SALAH SATU JENTERA ADVENTURE GT YANG MENARIK DARI TRIUMPH

Segmen motosikal “adventure” di pasaran Malaysia telah berkembang dengan baik ditambah pula dengan aktiviti pengembaraan di jalan raya dan di pedalaman melalui jalan lasak, dimana kegunaannya lebih meluas daripada sebuah jentera “supersport”. Pengeluar motosikal kini berlumba-lumba melancarkan pelbagai jenis jenama dan kuasa enjin dari serendah 150cc yang biasa kita nampak di atas jalan. Jentera “adventure” menjadi antara jentera impian kaki-kaki pengembaraan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di serata dunia. Pengalaman menguji berbagai jenama jentera baik dari Jepun atau Eropah menambahkan pengalaman menarik kepada setiap jentera yang diuji, masing-masing ada kelebihannya. Antara jentera yang admin telah lama perhatikan ialah Triumph Tiger 2020 ini. Sejak model terdahulu lagi iaitu Triumph Tiger 800, model ini semakin menempa nama di kalangan peminat motosikal “adventure” di Malaysia. Reka bentuknya yang menarik, keupayaan enjin yang bertenaga, posisi menunggang yang selesa seperti jentera “adventure” yang lain dan mudah dikawal di atas jalan raya atau di jalan permukaan tanah yang mencabar kemahiran setiap penunggang, membuatkan ia “cukup syarat” sebagai sebuah jentera motosikal lasak “adventure”. Triumph Tiger 900 GT terbaharu selain Tiger Rally Pro yang lebih agresif, adalah taruhan terkini dari Triumph. Ia adalah jentera pengembaraan untuk meneroka setiap permukaan jalan raya atau sesekali ke kawasan pedalaman dengan mudah dan menyeronokkan. Itu pasti, bukan capati! Triumph Tiger 900 GT Pro dengan reka bentuk yang lebih menarik, moden, lebih ramping dan kemas, diseimbangi dengan kehalusan dan perwatakan sebuah GT Adventure. Membawa anda meluncur di bandar dengan bergaya dan di kawasan tanah berdebu dengan lancar. 

Pengalaman ringkas admin yang sempat ke Gopeng, Perak, menunggang ke tempat tumpuan sukan lasak aktiviti air dan perkhemahan yang kebetulan semasa itu selepas hujan dan jalan dipenuhi air dan berlumpur. Keadaan ini digunakan sebaiknya untuk menguji suspensi hadapan “upside down” Marzocchi 45mm dan suspensi belakang juga dari Marzocchi yang boleh diselaraskan sepenuhnya, dan merasai sendiri perjalanan seperti ini di jalan yang sempit, berlopak serta berbukit. Adakala terpaksa melalui bukit yang curam serta berselisih dengan lori besar dan keadaan ini cukup mencabar kerana hanya ada ruang yang sedikit sahaja untuk dilalui sambil mengimbangi badan dan jentera dengan baik ketika itu. Brek hadapan cakera terapung 320 mm dengan kaliper monoblock 4-piston Brembo Stylema dan brek belakang cakera 255 mm kaliper piston tunggal Brembo dengan ABS banyak membantu dalam perjalanan admin. Apa yang menarik dengan Triumph Tiger GT Pro ini tidak begitu berat seperti model sebelumnya. Ia terasa ringan bila ditunggang dan mudah diimbang. Meredah lopak air yang dalam pun mudah bagi motosikal ini walaupun ia tidak menggunakan tayar seperti yang terdapat pada model Triumph Rally dan Triumph Rally Pro yang lebih besar dan sesuai untuk jalan “off-road” yang lebih mencabar dan lasak. Sebenarnya jentera sebegini lebih seronok sesekali diberi cabaran dari kebiasaan kerana ini adalah “habitat” semula jadinya dan anda boleh menjadi “ketagih” dengan cabaran ini. Kuasa enjin? Tidak perlu risau. Pulas sahaja pendikit dan ia akan terus menerjah kehadapan dan enjin tiga silinder sebaris 888 cc dengan kuasa maksimum 94 bhp pada 8,750 rpm dan tork maksimum 87 Nm pada 7,250 rpm pun tidak terasa terlalu panas walaupun perjalanan agak lama dan jauh yang disokong dengan tangki bahan api 20 liter. Jentera ini jangan disangka lemah di lebuh raya. Ia umpama menembak peluru dari senjata dan dengan dilengkapi “quick-shifter” ia seolah sebuah model “supersport”, tetapi dalam kedudukan menunggang tegak… Anda rasa admin ada masa nak fikir kekurangan jentera ini? Untuk sebuah jentera “adventure” bersesaran 900 cc, ia berbaloi dan mampu bersaing dengan jentera-jentera lain dalam segmen yang sama. 

Triumph menghasilkan Tiger 900 lebih ringan dan lebih ramping daripada 800 bersama dengan pusat graviti yang lebih rendah menjadikan casis ini lebih mudah dikendalikan. Terdapat dua tahap ketinggian tempat duduk yang boleh dilaras dengan cepat antara dua ketinggian – 31.9 inci dan 32.7 inci. Admin suka dengan fungsi ketinggian boleh diubah ini kerana kaki dapat memijak dengan rata mengikut ketinggian tetapi untuk perjalanan yang lebih jauh, kedudukan yang lebih tinggi memberi ruang kaki yang lebih sedikit dan selesa. Mudah bagi penunggang bila ada pilihan sebegini. Pilih je mengikut kesesuaian perjalanan, kedudukan lebih rendah di jalan berselekoh dan kedudukam lebih tinggi ketika di jalan raya lurus. 

Empat mod tunggangan standard dan satu mod yang boleh disesuaikan mengikut penunggang menjadikan Triumph Tiger 900 GT Pro 2020 sebagai motosikal serba boleh. Tiga mod yang yang ada pada GT Pro — Sport, Road, dan Rain — ditambah mod Off-Road, serta mod Rider untuk keperluan peribadi penunggang. Ketiga-tiga mod jalanan semuanya mempunyai tetapan ABS. Triumph Tiger 900 GT Pro mempunyai kelebihan dengan “quickshifter” naik / turun untuk penukaran gear bebas klac yang mudah tetapi adakah fungsi ini benar-benar diperlukan pada motosikal pengembaraan? Mungkin tidak, tetapi Triumph Tiger 900 mempunyai fungsi ini. Seronok juga menggunakan fungsi “quickshifter” ini ketika menunggang secara agresif, tetapi admin juga ada cuba menggunakannya ketika masuk dan keluar dari kawasan pedalaman jalan raya yang lengang dengan agresif melayan selekoh-selekoh dengan lancar. Sekiranya rpm turun terlalu rendah, fungsi “quickshifter” kadang-kadang rasa terganggu, tetapi perkara ini boleh diatasi dengan kemahiran penunggang. 

Harga yang ditawarkan oleh Triumph Motorcycle Malaysia (FastBike) untuk Tiger 900GT Pro ialah RM82,000.00, tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan. Bersesuaian dengan pakej yang diberi, harganya agak berbaloi dengan motosikal serbaguna sebegini.