Penggunaan soket 240V untuk mengecas dalam kenderaan awam berbahaya

Penggunaan soket 240 voltan (V) untuk mengecas di dalam kenderaan awam lebih berbahaya berbanding pengecas mudah alih (USB), kata seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prof Dr Sawal Hamid Md Ali dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata soket dengan jumlah itu sama seperti di rumah yang berupaya menghasilkan renjatan elektrik sekiranya berlaku litar pintas.

Sebaliknya, beliau berkata pengecas USB dengan nilai hanya 5V tidak mendatangkan sebarang masalah kerana voltannya lebih rendah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes seorang remaja maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menerusi soket sebuah ekspres pada Jumaat lalu.

Kejadian di Terminal bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang ketika Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas berkenaan untuk ke Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Dr Sawal Hamid bagaimanapun berpendapat insiden membabitkan kematian remaja itu boleh terjadi akibat daripada beberapa faktor.

Antaranya, menurut beliau ialah pemasangan tempat mengecas menggunakan soket 240V tidak melalui piawaian atau pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Selain itu, faktor pengecas mungkin rosak hingga tidak dapat membuat isolasi di antara kemasukan voltan tinggi 240V dan voltan keluaran rendah 5V, hingga menyebabkan voltan tinggi boleh melepasi dan sampai ke pengguna,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Dr Sawal Hamid berkata, tempat mengecas di dalam pengangkutan awam adalah selamat sekiranya disediakan dengan mematuhi piawaian tertentu atau tersedia oleh pengeluar kenderaan.

“Saya lebih menggalakkan untuk tempat mengecas yang dikeluarkan oleh pengeluar kenderaan menggunakan USB kerana ia lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan juga menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit.

Sawal Hamid berkata, tempat mengecas di dalam pengangkutan awam adalah selamat sekiranya disediakan dengan mematuhi piawaian tertentu atau yang tersedia oleh pengeluar kenderaan.

“Saya lebih menggalakkan untuk tempat mengecas yang dikeluarkan oleh pengeluar kenderaan menggunakan USB kerana ia lebih selamat,”katanya.