ERA kenderaan gas asli (NGV) di Malaysia bakal berakhir pada 1 Julai 2025. Pada tarikh ini kenderaan NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftarkan atau dilesenkan di dalam negara.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan ini dilalukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna serta orang ramai. Pihak PETRONAS juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di pasaran sebelum penawarannya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025.
Tiada lagi bekalan NGV secara runcit akan ditawarkan. Sebelum ini beberapa stesen PETRONAS sudah mula menukar kelengkapan mengisi bahan api NGV kepada stesen pengecas EV. Serentak dengan pengumuman ini Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV diperkenalkan oleh PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) sebagai sebahagian daripada usaha membantu pengguna kenderaan NGV dalam proses peralihan kepada kenderaan petrol, diesel atau lain-lain.
Pada ketika ini terdapat 44,383 kenderaan aktif menggunakan NGV di Malaysia. 9,509 daripadanya ialah teksi serta kereta seru pandu, 32,137 kenderaan pendaftaran persendirian, 2,150 bas serta lori dan 587 unit kenderaan/jentera. Sekitar 2008 penggunaan NGV meningkat disebabkan oleh harga petrol dan diesel yang diapungkan kerajaan.
Menerusi program ini tiga pakej bantuan akan ditawarkan. Pakej pertama ialah untuk golongan pemandu teksi NGV. Pemandu teksi NGV yang layak akan menerima e-baucar Setel bernilai RM3,000 secara one-off yang akan dikreditkan melalui aplikasi Setel.
Pakej kedua pula ialah khusus untuk pemilik kenderaan dwi-bahan api mengikut terma dan syarat. Perkhidmatan menanggalkan kit NGV di bengkel yang dilantik akan diberikan secara percuma kepada kenderaan dwi-bahan api.
Akhir sekali ialah pakej ketiga khusus untuk pemilik kenderaan bahan api tunggal NGV yang layak akan menerima bayaran secara one-off. Permohonan untuk program ini perlu dilakukan sebelum 31 Disember 2024. Untuk maklumat lanjut sila ke pautan ini.