Peugeot perkenal 208 Racing, sebuah jentera rali dengan harga mampu milik

kita mungkin tidak akan dapat melihat kemunculan semula lencana ikonik GTI pada kereta-kereta Peugeot akan datang.

Namun begitu, Peugeot menerusi Stellantis Motorsport baru-baru ini memperlihatkan model jentera lumba 208 Racing sebagai akses mampu milik ke dalam dunia sukan permotoran.

Peugeot 208 Racing direka khas untuk kejuaraan FR6 Trophy sebagai sebahagian daripada French Rally Cup yang akan bermula pada tahun 2025.

Jentera rali 208 Racing ini mendapat manfaat daripada enjin turbo yang telah dinaiktaraf, tetapan casis yang lebih sporti, serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti pemasangan sangkar keselamatan dan sistem pemadam kebakaran automatik untuk memenuhi regulasi Rally4.

Papan pemuka turut mendapat kemasan bahan anti-silau, serta menampilkan ciri seperti paparan pelbagai fungsi, kill switch, dan panel kawalan kustom.

Menggunakan kepakaran daripada model 208 Rally4, Citroen C3 Rally2 dan 208 Racing Cup, Stellantis menawakan enjin tiga silinder 1.2 liter turbo berkuasa 143 hp, atau 44 hp lebih berkuasa berbanding 208 versi produksi.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi manual nisbah pendek enam-kelajuan.

Penggunaan bahan api super ethanol E85 mampu mengurangkan emisi CO2 sebanyak 30 peratus berbanding bahan api gasolin.

Selain itu, Stellantis Motorsports turut menala kembali sistem suspensi dan brek menggunakan maklum balas daripada para pelumba professional.

Akhir sekali, keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim keluli putih yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport PS5.

Stellantis sudah pun membuka tempahan di mana mereka yang berminat boleh menyediakan wang sebanyak €38,900 (RM182,511). Proses penghantaran hanya akan dibuat bermula Februari tahun depan.