KOVE Malaysia Racing Team memulakan cabaran Asia Cross Country Rally 2024

Mdua Motor Sdn. Bhd. (KOVE Malaysia) dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran ‘Flag-Off’ rasmi pasukan KOVE Malaysia Racing Team untuk ke Asia Cross Country Rally 2024 (AXCR2024) di Thailand.

Rali berprestij yang merangkumi lebih 2000 kilometer laluan kawasan terpencil dan jalan raya ini, menjanjikan perjalanan yang mencabar dan mendebarkan dari Surat Thani ke Kanchanaburi. Acara lasak ini berlangsung selama enam hari bermula daripada 12 Ogos sehingga 17 Ogos 2024.

Perlumbaan AXCR2024 yang disahkan oleh FIA ini terkenal dengan laluan yang sukar dan mencabar. Peserta turut dibahagikan kepada kategori kereta dan motosikal, masing-masing dengan kuasa dan spesifikasi tertentu. Sekaligus memastikan setiap pasukan bersedia untuk mengharungi situasi serta kecekalan yang ditawarkan pada pertandingan yang sukar ini.

Mewakili pasukan KOVE Malaysia adalah Hazim Hayazi, seorang pelumba motosikal lasak yang muda dan berbakat dari Malaysia. Kemahiran Hazim di dalam perlumbaan off-road dan ketahanan beliau telah menhasilkan beberapa kejayaan penting dalam pencapaian sukan ini termasuk:

  1. Juara Kelas-C di GIVI Rimba Raid 2023
  2. Juara ‘King of Royal Rumble’ dalam Royal Rumble Hard Enduro Rider 2023
  3. Tempat ketiga keseluruhan di WRC Orange Enduro 2023 dalam Kategori Terbuka
  4. Tempat keempat dalam Kelas C di Gamuda Gardens Advenduro-X 2024

Untuk AXCR2024, Hazim akan menunggang KOVE 450 Rally, yang dilengkapi dengan sistem navigasi ‘roadbook’ yang canggih serta kit perlumbaan yang mirip kepada perlumbaan Dakar-Rally. Beliau juga turut disertai dan disokong oleh dua juruteknik muda yang berpengalaman dari bahagian teknikal dan logistik KOVE Racing Team.

KOVE Malaysia Racing Team adalah pasukan perlumbaan lasak yang baru serta diinspirasikan oleh kejayaan cemerlang pasukan prinsipal perlumbaan KOVE yang telah menguasai peringkat motosikal rali di kejohanan Taklimakan Rally di China. Penyertaan ini juga merupakan satu penghormatan istimewa memandangkan KOVE Malaysia Racing Team adalah satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam acara AXCR yang berprestij ini.

Penyertaan pasukan KOVE dalam AXCR2024 turut mengetengahkan kesugguhan serta komitmen kami untuk membuktikan ketahanan dan prestasi motosikal KOVE dalam pelbagai keadaan persekitaran di ASEAN. Kami berhasrat untuk menggunakan acara ini sebagai medan ujian bagi keupayaan luar biasa KOVE 450 Rally. Sasaran pasukan pada kali ini juga bukan sahaja untuk hanya menamatkan perlumbaan namun turut mengintai peluang untuk memenangi beberapa pusingan yang harus dilengkapkan dalam jadual rali AXCR2024 ini.

KOVE Malaysia mengucapkan selamat maju jaya kepada Hazim Hayazi dan seluruh pasukan KOVE Malaysia Racing dalam pertandingan AXCR2024 ini.