TRIUMPH STREET TWIN 900 BAGI PENGEMAR GAYA RETRO

Sesuatu yang ringkas dan mudah tak semestinya tidak menarik untuk kita gunakan. Ini terpakai juga untuk motosikal yang kita tunggang dalam jarak dekat atau jauh yang kadang kala dibawa ke destinasi menarik  sepanjang perjalanan kita. Ada yang memilih tunggangan secara agresif, ada yang suka secara santai. Terpulang kepada cara masing-masing dalam mencari kepuasaan peribadi apabila menunggang jentera pilihan yang tidak semuanya tertumpu kepada kelajuan semata-mata. Antara jentera selesa pilihan admin untuk perjalanan tenang dan santai adalah Triumph Street Twin 900 ini, ringkas dan mudah. Reka bentuknya mengembalikan gaya retro zaman dulu yang ringkas, cuma hidupkan jentera dan terus jalan tanpa perlu memikirkan segala gajet elektronik yang banyak terdapat pada motosikal moden masa kini. Ia adalah jentera yang dapat anda tunggang di lebuh raya atau jalan pedalaman sambil menikmati setiap pengalaman semasa menunggang di sepanjang perjalanan anda. Kadang-kadang kita leka dan tak dapat menikmati perjalanan kita jika kita menunggang dengan kelajuan cahaya ke destinasi kita. Tau-tau sampai dan perjalanan kita hanya mendapat keseronokan sementara dan lelah, hingga tercicir semua pengalaman menarik di sepanjang jalan. Tetapi, bila menunggang dengan jentera santai seperti ini kita dapat mengawal perjalanan dengan selesa. Sesekali berhenti singgah di gerai tepi jalan dengan tenang sebelum meneruskan perjalanan, tanpa perlu tergesa-gesa.

Jika Triumph dapat mengurangkan lagi harga jentera ini sebagai produk mampu milik, pasti ia akan menarik lebih ramai peminat motosikal retro moden. Sebaik sahaja duduk di atas pelana dengan kelegaan dari tanah setinggi 750mm, kita akan segera sedar jentera ini lebih mudah ditunggang berbanding jentera Bonneville sebelum ini. Walaupun 10mm lebih tinggi berbanding T100 tetapi kita akan dapat rasakan kedudukan pelana ini agak rendah kerana saiz Triumph Street Twin 900 yang sedikit kecil dan tangki bahan api juga bersesuaian saiz model ini yang kecil. Bagi seorang penunggang yang bersaiz sederhana atau kecil molek terutamanya wanita, mereka pasti akan sukakan jentera ini kerana kedua-dua belah kaki dapat diletakkan di atas tanah dengan selesa dan yakin. Pelana ini telah direka semula dengan lebih sesuai untuk penunggang yang sukakan perjalanan jauh manakala kedudukan tempat pemijaknya kini juga agak rendah, tetapi tidak sehingga mengurangkan kadar keseronokan ketika berada di selekoh. Anda masih mampu melayan setiap selekoh dihadapan anda dengan pernuh yakin, dengan bantuan tayar Pirelli Phantom Sportcomp.

Triumph Street Twin 900 ini dilengkapi dengan enjin kembar selari yang tidak begitu terasa gegarannya walaupun ia ditarik mencecah garisan merah. Reka bentuk tangkinya memang baik, cermin sisi berbentuk bulat dan tidak bergegar. Penukaran gear cukup sempurna, menyamai kualiti jentera-jentera Jepun. Ia cukup lembut, kita tidak akan menghadapi banyak masalah untuk memecut di sepanjang perjalanan, arahkan sahaja ke mana kita hendak dan jentera ini akan mengikut arahan dengan tepat dan sempurna. Enjin dengan kuasa maksimum 54bhp pada 5,900rpm, Triumph Street Twin 900 menawarkan kuasa tork 18% melebihi model lama iaitu 80Nm pada 3,230rpm.

Triumph Street Twin 900 ini tidak dilengkapi dengan meter penunjuk rpm melainkan satu meter kelajuan analog dengan beberapa info lain yang berada dalam paparan digital. Ini baru retro! Ia menggunakan kotak gear lima kelajuan yang mempunyai nisbah yang agak luas. Ketika berada di laluan lurus jalan-jalan luar bandar Kuala Lumpur, jentera ini mampu mempertingkatkan kelajuan sehingga mencecah 170km/j dalam gear tertinggi dan paling mengujakan, tiada sebarang masalah untuk mencapai kelajuan ini.

Terdapat dua mod tunggangan, “Street” dan “Rain”. Admin merasakan lima gear sahaja tidak mencukupi buat jentera ini tetapi kotak gear Triumph Street Twin 900 ini terasa ringan dan memberi respon secara langsung terhadap penunggang, terutamanya ketika digunakan dalam kepantasan santai. Walaupun begitu, Triumph Street Twin 900 ini bukan sebuah jentera untuk dipecut laju tetapi lebih sesuai pada kelajuan sekitar 110-130km/j, sesuai dengan perwatakan retronya yang serba ringkas.