Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan cuba mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records menerusi penganjuran perhimpunan pemilik dan peminat Volkswagen Golf terbesar di negara ini pada acara Golf Fan Fest 2024.
Pada 24 Ogos 2024, Litar Antarabangsa Sepang akan diubah suai untuk penganjuran pelbagai aktiviti menarik, dan pemilik serta peminat Golf di seluruh negara dijemput hadir.
Golf Fan Fest bakal melibatkan banyak aktiviti pemanduan seperti pertandingan gymkhana, menaiki Golf R drift secara taxi rides dan sesi memandu di litar. Bukan itu sahaja, satu pameran mengenai evolusi Golf sejak lima dekad lalu juga dijangka menarik minat para pemujanya.
Lapan orang finalis pertandingan Biggest Golf Fan Volkswagen yang dilangsungkan di media sosial selama sebulan akan bersaing untuk memenangi Hadiah Utama dan meraih gelaran peminat paling tegar Golf sepanjang sambutan paling besar di Malaysia itu berlangsung.
Golf ialah ikon Volkswagen yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan lebih 37 juta unit diserahkan di lebih 70 buah negara, ia merupakan kereta paling berjaya pernah dihasilkan. Maka, memang wajarlah ulang tahun ke-50 ikon yang disukai ramai ini diraikan oleh para peminat dan rakan-rakan Volkswagen dari mana pun mereka berada.
Sesi pandu uji dan demonstrasi semua model Volkswagen dibuka sepanjang hari. Perbincangan teknikal dan bengkel yang merangkumi pelbagai aspek pemilikan Golf turut dijalankan.
Untuk mengetahui senarai program terkini dan butiran pendaftaran, sila layari laman web: https://www.volkswagen.com.my/events/golf-fan-fest-2024 kerana kemas kini akan dibuat apabila acara ini semakin hampir.