KUALA LUMPUR, 1 September 2020 – Michelin, syarikat tayar terkemuka di dunia, bakal melancarkan MICHELIN Agilis 3 dalam pasaran tayar trak ringan komersial, ia menyasarkan pelanggan muatan konvensional yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan orang dan barangan. Tayar baharu ini dilancarkan untuk menguasai segmen muatan ringan yang berpotensi tinggi dan lebih besar menerusi solusi-solusi yang terhebat – dari segi keselamatan, prestasi, dan impak alam sekitar.
En. Muhammad Arya Subrata, Pengarah Komersial Antara Perniagaan yang mewakili Michelin Malaysia menyatakan: “Sejajar dengan janji Michelin, ‘Performance and Safety Made to Last’, MICHELIN Agilis 3 terbaharu dilengkapi dengan teknologi-teknologi inovatif dan ciri-ciri penuh sofistikasi demi prestasi berjangka panjang, keselamatan yang optimum dan faktor mesra alam. Kualiti yang dijamin ini bukan sahaja menawarkan kelebihan daya saing dalam segmen pasaran tersebut, malah turut memperkukuhkan komitmen Michelin ke atas mobiliti yang bersifat lebih lestari. Pendek kata, tayar ini berpeluang untuk menjadi penjana pertumbuhan urban yang mampan. Inovasi terbaharu ini terus membuktikan strategi prestasi berasaskan kelestarian yang dikerahkan oleh Michelin demi mobiliti yang lebih mudah untuk diakses, selamat, bersih dan efisien.”
Teknologi-teknologi dan ciri-ciri utama yang dirangkumkan dalam MICHELIN Agilis 3 meliputi: Penangkis Batu, bentuk bar melintang pada alur tayar MICHELIN Agilis 3 dirumus untuk menghadkan pemerangkapan batu, sekali gus meminimumkan tempoh gendala dan kos operasi; Pelindung Dinding Tayar, diperbuat daripada kompaun sebatian getah kalis lelasan (abrasion), yang menawarkan perlindungan pada bahu dinding tayar ini dengan saiz ketebalan 1.5mm lebih tinggi berbanding tayar generasi semasa, tanpa mengkompromikan fleksibiliti selongsongnya (casing); Sebatian Inovatif dengan ketumpatan material silika & karbon hitam yang tinggi untuk membekalkan cengkaman basah yang lebih baik, termasuk penjimatan bahan api, dan prestasi perbatuan (mileage); Aluran Berbentuk U mewujudkan tahap pemugaran air (water clearance) yang lebih tinggi untuk menaik taraf cengkaman dalam keadaan basah; Belahan Bunga Tayar yang Dalam menawarkan fleksibiliti yang tinggi pada blok bunga tayar, lantas membekalkan prestasi cengkaman basah yang terbaik, dalam keadaan baharu dan terpakai; serta Lapisan Bawah Getah Tayar (Under Tread) yang memelihara suhu operasi yang rendah, lantas membantu menjimatkan kos bahan api.
Berbekalkan teknologi-teknologi dan ciri-ciri ini, MICHELIN Agilis 3 membawakan 3 kelebihan luar biasa: jarak pembrekan basah yang lebih pendek, 5% atau sehingga 1.9 meter lebih pendek dalam keadaan baharu, dan 11% atau sehingga 3.8 meter lebih pendek dalam keadaan terpakai, dibandingkan dengan produk pesaing-pesaing utama1; prestasi perbatuan yang lebih tinggi, jumlah perbatuan sebanyak 25% lebih tinggi berbanding iterasi terdahulunya, dengan tempoh gendala yang lebih rendah diakibatkan oleh kerosakan tayar2. Rintangan guling berkadar 12% lebih tinggi, serta penggunaan bahan api 90ml/100km lebih rendah, dan emisi CO2 228g/100km lebih rendah berbanding kebanyakan pesaingnya3.
En. Muhammad Arya Subrata turut mengulas: “Memandangkan 97% sumber MICHELIN Agilis 3 diperoleh di rantau Asia Pasifik, ia menjamin pembekalan yang efektif di seluruh rantau ini, serta meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan kos penghantaran. Di samping itu, tayar baharu ini juga dirumus khas menggunakan RC atau selongsong yang diperkukuhkan (reinforced casing) untuk memenuhi cabaran penggunaan dan kondisi jalan raya di rantau ini. Dengan prestasi dan kelebihan luar biasanya, juga slogan ‘Safer for Longer’ yang dijulang, kami yakin MICHELIN Agilis 3 bakal disambut baik di Malaysia.”
MICHELIN Agilis 3 terbaharu kini boleh didapati di premis wakil pengedar tayar trak ringan komersial Michelin yang bertauliah di seluruh negara. Semua saiz (termasuk 4 saiz baharu), dari diameter 14 hingga 16 inci mencakupi seluruh segmen muatan ringan berkapasiti 1 hingga 3 tan dalam pasaran tayar trak ringan komersial di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.michelin.com.my.