Proton e.MAS 7 mula dibuka untuk tempahan, anggaran harga RM120,000

KENDERAAN elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7, kini dibuka untuk tempahan dan dijangka berharga daripada RM120,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), Zhang Qiang berkata pertumbuhan pasaran EV tempatan adalah menggalakkan, disokong oleh dasar peralihan tenaga negara, sekali gus menandakan masa depan yang optimis untuk model Proton.

“Kami pastinya menyasar untuk menjadi peneraju dalam pasaran ini, dengan faktor utama untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan Malaysia dan mewujudkan ekosistem EV yang komprehensif.

“Kami komited untuk membangunkan ekosistem kami sendiri, termasuk aplikasi dan peta pengecasan kami. Ini menjadikan Proton e.Mas 7 menonjol berbanding model lain,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran EV itu di pameran Auto Car Expo (ACE) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, pada Sabtu.

Beliau berkata mulai 26 Oktober sehingga pelancaran utama, pembeli awal boleh menikmati “Pioneer Privilege Deal” yang disertakan dengan rebat RM500 dan pek hadiah bernilai RM1,000, memberikan nilai luar biasa kepada pelanggan.

Acara hari ini juga menyaksikan pelancaran aplikasi e.MAS App, yang menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk menguruskan tempahan kenderaan, jadual servis dan mengakses rangkaian pengecasan EV komprehensif Malaysia, yang akan disediakan secara berperingkat.

Proton e.MAS 7 sebelum ini membuat penampilan sulung apabila menyertai sebahagian daripada perarakan Hari Kebangsaan 2024, bersama model-model Proton yang lain, mencerminkan evolusi pembuat kereta nasional itu sepanjang sejarah 41 tahunnya.

Motor elektrik yang dipasang di bahagian hadapan model itu menghasilkan 160 kW dan 320 Nm tork, membolehkannya mencapai pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa 6.9 saat.

Model ini juga dipertingkat dengan bateri Aegis Short Blade dan Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan Tahap 2 (ADAS) yang komprehensif dalam memastikan keselamatan dan keyakinan pemanduan bagi pemilik.