UMW TOYOTA MULA AMBIL TEMPAHAN UNTUK TOYOTA RAV4 SERBA BARU

UMW Toyota Motor mengumumkan akan mula mengambil tempahan bagi model yang dinobat sebagai pemenang Japan Car of the Year 2019, Toyota RAV4 pada 10 Jun 2020.

Dengan rekaan baru sepenuhnya, Toyota RAV4 kini menawarkan pemanduan yang selamat dan selesa, dengan kuasa dan ketelitian sebuah Sport Utility Vehicle (SUV) premium.

Dari generasinya yang kelima, Toyota RAV4 serba baru ini dibangun menggunakan Dynamic Force Engine serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang memberikan tahap prestasi dan kuasa dipertingkat serta pengalaman pemanduan yang lebih baik untuk memenuhi jangkaan dan keperluan pelanggan hari ini.

SUV Premium ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan maju Toyota Safety Sense yang terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.

RAV4 serba baru ini juga dilengkapi pintu belakang dengan sensor gerak kaki dan beberapa ciri lain yang menjadikan penawarannya sebagai yang terbaik dalam segmen SUV mesra penumpang.

Toyota RAV4 serba baru datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Terdapat dua varian ditawarkan — 2.5L dan 2.0L dengan harga atas jalan masing-masing ialah RM223,880 dan RM203,880 (sebelum harga baru dengan pengecualian cukai jualan). Senarai harga yang dikemaskini akan diumumkan tidak lama lagi untuk mengambil kira pengecualian cukai jualan dan masing-masing dijangka akan dijual pada harga RM215,700 dan RM196,500. Untuk maklumat lanjut berkaitan Toyota RAV4 serba baru, layari laman web toyota.com.my.