Mitsubishi Triton generasi keenam dilancar, harga bermula RM101,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan rasminya melancarkan trak pikap Mitsubishi Triton 2025 generasi keenam, menggantikan model sebelumnya dengan inovasi, prestasi dan reka bentuk yang lebih baik.

Hadir dalam lima varian, Mitsubishi Triton serba baharu ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang luar biasa serta memenuhi keperluan pengguna trak pikap, dari pengembara hingga usahawan berjaya.

Dengan konsep reka bentuk ‘Beast Mode’, muka depannya menampilkan rekaan ‘Dynamic Shield’ yang membangkitkan rasa gagah, teguh dan meyakinkan, dilanjut hingga ke bahagian fender.

Lampu depannya terdiri menampilkan tiga LED berbentuk L, melengkapi kombinasi dengan tiga lampu utama tiga dimensi di bawahnya, sementara lampu belakang pula berbentuk T, menyempurnakan estetik trak pikap ini yang cukup kemas.

Rekaan dalamannya juga serba baharu, disedia ruang simpanan ‘glove box’, dek pengecasan tanpa wayar, dua slot USB di konsol tengah, serta sistem infotainment dengan sokongan Apple Carplay/Android Auto.

Model Triton terbaharu ini lebih besar saiznya daripada model terdahulu untuk varian Athlete – dimensinya 5,360mm panjang x 1,930mm lebar x 1,815 tinggi – 55mm lebih panjang, 115mm lebih lebar dan 35mm lebih tinggi. Jarak antara rodanya pula 3,130mm – 130mm lebih panjang.

Triton 2025 juga menawarkan buat pertama kalinya oleh Mitsubishi Malaysia versi ‘single cab’ atau dua tempat duduk, yang memberikan ruang kargo belakang yang paling besar dalam segmennya – 2,340mm panjang dan 1,580mm lebar.

Tidak hanya rupa baharu, enjinnya juga baharu – Hyperpower 4N16 2.4 liter yang diberikan talaan berbeza untuk kelima-lima varian yang ada, bergantung kepada penggunaan yang dihasratkan.

Paling unggul pastinya varian Athlete yang dikuasakan enjin 2.4L dan sistem turbocas dua peringkat yang menjana kuasa 204PS dan 470Nm tork maksimum pada rpm yang lebih rendah, memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan.

Varian selain Athlete pula dilengkapi dengan enjin 2.4 liter 4N16 turbo diesel dengan janaan output 184 PS dan 430 Nm tork.

Bahagian transmisi Triton 2025 menggunakan kotak gear automatik enam kelajuan menampilkan mod ‘Sport’ dari model sebelumnya, atau transmisi manual enam kelajuan direka untuk mengurangkan getaran dari enjin dan menambah baik keselesaan.

Rangka casisnya juga diperbaharui, lebih kukuh dengan kawasan keratan rentas 65 peratus lebih luas, ketahanan lenturan 40 peratus lebih kuat, serta ketahanan torsional 60 peratus lebih utuh, menggunakan bahan berketeguhan tinggi yang lebih ringan.

Sistem pacuan empat roda Triton baharu ini juga mantap – varian Athlete dilengkapi Super Select 4WD-II dengan empat mod iaitu 2H (pacuan roda belakang), 4H (pacuan 4WD sepenuh masa), 4HLc (differential tengah dikunci) dan 4LLc (differential tengah dikunci dalam gear rendah).

Dengan Super Select 4WD-II, varian Athlete juga dilengkapi dengan tujuh mod pemanduan — Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand dan Rock.

Ia turut memiliki ciri Active Yaw Control (AYC), yang memperbaiki kemampuan di selekoh dengan mengenakan sedikit brek untuk roda depan sebelah dalam ketika di selekoh.

Sementara itu, varian lain yang lebih rendah datang dengan sistem Easy Select 4WD, dan kesemuanya mempunyai kapasiti tunda 3,500kg.

Bagi aspek keselamatan, varian Athlete turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif ADAS yang terdiri antara lain daripada fungsi seperti Forward Collision Mitigation System (FCM), Lane Departure Warning (LDW), Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Sport Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert.

Semua varian turut dilengkapi dengan tujuh-beg udara, Active Stability & Traction Control (ASTC) yang memberikan lebih keyakinan ketika melalui jalan berliku. Ini termasuklah ciri Active Yaw Control, selain Hill Descent Control (HDC) dan Hill Start Assist (HSA).

Lima varian Triton 2025 terdiri daripada Triton Single Cab (RM101,980), Triton MT (RM114,980), Triton AT GL (RM116,980), Triton AT Premium (RM145,980) dan Triton Athlete (RM165,980) – semuanya harga atas jalan di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans.

Mitsubishi Triton Athlete serba baru didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi tempahan yang dibuat sebelum 31 Disember 2024, sementara varian lain diberikan jaminan lima-tahun atau 200,000 km perbatuan, yang mana dahulu.