MODENAS lancar logo dan identiti jenama baharu untuk mendorong evolusi ikon mobiliti global progresif

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS), anak syarikat DRB-Hicom Berhad (KLSE:DRBHCOM) telah melancarkan logo dan identiti jenama baharu, menandakan aspirasi berani untuk masa depan yang memberi tumpuan kepada pengembangan global, teknologi baharu, dan penyelesaian yang lebih bersih.

Syarikat motosikal nasional tersebut hari ini melancarkan logo baharu yang diinspirasikan oleh simbol ikonik “M” MODENAS dalam gaya moden yang berani, dalam bulatan yang menggambarkan ketepatan dan identiti baharu. Kekal dengan warna biru dan putihnya, logo yang dikemas kini memperkenalkan varian kelabu dan platinum MODENAS. Sementara itu, pengenalan Elemen “Road Star” yang baharu juga mencerminkan arah baharu jenama ini, menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.


Penjenama baharu hari ini dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Kumpulan MODENAS dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad. Turut hadir pada majlis itu ialah Faizal Mohd Yusof, Pengarah Kanan Industri dan Pembangunan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), serta Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS

Mengenai usaha penjenamaan semula ini, Roslan berkata, “MODENAS mewakili legasi yang dibina oleh rakyat Malaysia. Kami telah membina asas yang kukuh di Malaysia, tetapi kami berhasrat untuk meluaskan cita-cita ini untuk merentasi sempadan negara. Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar. Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global.”

Selari dengan penjenamaan semula dan pencapaian MODENAS selama ini, MODENAS hari ini juga telah memperkenalkan varian baharu MODENAS KRISS 110 yang mesra alam, model KRISS pertama yang memenuhi piawaian pelepasan Euro 4 yang ketat. Model ini mempamerkan komitmen MODENAS terhadap kelestarian dan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar global. Ini juga menandakan pasaran yang lebih luas bagi MODENAS ke arah inisiatif yang lebih besar untuk memperkenalkan lebih banyak varian mesra alam pada masa hadapan.

Menghormati Legasi dan Melihat ke Hadapan

Kerjasama strategik MODENAS dengan pengeluar global seperti Kawasaki Motors Ltd, (KMC), Kwang Yang Motor Co., Ltd (Kymco) dari Taiwan, dan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India telah memudahkan MODENAS melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa yang lain termasuk Greece, Amerika Selatan, Rusia, Thailand, dan yang terbaru ke China pada tahun 2024 dengan pengeksportan Kawasaki ZX-6R yang dipasang dalam negara. Selaras dengan komitmen baharu MODENAS untuk menghasilkan lebih banyak motosikal berteknologi mesra alam, MODENAS juga secara aktif sedang membentuk masa depan yang lebih lestari. Strategi ini telah pun menunjukkan hasil, seperti yang dilihat dalam pembekalan motosikal elektrik MEV-1 kepada Pos Malaysia sejak 2023, menyokong misi net zero kurier negara tersebut.

Sebagai syarikat Malaysia yangg berdiri dengan bangganya, MODENAS telah mengorak langkah yang berani ke arah perspektif global, didorong oleh komitmen terhadap inovasi, memecahkan halangan, dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri motosikal negara. “Selari dengan wawasan kami memacu ke hadapan, kami kekal komited kepada asal usul dan sejarah dan bersiap siaga untuk mengorak ke masa hadapan dengan tangan terbuka. Hala tuju baharu ini membentuk semula budaya dan cara operasi kami, menekankan keterangkuman dan kelestarian, serta kerjasama global. Kami akan terus bergerak ke hadapan, membina di atas legasi yang sedia ada dan membentuk masa depan motosikal,” kata Roslan.