Dalam satu langkah penting ke arah penyelesaian mobiliti korporat yang lebih mampan dan bertanggungjawab, Leader Energy Group Berhad (dahulunya dikenali sebagai Leader Energy Holding Berhad) (“Leader Energy”) mengumumkan pemerolehan beberapa kenderaan elektrik (EV) baharu untuk kenderaan korporatnya, dengan kerjasama BMW Group Malaysia melalui rakan pengedar sah Wheelcorp Premium.
Berdasarkan pada Memorandum Persefahaman (MoU) antara BMW Group Malaysia dan Leader Energy untuk meningkatkan infrastruktur pengecasan EV di seluruh negara, Leader Energy akan menambah beberapa model BMW i terbaharu, yang terdiri daripada BMW i4 eDrive35, BMW i5 eDrive40 M Sport, dan BMW iX xDrive50 ke dalam barisan kenderaan korporat mereka yang luas.
Inisiatif ini menandakan langkah pertama yang penting dalam komitmen Leader Energy untuk beralih kepada penyelesaian mobiliti yang lebih bertanggungjawab, bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon dioksida syarikat secara signifikan dalam seluruh operasi mereka. Tambahan lagi, beberapa rancangan telah diatur untuk mengembangkan lagi barisan kenderaan korporat mereka dengan tambahan kenderaan elektrik BMW i pada tahun hadapan.
Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kemampanan, BMW Group Malaysia berkata, “Rakan perniagaan kami, Leader Energy telah mempraktikkan tanggungjawab yang patut diteladani dengan meneraju penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan beralih kepada kenderaan elektrik. Sebagai pengeluar utama kenderaan elektrik premium, BMW Group Malaysia berbesar hati menyokong langkah transformasi tersebut melalui model BMW i yang canggih.
Besar harapan kami agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada organisasi terkemuka dan sefahaman yang lain untuk turut mempraktikkan penggunaan Mobiliti Bersih serta memanfaatkan kebaikan jangka masa panjang peralihan kepada kenderaan elektrik, dengan memperkenalkan teknologi yang lebih bertanggungjawab dalam keseluruhan operasi perniagaan mereka.”
Leader Energy, bersama-sama anak syarikatnya dan entiti kawalan bersama, merupakan pengeluar tenaga bebas yang terlibat dalam khususnya pembangunan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan aset serta projek kuasa. Dengan kerjasama BMW Group Malaysia, Leader Energy sedang membangunkan beberapa tapak pengecasan pantas arah utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan meliputi seluruh Semenanjung Malaysia.