Wmoto telah melancarkan skuter ES250i yang merupakan kesinambungan dari WMOTO ES125 secara langsung di Facebook dan YouTube rasmi MForce TV, jam 8:30 malam hari ini. Skuter dengan tagline Sensasi Maksimum ini memiliki reka bentuk yang kemas serta perincian teliti. Ia juga dilengkapi dengan brek cakera bersaiz 240mm serta sistem Brek Anti-Kunci (ABS) di tayar hadapan dan belakang untuk memberi keselamatan maksimum kepada penunggang semasa membrek kecemasan. Skuter ini juga menggunakan tayar jenama premium iaitu Timsun. WMoto ES250i menggunakan sistem kunci pintar di mana ciri Alarm Key Findings turut terdapat pada teknologi ini. Ianya berfungsi untuk pemilik skuter ini mengetahui lokasi skuter mereka lebih-lebih lagi di kawasan parkir. Dengan menekan butang tersebut di kunci, lampu skuter ini akan berkelip selama beberapa saat dan boleh dilihat dari jauh.
Skuter WMoto ES250i 244.3cc dijana oleh 4-lejang, silinder tunggal dan 4-injap serta mampu menghasilkan hantaran kuasa maksimum 21Hp dan 8,500rpm dan tork maksimum 21Nm pada 6,500rpm dengan sistem penyejukan cecair. Dari segi teknikal yang lain, skuter ini turut mematuhi piawaian emisi Euro 4 dan dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik. Berbeza dengan skuter yang memiliki sesaran enjin yang sama, ES250i mempunyai reka bentuk dan saiz yang sesuai untuk semua golongan terutamanya penunggang wanita yang kini bilangannya semakin meningkat di kalangan penunggang motosikal di Malaysia. Dari segi kelengkapan, WMoto ES250i didatangkan dengan lampu projektor dan DRL yang menggunakan teknologi LED untuk jangka hayat lampu yang lebih lama serta melihat dengan lebih jelas semasa menunggang. Selain itu, lampu kecemasan turut disertakan dan panel paparan digital dan analog.
WMoto ES250i memiliki tangki bahan api dengan kapasiti 12-liter yang memberikan anda lebih kilometer semasa menunggang. Dengan kelajuan 100km/j, anda boleh bergerak sejauh 280km sebelum pengisian semula bahan api. Tempat duduk pada skuter ES250i diperbuat dari tekstur anti-gelincir untuk penunggangan yang lebih selesa dan di bawah tempat duduk turut mempunyai ruang simpanan barangan peribadi seluas 19- liter. Manakala untuk kemudahan para penunggang, terdapat juga port USB di mana anda boleh mengecas telefon pintar anda dan letakkannya di dalam ruang simpan di bahagian depan skuter. Untuk suspensi, WMoto ES250i menggunakan jenama terbaik, KYB di bahagian hadapan (teleskopik) dan belakang (dwi-penyerap kejutan) untuk keselesaan maksimum semasa menunggang di atas jalan raya dengan pelbagai jenis permukaan. Pemilik skuter ini juga boleh memasang aksesori kotak simpanan jenama YH Pro yang turut disediakan oleh WMoto (dibeli secara berasingan di mana-mana premis pengedar sah WMoto).
WMoto ES250i boleh didapati di pengedar sah WMoto seluruh Malaysia bermula esok dan dijual pada harga permulaan RM13,888.00 tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran. Skuter ini turut ditawarkan dalam tiga piihan iaitu Fiery Red, Midnight Blue dan Slate Grey. Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, dengan berkonspekan Economic Scooter atau singkatannya ES, harga yang ditawarkan skuter baharu ini adalah sangat kompetitif. “Skuter terbaru ini, adalah salah satu model dari WMoto Scooter line-up di mana sebelum ini MForce telah memperkenalkan model ES125, RT3 250 dan Xtreme 150”, tambah beliau semasa memberikan ucapan aluan di acara Media Launching bersama media pagi tadi. Dengan setiap pembelian WMoto ES250i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.