Jika kita peminat kereta bersaiz kecil atau kompak, tentu kita biasa mendengar atau melihat model-model seperti Toyota Starlet, Daihatsu Charade, Suzuki Swift dan berbagai lagi. Salah satu jentera yang tak kurang hebatnya bagi kaki ubah suai kenderaan dan litar lumba ialah Suzuki Swift dan pihak ENJIN DOTcom berpeluang berjumpa dengan salah seorang pemilik jentera ini.
Keinginan untuk mencuba sesuatu yang berlainan adalah faktor utama saudara Jai menyiapkan sebuah lagi jentera mainan beliau untuk litar lumba. Gelaran bagi keretanya itu ialah #theblackie dimana setiap keretanya ada nama manja. Sweet kan?
Minat yang mendalam semenjak di bangku sekolah telah mendorong beliau untuk bergiat aktif dalam sukan permotoran negara. Suzuki Swift Cultus keluaran tahun 1990 ini menjadi model terbaru saudara Jai untuk beraksi di litar. Model ini dikuasakan dengan enjin twin cam bersesaran 1300cc. Buat masa sekarang enjin tersebut masih di dalam keadaan standard dan pihak ENJIN DOTcom mendapat perkhabaran, pelbagai sentuhan dan naik taraf sudah mula dirancang dan dibuat untuk memberi saingan kepada kereta model baru yang jauh lebih bertenaga berbanding kereta beliau.
Bagi ruang dalaman pula, ia masih dikekalkan dengan kelengkapan asal Suzuki Swift Cultus. Hanya tempat duduk pemandu ditukar kepada BRIDE full bucket seat dan stereng deep dish jenama Sparco menggantikan yang asal.
Ujar Jai, dia mahu martabat kereta kompak sentiasa mendapat perhatian ramai. Janganlah dipandang sepi kereta model lama ini kerana ia sangat berpotensi besar untuk beraksi dan bersaing serta masih gagah dan utuh untuk digunakan di jalan raya kita.
Dimana ada kemahuan, disitu ada jalannya. Nantikan kemunculan kereta ini di litar serata Malaysia.
-Mr. Stick-