Michelin Malaysia dan Cyclistic Membawakan Tayar Basikal Premium ke Pasaran Malaysia

Kuala Lumpur, 21 November 2023 – Michelin Malaysia hari ini mengumumkan perluasan portfolio produk tayar mereka di peringkat tempatan dengan merungkaikan tayar basikal premium untuk pasaran Malaysia. Perluasan ini, menerusi kerjasama dengan rakan pengedar tempatannya yang dikenali ramai, Cyclistic Malaysia, berhasrat untuk merevolusi pengalaman para penunggang basikal di seluruh negara.

Prichapakorn Dangrojana, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei berkongsi, “Komitmen berpanjangan kami untuk membekalkan produk-produk yang menjanjikan ‘Performance Made To Last’ adalah mencakupi segala bentuk mobiliti. Dengan sokongan Cyclistic sebagai rakan kami, kami berbesar hati untuk memperkenalkan barisan produk tayar basikal Michelin bertaraf premium buat komuniti penunggang basikal yang kian berkembang di Malaysia. Kami berharap bahawa produk-produk ini akan menaik taraf pengalaman menunggang mereka merentasi landasan-landasan yang baharu dan mencabar, sambil menawarkan prestasi dan cengkaman yang mereka perlukan, disumbang oleh teknologi tayar basikal yang paling inovatif pernah disaksikan setakat ini.”

Ivan Ong, Pengurus Besar, Seni Bina, Kejuruteraan, Pembinaan dan Operasi, Cyclistic Malaysia menyatakan, “Sebagai rakan pengedar tayar basikal yang sulung untuk pihak Michelin, rangkaian perniagaan kami yang menjangkau seluruh negara membolehkan kami memperkenalkan produk-produk tayar ini secara lebih efektif buat warga komuniti berbasikal di Malaysia, justeru memenuhi keperluan para pelanggan kami yang pelbagai. Menerusi usaha sama ini, kami berharap untuk terus menonjolkan legasi kecemerlangan Michelin dalam pembuatan tayar, begitu juga dengan dedikasi Cyclistic dalam memberi khidmatnya buat pasaran berbasikal tempatan, bagi memastikan mereka mempunyai akses kepada tayar-tayar yang menjamin prestasi, daya tahan, dan keselamatan di aras yang lebih tinggi.”

Tayar basikal premium berprestasi tinggi keluaran Michelin kini boleh didapati di tujuh outlet Cyclistic serta lokasi-lokasi pengedar di sekitar kawasan Lembah Klang. Mulai 1 Disember 2023, para pelanggan boleh datang melihat dan membeli produk tayar Michelin di outlet utama Cyclistic yang terletak di Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Katalog tayar basikal MICHELIN merangkumi:

  • MICHELIN POWER CUP COMPETITION LINE – Sesuai untuk sesi perlumbaan dan latihan; kelajuan dan keefisienannya diilhamkan oleh teknologi MotoGP. Ia berciri ringan dan lasak, disumbang oleh MICHELIN Aramid Shield Technology dan selongsong 3×120 TPI. Bukan itu sahaja, paduan MICHELIN GUM-X juga menjamin pengendalian dan kestabilan yang efisien dalam kondisi basah dan kering.
  • MICHELIN WILD ENDURO FRONT RACING LINE – Dirumus untuk penunggang menguasai semua jenis landasan. Ia dikhaskan untuk dipasang di roda hadapan, tapi juga boleh dimuatkan di roda belakang untuk menambah daya cengkaman. Kombinasi antara bunga tayar, Magi-X DH dan Down Hill Shield membolehkan daya cengkaman maksimum dibekalkan. Dengan pemerkukuhan dwiganda Down Hill Shield serta pemerkukuhan anti kebocoran, tayar ini mampu mengekalkan daya pengendalian yang baik walaupun dalam tekanan rendah.
  • MICHELIN WILD AM PERFORMANCE LINE – Diperkuatkan dengan “Bead To Bead Protection” yang mengoptimumkan rintangan terhadap kebocoran. Bunga tayarnya dijuruterai untuk meningkatkan cengkaman, terutamanya di roda hadapan, manakala selongsong “Trail Shield” menjamin tahap keselamatan dan prestasi yang berpanjangan dengan struktur binaan 4×60 TPI.


Harga runcit yang disarankan bagi tayar-tayar basikal MICHELIN ini bermula daripada RM 240 – RM 315 untuk tayar basikal jalan raya (MICHELIN POWER CUP COMPETITION LINE) dan RM 105 – RM 290 untuk tayar basikal gunung (MICHELIN WILD ENDURO FRONT RACING LINE dan MICHELIN WILD AM PERFORMANCE LINE).

GALERI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *