Keunikan Honda monkey dengan gaya retro

Siri Honda Z ialah model ‘mini bike’ yang dihasilkan oleh Honda Motor Co., Ltd. Japan. Walaupun model rasmi Honda secara spesifiknya menggunakan kod Z50A, Z50J, Z50M, Z50R, dan ZB50, ia lebih popular dikenali sebagai ‘Monyet’ atau ‘Gorilla’ kerana posisi dan gaya menunggangnya mirip seperti haiwan ini menunggang motosikal seperti di pertunjukan sarkis. Jualan motosikal model ini bermula pada bulan Mac 1964 dengan model Z50M, dan pengeluarannya berakhir pada tahun 2017.

Model terbaharu Honda Monkey ini dikuasai dengan enjin 4 lejang satu silinder 125cc yang diperoleh dari Honda MSX125. Ia menghasilkan 9 bhp pada 7,000 RPM dan 10.5 Nm tork pada 5,500 RPM. Kuasa sebegini membuatkannya sangat sesuai sebagai motosikal kegunaan harian dan untuk tunggangan santai.

Honda Monkey baharu ini juga telah dinaik taraf dengan penyerap hentak hadapan jenis terbalik dan suspensi boleh laras di bahagian belakang dengan tinggi tempat duduknya 775 mm dari tanah. Kedua-dua brek hadapan dan belakang dilengkapi dengan brek cakera hidraulik. Mantap!!!


Antara ciri-ciri lain Honda Monkey ialah lampu hadapan, lampu belakang dan lampu isyarat LED, meter LCD digital, sistem penggera dengan ciri ‘Jawab Balik’ dan peredam ekzos dengan gaya retro.


Pada pendapat admin, budaya penggunaan motosikal di Malaysia sekarang sudah mula lebih kepada gaya hidup dan hobi berbanding keperluan harian dan kerana ini orang ramai lebih cenderung memilih skuter dan moped atau cub. Penunggang akan merasa seronok menunggang Honda Monkey ini kerana ia sangat mudah menyelit dicelah-celah kesesakan jalan raya kerana bentuknya yang kecil. Admin ada juga cuba menunggangnya di jalan berpasir dan basah, seronok juga sesekali melayan laluan ‘off road’ yang mudah. Reka bentuknya yang ringkas memudahkan Honda Monkey ini menyusuri anak sungai dan jalan tanah dengan yakin.

Di Jepun dan sebahagian negara Eropah, Honda Monkey ini amat popular dan ini dibuktikan dengan wujudnya kelab-kelab yang mengumpulkan kelompok peminat-peminat Honda Monkey di sana. Seperti juga di sini bila admin berjumpa dengan ahli Kelab Peminat Honda Mini Bike di Putrajaya semasa sesi bergambar dengan mereka. Motosikal sebegini mempunyai daya tarikan yang tersendiri, hingga ada yang merakamkan gambar dimana-mana sahaja semasa admin sedang menunggang atau berhenti.

Keseronokan yang anda rasai setelah mengalami sendiri pengalaman menunggang Honda Monkey ini melalui jalan-jalan pedalaman dan bertanah merah seolah-olah laluan ‘off road’, akan membuatkan anda tersenyum riang. Tuju lah ke mana-mana destinasi yang anda inginkan dengan Honda Monkey ini, pasti akan ada mata yang memerhatikan gelagat anda dengan Honda Monkey. Admin juga ada terserempak dengan pemandu kereta yang merakam aksi admin ketika menunggang Honda Monkey ini di sekitar Putrajaya dan ketika admin berjumpa dengan pemilik Honda MSX125 di Putrajaya, meriah!

Sekarang, Monkey generasi baru ini telah ada di pasaran Malaysia, dan dilancarkan dengan harga jualan RM13,999 tidak termasuk insurans. Warna yang ditawarkan pula ada tiga iaitu kuning, biru dan merah, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.