KEMASKINI BAGI MODEL TOYOTA HILUX, FORTUNER & INNOVA

Shah Alam, 16 Ogos 2019 — UMW Toyota (UMWT) memulakan kalender separuh kedua 2019 syarikat dengan pengenalan beberapa peningkatan serta tambahan varian terbaru bagi barisan model Toyota Hilux. Selain itu, SUV Toyota Fortuner dan MPV Toyota Innova juga tidak ketinggalan diberikan kemaskini semasa.

Tempahan bagi model-model dengan kemaskini terbaru ini mula dibuka pada 16 Ogos 2019 di semua bilik pameran Toyota seluruh negara.

VARIAN BARU TOYOTA HILUX

Bagi trak pikap, Hilux 2.8 Black Edition kini menggantikan Hilux 2.8 L-Edition. Penampilan versi Black Edition ini lebih menonjol dengan tema kemasan warna luaran yang digabungkan antara hitam dan kelabu gelap. Kemasan hitam berkilat turut diberikan pada bahagian pemegang pintu, perumah lampu kabus, cermin sisi serta rim 18-inci, sementara kemasan kelabu gelap digunakan pada pelindung bampar. Warna kelabu yang turut dikenakan pada bahagian gril, yang hadir sekali bersama kemasan hitam untuk menjadikannya lebih menonjol.

Hilux 2.8 Black Edition kini menjadi varian paling tinggi bagi trak pikap berkenaan dengan harga jualan RM139,888 di Semenanjung Malaysia bagi pendaftaran persendirian, tanpa insurans. Lain-lain varian yang ada termasuk 2.4 Single Cab M/T, 2.4 Single Cab M/T, 2.4 STD M/T, 2.4 G M/T, 2.4 G A/T dan 2.4 L-Edition A/T, yang dijual pada harga antara RM90,000 dan RM124,888.

Toyota Hilux 2.8 Black Edition terbaru ini juga menerima sistem infotainmen baru dengan skrin paparan 6.75-inci yang lebih jelas dan lancar. Dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay yang didatangkan secara standard, sambungan yang lebih mudah boleh dilakukan terhadap kebanyakan telefon pintar semasa ketika ini (dengan perisian yang berkaitan telah dimuat turun). Ini secara tidak langsung dapat memperkayakan lagi pengalaman pengguna.

Cadangan lain yang turut diperkenalkan ialah ciri Vehicle Telematics System (VTS), dengan yuran langganan percuma selama tiga tahun melalui pembelian pakej insurans Toyota. Sebagai tambahan, perakam video digital (DVR) di belakang juga menjadi pelengkap kepada ciri sama yang dipasang di hadapan. Dengan ini, pengguna akan mempunyai bukti kukuh melalui rakaman di depan dan belakang kenderaan sekiranya berlaku perlanggaran.

Pelanggan juga boleh menyertakan sekali pembelian mereka dengan ciri keselamatan tambahan seperti peninjau titik buta (BSM) pada cermin sisi serta ciri Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) untuk mengesan kenderaan yang mungkin berada pada sudut yang sukar dilihat.

PENINGKATAN TOYOTA FORTUNER

Toyota Fortuner 2.7 SRZ dan 2.4 VRZ pula kini lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard, bersekali dengan paparan skrin sembilan-inci bagi sistem infotainmen yang ada. Ini menyediakan sambungan mudah bagi kebanyakan telefon pintar ketika ini, dengan sambungan melalui perisian berkaitan yang perlu dimuat turun. Skrin baru ini lebih mudah dan jelas untuk penglihatan.

Varian Fortuner 2.4 juga kini telah diberikan tujuh beg udara sebagai perlindungan tambahan, yang turut meliputi bahagian tingkap, sekaligus menjadikan ruang kabin lebih selamat sekiranya berlaku perlanggaran serta mengurangkan kemungkinan penumpang tercampak ke luar kenderaan dalam situasi kemalangan.

Pelanggan kini boleh memilih perakam video digital (DVR) di belakang sebagai pilihan tambahan kepada ciri sama yang sudah tersedia di hadapan dengan setiap pembelian Fortuner baru ini. Ia akan dipasang secara profesional oleh juruteknik UMWT sendiri yang telah diberi latihan khusus untuk memastikan kualiti pemasangannya setanding dengan kualiti keseluruhan kenderaan.

Harga bagi Fortuner 2.7 SRZ A/T dan 2.4 VRZ A/T tidak berubah. Bagaimanapun, bagi varian 2.4 A/T, ia kini dijual pada harga RM171,500 untuk Semenanjung Malaysia (tidak termasuk insurans).

PENINGKATAN TOYOTA INNOVA

Seperti Fortuner, varian Innova 2.0X dan 2.0G kini didatangkan dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay sebagai standard dengan skrin sembilan-inci bagi sistem infotainmen yang disediakan. Ini menyediakan paparan lebih jelas dan mudah untuk dilihat.

Ciri tinjauan titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) pula ditawarkan sebagai ciri pilihan. Kedua-dua ciri keselamatan tambahan ini mampu membantu mengurangkan kebarangkalian berlakunya perlanggaran yang disebabkan oleh keupayaan untuk melihat kenderaan lain dalam situasi-situasi tertentu.

Pelanggan juga boleh menambah ciri perakam video digital (DVR) bagi kedua-dua bahagian hadapan dan belakang kabin. Dengan tempahan ketika pembelian, pemasangan akan dilakukan di pusat aksesori khusus UMWT.

Terdapat tiga varian ditawarkan bagi Innova terkini, semuanya dikuasakan oleh enjin 2.0 liter; Innova 2.0X A/T, Innova 2.0G A/T dan Innova 2.0E A/T yang tidak melibatkan perubahan harga berbanding sebelum ini.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman toyota.com.my atau menghubungi talian bebas tol Toyota 1-800-8-TOYOTA (869682).