Kalau anda diberi peluang menguji pandu sebuah SUV premium, sudah tentu ia peluang yang tak dilepaskan bukan? Kebetulan admin pun dah lama mengidam model ini dari keluaran pertama XC90 T5 lagi, cuma belum berkemampuan untuk memilikinya. Terima kasih kepada Volvo Cars Malaysia yang bermurah hati memberi peluang ini pada ENJIN DOTcom untuk menguji pandu model ini. Walaupun kami hanya dapat mengujinya dalam masa yang singkat, sempat jugalah admin pusing-pusing sekitar Kuala Lumpur dan ke Bandaraya Ipoh seketika untuk merakamkan detik-detik bersama Volvo XC90 ini.
Di pasaran Malaysia, model-model SUV bersaiz besar ini agak banyak juga seperti BMW X6/5, Audi A9, Mercedes GLC/GLE dan berbagai lagi.Di antar barisan SUV yang banyak dipasaran adalah Volvo XC90, Apa yang menarik dengan ialah Volvo, ia ada nama dan aura ketahanan dan keselamatan yang tinggi sejak dari zaman kita kecil lagi jenama ini berada dipasaran Malaysia. Slogan Volvo, “For life” bukan biasa-biasa dan ada makna.
Bila kali pertama menatap reka bentuk X90 ini, admin terfikir tentang bentuk yang segak tetapi mewah dengan kekemasan sebuah SUV bersaiz besar ini. Walaupun pada mulanya agak kekok dengan saiznya, percayalah itu hanya di dalam kotak fikiran kita sahaja. Apabila kita memandu dan mengawalnya, ia amat mudah dan sungguh selesa bagaikan seorang Maharaja yang berjalan dengan penuh yakin dan bergaya.
Pemanduan sebuah kenderaan SUV besar sebegini, terutamanya di lebuh raya atau perjalanan jauh memang selesa dan tidak memenatkan. Tidak hairanlah segmen SUV mewah ini rancak di pasaran dan pengeluar kenderaan berlumba-lumba menghasilkan model masing-masing untuk memenuhi permintaan pasaran. Boleh dikatakan bagi yang mampu memiliki lebih dari sebuah kenderaan, akan memilih sebuah SUV bagi melengkapi keperluan mereka.
Apabila melalui kawasan bandar yang terkenal dengan kesesakan trafik di waktu puncak dengan saiz Volvo XC90 T5 ini, gusar juga rasanya kerana SUV ini lebar, besar ditambah dengan status mewah Volvo ini. Takut tercalar pula. Tetapi bila anda mula memandunya, percayalah, ia menjadi amat mudah. Ini dialami oleh admin sendiri ketika ke Bandaraya Ipoh di kawasan tarikan pelancong di “street art of old town/heritage trail” yang terletak di Jalan Panglima yang sempit. Tambahan lagi, Volvo XC90 T5 ini tak mustahil menjadi idaman kaum ibu di rumah. Kenapa? Tak percaya? Admin dah mengalaminya bila membawa balik Volvo XC90 T5 ini hingga menjadi bualan makcik bawang di taman!.
Pada awalnya apabila disebut sahaja Volvo XC90 T5 ini, agak payah untuk melihatnya di atas jalan raya kita. Tetapi melalui pengamatan admin, boleh dikatakan dalam setiap perjalanan tak kira di mana sahaja terutamanya dalam negeri Selangor, admin terlihat 2 hingga 4 buah Volvo XC90 di jalan raya atau di tempat meletak kenderaan, boleh tahan siapa yang memilikinya berbaloi. SUV ini benar-benar hanya bagi mereka yang yakin akan jenama Volvo dan faham akan keselamatan dan keselesaan sebuah Volvo XC90 T5. Seperti kata pepatah, “Tak kenal, maka tak cinta.” Kena cuba baru tahu. Bila dah tahu, mula gelisah mana nak cari duit, hahaha.
Setiap kenderaan tidak lah 100% menarik dan sempurna sifatnya, tetapi Volvo XC90 T5 hampir mencapai kesempurnaan bagi sebuah SUV. Bagi admin, ia memadai dan berkualiti. Ini sudah sebati dengan Volvo dari dahulu lebih-lebih lagi ketahanannya.
Bahagian dalamnya agak luas dan ia antara SUV yang mempunyai 7 tempat duduk. Selesa untuk seisi keluarga. Bagi yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, tiada masalah untuk berjalan dan meletak barang yang luas di bahagian belakang walaupun kesemua 7 tempat duduk digunakan.
Volvo XC90 T5 bernadikan enjin petrol 2 liter, empat silinder dengan turbo yang menjana 254 hp pada 5.500 rpm dan 350 Nm tork sekitar 1,500-4,800 rpm. Penghantaran kuasa ke roda menggunakan kotak gear AW-TG-81SC lapan kelajuan automatik dengan sistem pacuan semua roda.
Dari segi prestasi, XC90 T5 AWD boleh mencapai kelajuan dari 0-100 km / j dalam masa 7.9 saat serta kelajuan tertinggi melebihi 215 km/j. SUV bukan dicipta untuk menandingi sebuah kereta sport, tetapi untuk keselesaan dalam perjalanan. Penggunaan bahan api dengan cara pemanduan digabungkan mencapai 7.9 liter bagi setiap 100 kilometer. Harga yang ditawarkan bagi XC90 T5 AWD adalah dalam lingkungan RM373,888, atas jalan tanpa insurans. Ini menjadikan harganya lebih rendah berbanding dengan saudara kandungnya, Volvo T8 – RM403,088 yang juga telah berada di pasaran.