Kuala Lumpur, 17 Januari 2022 – BMW Group Malaysia telah mengumumkan usaha sama yang dijalin dengan Precious Plastic Malaysia, EV Connection, dan Pentas Flora di bawah inisiatif RE:GENERATE, yang bermatlamat untuk membangunkan solusi-solusi lestari yang efektif di peringkat organisasi untuk menangani isu pencemaran dan perubahan iklim.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia mengambil peluang untuk menyatakan, “Soalan yang kita harus jawab pada saat ini adalah bagaimana teknologi dapat membantu memperkayakan hidup kita secara berterusan, dan pada masa yang sama, meminumkan atau menyingkirkan sama sekali kesan negatifnya terhadap alam sekitar. Menerusi inisiatif RE:GENERATE, kami sedang menyuarakan aspirasi syarikat induk kami untuk mengecapi neutraliti iklim secara mutlak menjelang 2050 – berserta dengan hasrat agar pencapaian tersebut melibatkan seluruh rantaian nilai kami, dari bahan mentah, produksi, serta komponen-komponen yang telah tamat kitar hayatnya.”
Tambah beliau, “Di BMW Group Malaysia, kami sedar bahawa perubahan yang menyeluruh akan diperlukan untuk menangani isu alam sekitar yang mendesak, namun wujud isu-isu lazim di sekeliling kita yang masih dipandang enteng, misalnya pencemaran plastik, tatacara pengurusan sisa yang salah dan lain-lain. RE:GENERATE merupakan antara inisiatif yang kami akan ambil bagi menangani isu pengurusan sisa di peringkat organisasi; dan kami berbangga untuk melakukannya menerusi kerjasama dengan para penginovasi dan penggiat industri seperti Precious Plastic Malaysia, EV Connection, dan Pentas Flora.“
RE:GENERATE x Precious Plastic Malaysia.
Mencerminkan hala tuju berpaksikan solusi oleh BMW Group Malaysia, lebih 200 rakan sekutu sedang mengambil langkah proaktif dengan berganding bahu bersama Precious Plastic Malaysia – sebuah organisasi yang bermatlamat untuk memerangi pencemaran plastik dengan menukar dan mengitar naik sisa plastik kepada barangan yang boleh digunakan semula, untuk memberikan sisa plastik yang dikumpul dari pejabat, rumah dan tempat lain hayat kedua yang lebih bermakna.
Projek ini, yang telah dimulakan pada Oktober 2021 disertai oleh rakan sekutu dengan misi untuk mengitar naik sisa plastik menggunakan mesin Plastik Berharga untuk dijadikan perabot bagi komuniti orang asli. Perabot yang dihasilkan akan diletakkan di EPIC Learning Hub yang berfungsi sebagai sekolah bagi kanak-kanak orang asli di kawasan pedalaman.
RE:GENERATE x EV Connection.
Menerusi inisiatif yang pertama seumpamanya di BMW Group, BMW Group Malaysia telah bekerjasama dengan EV Connection untuk memperkenalkan program hayat kedua bagi bateri kenderaan elektrik (EV). Kerjasama ini akan menyaksikan bateri yang telah tiba di penghujung hayatnya diberi nafas baharu dalam bentuk pengecas kenderaan mudah alih. Inisiatif ini bermatlamat untuk mengubah mentaliti yang berpaksikan pengitaran semula sisa automotif kepada penggunaan semula, memberikan bateri ini hayat kedua yang lebih bermakna, yang juga menggalakkan pembangunan inisiatif lestari melalui perkongsian ilmu teknologi.
Pengecas mudah alih ini, direka dan dibangunkan oleh EV Connection – iaitu perintis dalam bidang solusi pengecasan EV, menampilkan penyongsang kuasa yang menukar arus terus (DC) daripada modul bateri kepada arus ulang-alik (AC) yang dapat digunakan oleh pengecas EV berkenaan. Bateri kenderaan elektrik yang ditamatkan penggunaan lazimnya memiliki sejumlah tenaga yang masih berbaki – sesuai untuk kegunaan berskala kecil sebagai pengecas mudah alih misalnya.
Menerusi usaha sama ini, BMW Group Malaysia membidik untuk menyalurkan semua bateri EV yang telah ditamatkan penggunaannya kepada EV Connection untuk meluaskan lagi keupayaan elektrifikasi bateri ini – termasuk sebagai pengecas EV mudah alih yang dapat membekalkan kuasa elektrik buat komuniti pedalaman.
RE:GENERATE x Pentas Flora.
Inisiatif pengitaran semula bahan pelincir antara BMW Group Financial Services Malaysia dan Pentas Flora bermatlamat untuk mengurangkan kegiatan pembuangan sisa yang tidak bertanggungjawab dengan menukar sisa penyenggaraan kenderaan – seperti minyak, pelarut, dan tangki IBC dram yang terpakai – kepada sumber tenaga yang boleh digunakan semula oleh industri automotif.
Inisiatif baharu ini merupakan program yang dijalankan secara berterusan di sebilangan pusat servis pengedar BMW yang bertauliah di seluruh Malaysia dan berfungsi untuk bukan sahaja menukar sisa penyenggaraan kenderaan secara langsung daripada sumbernya – tapi juga merangka garis panduan serta latihan buat para pengedar mengenai tatacara pengurusan sisa yang betul, berdasarkan DOE dan Standard Kelestarian.
Pentas Flora merupakan antara pembekal yang terbesar bagi minyak bahan api bertapis yang dikitar semula, memberi pengkhususan dalam perihal pengurusan sisa berjadual bagi para klien dari pelbagai industri. Matlamat mereka adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lestari dengan menawarkan solusi dari hujung ke hujung bagi pengurusan sisa yang berbahaya.