lihat terutamanya pada waktu malam. SUV generasi kedua ini lebih panjang (+44 mm), lebih lebar (+108 mm) dan lebih rendah (-55 mm) daripada model terdahulu, menjadikannya salah satu SUV yang terbesar dalam kelasnya.
Menjenguk ke dalam XC60 T8 ini, ia begitu kemas dan mewah dengan kualiti buatan yang halus dan teliti bersesuaian dengan kategori segmen SUV pertengahan mewahnya. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan sangat selesa, dilengkapi dengan suis elektronik yang boleh diselaraskan mengikut cita rasa pemandu dan penumpang hadapan. Peningkatan keseluruhan saiz XC60 T8 ini telah memberi manfaat kepada bahagian dalam kabin menjadi bertambah selesa dan terasa lapang. Ruang kepala dan kaki belakang lebih dari cukup, kecuali bagi penumpang tengah yang harus berkongsi ruang dengan konsol tengah hadapan yang memanjang ke belakang, dan terowong tengah yang menempatkan pek bateri lithium-ion. Namun begitu, lubang pendingin hawa belakang diletakkan di tiang-B untuk penyejukan belakang yang lebih berkesan. Papan pemuka model XC60 lebih mirip dengan model sedan Volvo S90, berbanding XC90. Ciri dalaman XC60 T8 yang menarik perhatian adalah skrin sentuh Sensus 9 inci, seperti sebuah tablet yang besar, dan tuil gear kristal Orrefors yang bersinar pada waktu malam. Untuk model Inscription Plus, penambahan sistem audio Bowers & Wilkins semestinya menyenangkan suasana di dalam kenderaan apabila muzik dialunkan.
Sebilangan besar fungsi kenderaan, kecuali untuk mod pemanduan, kawalan audio dan kawalan pelayaran, terdapat dalam sistem Sensus. Ini menjadikannya sebuah SUV pertengahan yang memberi saingan hebat kepada Mercedes-Benz GLC, Audi Q5 dan BMW X3, tetapi Volvo terasa sangat berbeza di dalamnya. Hiasan dalamannya juga terasa mewah kepada sesiapa yang memasukinya apatah lagi yang memandunya. Model terdahulu bukan sahaja antara kereta terlaris Volvo, tetapi juga kenderaan SUV dalam kategorinya yang paling laris di Eropah.
Sebagai varian T8, XC60 ini menggunakan enjin Drive-E bersesaran 1,969 cc, 16 injap, empat silinder dengan pengecas turbo dan supercharger iaitu pengecas berkembar. Enjin ini ditala untuk menghasilkan 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm pada 2,200 – 5,400 rpm. Oleh kerana model ini juga varian “Twin Engine”, ia memiliki tambahan 87 hp dan 240 Nm daripada motor elektriknya. Apabila digabungkan kedua-dua unit kuasa ini, ia memberikan XC60 407 hp dan 640 Nm. Ini membolehkannya memecut daripada 0-100 kmj dalam masa 5.3 saat, catatan masa dalam wilayah ‘kereta pantas’. Enjin petrolnya memacu roda hadapan sementara motor elektrik menggerakkan roda belakang dan kuasa ini dikendalikan oleh transmisi automatik 8 kelajuan daripada Aisin. Dengan pek bateri 10.4 kWh, XC60 T8 mampu bergerak sejauh 45 kilometer dalam mod elektrik penuh.
Secara keseluruhannya buat admin, Volvo XC60 T8 ini cukup selesa, sesuai dengan jenama Volvo. Peminat-peminat kenderaan jenama ini akan faham dengan kualiti pembuat kenderaan terkenal ini, tambahan pula ia bukan lagi Volvo dengan reka bentuk dahulu. Ia penuh dengan kemewahan dan kejutan baik luaran atau dalaman, serta kuasa jenteranya. Sebuah SUV yang akan membuatkan anda tersenyum apabila memandu sepanjang perjalanan samada secara sendirian atau bila membawa keluarga dengan selamat.