SKUTER POPULAR YAMAHA KEMBALI DENGAN CIRI SERBA BAHARU – AEROX155

Yamaha telah mengegarkan lagi dunia permotoran tempatan bagi pasaran skuter dengan melancarkan model baharu Yamaha Aerox 155 2021 di Indonesia dengan kuasa enjin 15hp dan tork 13.9Nm. Macam menarik kan? Reka bentuk Aerox 155 2021 lebih menarik, ditambah dengan beberapa ciri baharu.

Skuter popular ini lebih dikenali sebagai NVX bagi pasaran Malaysia dan Aerox 155 2021 muncul dengan reka bentuk lampu hadapan berlainan, malah ia digerakkan dengan enjin serba baharu. Hadir dengan paparan digital, kini skuter ini boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi Y-Connect.

Menerusi siaran video semasa pelancaran secara “streaming” yang disiarkan secara langsung itu, Yamaha Indonesia mendedahkan bahawa Aerox baharu dikuasai dengan enjin 155cc DOHC VVA ini menghasilkan 15.2hp pada 8,000rpm dan 13.9Nm pada 6,500rpm. Selain daripada itu, kapasiti tangki bahan api juga telah ditingkatkan kepada 5.5 liter berbanding 4.6 liter sebelum ini, sesuai untuk perjalanan yang lebih jauh dengan selesa.

Model baharu ini masih lagi mengekalkan penggunaan brek cakera depan dan dram belakang, fork teleskopik, pengecas USB dan rim 14 inci seperti model terdahulu.

Aeorx 155 2021 ini datang dengan dua varian yang ditawarkan di Indonesia antaranya dengan model ABS dan tanpa ABS. Bagi varian ABS ia ditawarkan pada harga IDR29 juta (RM8,204) dengan pilihan warna Prestige Silver dan Maxi Signature Black. Diharap bagi pasaran Malaysia, ia akan muncul tidak lama lagi.