Proton X70 baharu mendefinisikan kecemerlangan dalam segmennya dengan peningkatan terkini

SELEPAS membuat kemunculan sulungnya pada 12 Disember 2018, SUV pertama Proton telah dikemas kini secara menyeluruh untuk memacunya kembali ke kududukan teratas dalam kelas SUV premium segmen C.

Dilancarkan di Mariott Hotel, Putrajaya, PROTON X70 2025 pengemaskinian kali ini menampilkan reka bentuk luar yang dikemas kini, peralatan dalaman baharu, teknologi ADAS 2.0 yang ditingkatkan dan, buat pertama kalinya dalam model Proton, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri ini, akan disampaikan kepada pemilik tanpa kos tambahan melalui kemas kini over-the-air (OTA) setelah semua pelesenan yang diperlukan diluluskan.

(Dari kiri)
Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan  Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON

Sejakpelancaran versi pertama, PROTON X70 telah merevolusikan segmen SUV premium Malaysia, menjadi pilihan pelanggan dengan lebih 100,000 unit terjual dan menerima tujuh anugerah berprestij sepanjang lima tahun. Rakan globalnya, Geely Boyue, juga telah mencapai kejayaan jualan dengan lebih daripada 1.8 juta unit dijual di 49 negara di seluruh dunia. PROTON X70 2025 menyasarkan untuk meneruskan legasi ini dengan menawarkan campuran peralatan menarik terdiri daripada ciri terkini dan prestasi yang tiada tandingan.

“Pelancaran PROTON X70 2025 adalah salah satu contoh PROTON memasuki fasa seterusnya dalam kerjasama kami bersama Geely. Dengan begitu banyak pencapaian sepanjang 18 bulan lalu, daripada pelancaran Proton X90 dan S70 kepada pengenalan EV dari smart, serta pembukaan pusat R&D di China dan pelancaran e.MAS, adalah mudah bagi pelanggan untuk melupakan betapa jauhnya syarikat telah berkembang sejak pelancaran SUV pertama kami pada tahun 2018.

“Dengan usaha menyeluruh daripada pasukan pembangunan kenderaan PROTON yang melibatkan lebih

4.2 juta kilometer ujian serta pelbagai ciri yang dikemas kini, prestasi yang ditingkatkan, dan reka bentuk yang diperbaharui, kami yakin PROTON X70 2025 akan terus menarik minat sebagai kenderaan yang dibangunkan dan dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk pengguna Malaysia dan sedunia,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

Menggabungkan Reka Bentuk Terkini dengan Prestasi Ditingkatkan

Mengikuti jejak pendahulunya, PROTON X70 2025 menerima reka bentuk luar yang diperbaharui dengan elemen dan perincian baharu yang menambah keanggunan kepada proporsi asal. Dipengaruhi oleh maklum balas pelanggan dan keinginan untuk menambah identiti Malaysia pada penampilannya, garis-garis yang direka dengan teliti bermula dengan bahasa reka bentuk baru di bahagian hadapan untuk membolehkan SUV segmen C PROTON terserlah di antara pesaingnya.

Ciri baharu yang paling ketara adalah gril hadapan yang lebih besar dengan elemen corak songket elegan yang mengelilingi logo Proton, dibingkai oleh lampu hadapan trapezoid baharu yang terdiri daripada 47 LED individu. Bamper hadapan dan fender hadapan baharu menambah kekuatan dan agresiviti, dilengkapi dengan bonet baharu yang sepadan dengan dua dome kuasa yang memberi petunjuk tentang prestasi yang terdapat di dalamnya. Bamper dan skirting belakang yang baharu menonjolkan gaya di bahagian belakang, dan dilengkapi dengan reka bentuk roda aloi 19 inci yang mempamerkan reka bentuk dua tona yang baharu.

PROTON X70 2025 dikuasakan oleh enjin suntikan terus turbo 1.5-liter yang dipasang oleh PROTON di kilang enjin di Tanjong Malim. Menghasilkan 177 PS dan 255Nm tork, ia dipadankan dengan transmisi dual- clutch 7-kelajuan yang canggih untuk memastikan pertukaran gear yang cepat dan lancar serta meningkatkan tahap NVH (Bunyi, Getaran, dan Kasar). Penalaan yang teliti bagi semua elemen drivetrain juga memastikan peningkatan 4% dalam kecekapan bahan api.

Interior Diperhalusi dan Ciri Teknologi Ditingkatkan

Seiring dengan reka bentuk luar yang baharu, interior yang diperbaharui menampilkan penambahbaikan untuk meningkatkan keselesaan penumpang yang dipadankan dengan ciri teknologi baharu. Masuk ke dalam dan stereng baharu akan menyambut pemandu dengan padanan palet warna kelabu premium pada varian 1.5 TD Premium dan Premium X. Dua varian teratas juga menerima ciri pencahayaan ambien dalam bentuk lampu LED pada panel instrumen yang mempunyai 72 pilihan warna dan boleh berdenyut secara ritmik mengikut irama muzik yang dimainkan.

Semua varian menerima skrin terapung 12.3 inci baharu yang menampilkan unit pemprosesan kuad teras ganda yang kuat, 4GB RAM dan 32GB ruang penyimpanan. Ciri pengenalan suara yang membolehkan akses kepada pelbagai fungsi melalui arahan suara “Hi PROTON” juga dikekalkan untuk semua varian, seperti juga Sistem Penapis Udara Pintar Proton (PIAPS). PROTON X70 2025 adalah model Proton pertama yang mempunyai perisian Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan berwayar yang telah dipasang sebelumnya, di mana pemilik dapat mengakses ciri-ciri ini setelah pengesahan rasmi diberikan.

Sebagai salah satu kenderaan pertama yang memperkenalkan Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS) kepada kelas SUV segmen C, PROTON X70 diiktiraf secara meluas sebagai perintis dalam sistem keselamatan aktif. PROTON X70 2025 membina reputasi ini dengan penambahan ADAS 2.0 untuk varian Premium dan Premium X.

Sistem ini mempunyai 13 sistem keselamatan aktif yang terdiri daripada Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan berhenti dan pergi, Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), Amaran Perlepasan Laluan (LDW), Pencegahan Perlepasan Laluan (LDP), Kawalan Pusat Laluan (LCC), Bantuan Tukar Laluan (LCA), Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Membuka Pintu (DOW), Maklumat Tanda Trafik (TSI), dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).

Melengkapi peralatan ADAS adalah senarai panjang sistem keselamatan yang disertakan pada semua varian PROTON X70 2025. Ini termasuk enam Airbag SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Auto Brake Hold, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Pegangan Bukit (HHA) dan Kawalan Turun Bukit (HDC).

Tawaran Premium Eksklusif dan Berpatutan untuk Pelanggan Setia

Bagi meraikan pelancaran ini, PROTON menawarkan nilai tambah bernilai RMXXXX tanpa kos tambahan bagi XXX pelanggan pertama yang mendaftar PROTON X70 2025 mereka sebelum 31 Ogos 2024. Model baharu ini juga datang dengan jaminan tanpa had selama lima tahun, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan, dan enam servis buruh percuma.

PROTON X70 2025 kini boleh ditempah secara dalam talian di https://www.proton.com/en/find-a- car/protonx70 dan di pusat pameranyang disahkan PROTON.