Kawasaki ZX10R SE 2019

Admin mula kenal jenama Kawasaki semasa admin mengenali pengasas majalah Roda-Roda, arwah MYB atau Boss (Al-Fatihah). Masa tu, arwah Boss antara  pemilik Kawasaki ZX10 yang menjadi idaman peminat motosikal berkuasa tinggi ketika itu dan beliau banyak mengajar admin tentang dunia motosikal. Pada waktu itu bentuk dan beratnya boleh tahan, lebih kepada sebuah ‘sport touring’. Kini, peralihan zaman menjadikan Kawasaki ZX10 berubah kepada sebuah ‘super sport’ dan Kawasaki galak dalam memperkenalkan siri ‘superbike’ mereka dan antara model yang masih bertahan dan terus bertenaga di litar-litar perlumbaan SBK ialah Kawasaki Ninja ZX10. Kawasaki kali ni kembali dengan model 2019, ZX10R SE yang telah ditambah baik lagi…Mantap.

Semasa diperkenalkan pada awal tahun ini, admin memang dah menyimpan niat ingin mengujinya. Alhamdulillah, pihak Kawasaki Motors Malaysia sudi menyediakan seunit model ini untuk diuji tunggang oleh ENJIN DOTcom, dapat le admin melaram.

Kawasaki ZX10 adalah antara ‘superbike’ yang ringan dan ini menjadikannya mudah untuk ditunggang. Jika anda seorang penunggang baharu, anda boleh biasakan diri dengan gaya tunggangan agresif juara SBK ini. Admin berani katakan, Kawasaki ZX10R SE ini adalah antara ‘superbike’ yang mesra pengguna bila kita menunggangnya. Ia benar-benar mengikut arahan dan lenggok kita tak kira di jalan lurus atau ketika melayan selekoh.Tak hairan lah ZX10 boleh dikatakan menjadi antara pilihan peminat motosikal berkuasa tinggi dari awal kemunculannya sehingga kini.

Posisi menunggang yang agresif tetapi masih lagi selesa membuatkan kawalannya terasa amat ringan dan mudah dikawal seolah-olah kita menunggang sebuah motosikal bersesaran bawah 500cc, cukup yakin dan mudah jika anda seorang yang suka dengan kelajuan tinggi. Cuma admin rasa terkilan kerana skema warna yang dipadankan dengan model ini adalah terlalu ringkas. Kebiasaannya, skema warna yang garang seperti sebuah model lumba SBK adalah antara tarikan sebuah motosikal ‘supersport’ yang dihasilkan untuk jalanan. Jika ia dihasilkan dengan skema warna seperti ini, admin yakin reka bentuknya akan lebih menyerlah.

Kawasaki juga telah memberikan model ZX10R SE 2019 ini dengan enjin  998cc terbaharu dengan kuasa kuda yang lebih tinggi – 210hp, Kuasa ini adalah khas untuk pemilik ZX10 yang rata-ratanya berjiwa kelajuan dan sering turun ke litar, paling ketara inginkan sebuah model juara SBK sebenar. Selain daripada itu, model baharu ini juga dilengkapi dengan teknologi perlumbaan untuk kawalan tunggangan yang optimum seperti, Suspensi Kawalan Elektronik Kawasaki (KESC), ‘Kawasaki Launch Control Mode’ (KLCM), ‘Traction Control’ dengan 3 mod kuasa (Full/Medium/Low) untuk semua jenis jalan raya dan sistem brek KEBC (Kawasaki Engine Braking Control), Showa Balance Free Front Fork, Kawasaki Quick Shifter, Ôhlins Electronic Steering Damper, Electronic Throttle Valve dan rim sport Marchesini (hanya untuk varian SE dan ZX10 RR sahaja). Antara lain yang istimewa dengan ZX10R SE 2019 ini adalah warna cat yang merawat sendiri (Self Healing Paint) jika terdapat bahagian yang mudah calar pada luaran jentera ini.Kawasaki Launch Control Module (KLCM) yang terdapat pada model ini amat menjadikan tunggangan lebih menyeronokkan dan lancar serta akan memastikan roda hadapan sentiasa melekat di atas jalan raya ketika pendikit diperah pada gear satu dan dua…Sungguh mengasyikkan, antara yang menarik  bagi model baharu ini dengan penukaran gear dapat dibuat secara lancar dengan adanya Kawasaki Quick Shifter Dwi Arah, sistem wajib ada bagi sebuah ‘superbike’ masa kini.

Motosikal ZX10R SE 2019 ini juga dilengkapi dengan sepasang brek Brembo M50 Monobloc (Dual Semi Floating Disc) dengan cakera bersaiz 330 mm di hadapan, ditambah dengan KIBS (Kawasaki Intelligent Brake System) yang membolehkan kita ‘trail-brake’ secara optimum semasa mengambil selekoh dibantu oleh sistem KCMF (Kawasaki Cornering Management Function) yang memastikan tayar di belakang tidak tergelincir atau ‘slide’ semasa menunggang di selekoh dengan agresif.

Spesifikasi Kawasaki ZX-10R SE 2019 hadir dengan enjin 998cc empat silinder sebaris 16-injap DOHC, 4 ‘dual-injectors’ bersaiz 47mm, injap pendikit elektronik dengan S-KTRC, Ride Modes, KEBC, KLCM dan KQS. Kuasa maksimum yang terhasil ialah 210 PS pada 13,000 rpm (dengan efek Ram Air) dengan tork maksimum 113.5 Nm pada 11,500 rpm yang dipacu melalui transmisi 6 kelajuan dipadankan dengan jentera yang beratnya hanya 206 kg. Kawasaki ZX10R SE 2019 yang mengasyikkan ini ditawarkan dengan harga RM140,000 (harga atas jalan).