Lee Motors Auto Care, wakil yang terkemuka bagi jenama BMW di negeri Kedah dan kawasan sekitar, telah menjalin kerjasama dengan POWERBEE, iaitu anak syarikat milik penuh penyedia solusi tenaga bersih, Solarvest Holdings Berhad, bagi membekali pelanggan kenderaan elektrik BMW yang baharu sebuah solusi tenaga solar yang eksklusif, menyempurnakan lagi pengalaman pemilikan premium mereka. Usaha sama ini bermatlamat untuk mendukung para pemilik kenderaan elektrik BMW dengan sebuah pengalaman yang lebih mesra alam lagi lestari. Para pelanggan dapat memanfaatkan sistem PV solar atas bumbung 4.5 kWp yang bernilai RM22,000 secara percuma daripada Solarvest Group.
Eugene Lee, Pengarah Urusan Lee Motors Auto Care, yang mengumumkan usaha sama dan penawaran tersebut turut menyatakan, “Sebagai wakil jenama BMW di Kedah, kami komited untuk membekalkan kepada para pelanggan kami sebuah pengalaman pemilikan premium yang merentasi seluruh produk kami, dan ia termasuk membekalkan keupayaan pengecasan dari sudut yang lebih bertanggungjawab. Usaha sama kami dengan Solarvest Group memperkukuhkan komitmen kami untuk menawarkan solusi-solusi inovatif lagi lestari, bagi menaik taraf pengalaman pemilikan kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan teknologi pengecasan EV yang tercanggih.”
Sementara itu, Davis Chong Chun Shiong, jurucakap yang mewakili Solarvest Holdings Berhad telah menekankan betapa pentingnya kelestarian dalam gagasan kenderaan elektrik, dengan menyatakan “Untuk mengecapi aspirasi kelestarian yang sebenar, adalah penting untuk kita menyokong keperluan tenaga kenderaan elektrik dengan sumber yang bertanggungjawab dan yang boleh diperbaharui. Di POWERBEE, komitmen kami terletak pada usaha membekalkan solusi-solusi pengecasan EV yang dikuasakan oleh 100% tenaga boleh baharu. Dengan sistem PV solar atas bumbung 4.5kWp, secara purata, tenaga elektrik yang mencukupi dapat dijana untuk lima kali pengecasan penuh setiap sebulan bagi jentera BMW i7, yang bersamaan dengan perjalanan sejauh 3,125km, dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh baharu. Menerusi kerjasama ini, kami juga sedang meneroka peluang-peluang kolaborasi lain bersama Lee Motors bagi menggiatkan lagi penerimagunaan EV di Malaysia dan bagi memastikan peralihan ke arah mobiliti elektrik didukung dengan tenaga hijau.”
Dengan mengintegrasikan sistem PV solar atas bumbung, para pemilik EV BMW yang baharu daripada Lee Motors Auto Care dapat memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu untuk menguasakan kenderaan elektrik mereka, justeru mengurangkan jejak karbon di samping menjana nilai dari sudut yang lebih bertanggungjawab bagi pengalaman pemilikan premium mereka.
Solarvest Holdings Berhad juga telah mengumumkan keputusannya untuk beralih kepada kenderaan elektrik untuk barisan kenderaan korporat miliknya, berhasrat untuk menunjukkan teladan kepada organisasi-organisasi lain dalam memupuk peralihan teknologi ini demi pelaksanaan solusi-solusi tenaga bersih yang lebih bertanggungjawab dan lestari.
Jentera BMW iX 40, BMW iX 40 Sport dan BMW iX 50 Sport yang sulung masing-masing ditawarkan pada harga MYR 403,800, MYR 447,800 dan MYR 546,800, manakala jentera BMW i7 xDrive 60 yang sulung ditawarkan pada harga MYR 729,800. Tambahan lagi, para pemilik kenderaan elektrik BMW juga dapat mengakses lebih daripada 1,000 buah fasiliti pengecasan yang terletak di bawah rangkaian BMW Group Malaysia setakat ini.