Kawasaki H2 SX yang Mengujakan

Kawasaki… Boleh dikatakan semua peminat motosikal di Malaysia mengenali jenama yang terkenal dengan motosikal berkuasa besar ini. Antara ‘superbike’ terawal Kawasaki ialah model GPZ, ZX10, ZZR, ZX14 dan sekarang Kawasaki mengulangi kehebatannya dengan kemunculan Kawasaki H2 SX.

Kawasaki terlebih dahulu melancarkan Kawasaki H2 dan H2R, dan model-model ini adalah yang pertama dikomersialkan dengan enjin induksi paksa, ‘supercharger’. Kuasa tambahan ini menjadikan model-model Kawasaki ini kegilaan yang agak sukar dikawal. Admin pernah menguji tunggang Kawasaki H2 dahulu dan kali ni diberi peluang dengan Kawasaki H2 SX. Pada mulanya sukar fikiran ini nak hadam apabila enjin dengan induksi paksa sebegini dipadankan pada sebuah motosikal dalam segmen ‘touring’ dimana cara tunggangannya adalah berbeza dan tidak berapa agresif dan ini adalah enjin ‘supercharge’ yang sungguh berkuasa!!!


Admin rasa sukar nak mengawal diri untuk bertenang dengan raksasa hijau ini. Semasa melalui Lebuhraya Karak ke Bentong bagi memenuhi jemputan majlis perkahwinan anak tuan punya kedai makan yang tak asing lagi iaitu Lemang To’Ki, Kawasaki H2 SX ini berjaya menarik perhatian peminat-peminat motosikal untuk melihatnya dari dekat. Sempat juga diberi penghormatan untuk bersekali dengan konvoi mengiringi pengantin.


Berbalik kepada tunggangan di lebuh raya terbuka seperti Lebuhraya Karak, kuasa yang dihamburkan seperti tiada had dan tiada sekatan untuk anda menggunakan kuasa itu setiap masa. Pada kelajuan selamat di lebuh raya, Kawasaki H2 SX ini mampu membuatkan anda rasa teruja melayan selekoh-selekoh di lebuh raya.


Menurut Kawasaki, faktor ekonomi dengan prestasi menjadi matlamat pembinaan Ninja H2 SX, bukan membuat sesuatu yang dianggap “melampau”, seperti Ninja H2. Walaupun ia sebuah motosikal dengan enjin ‘supercharger’, ia tidak bermakna Kawasaki H2 SX ini super-agresif. Untuk Ninja H2 SX ini, ia sungguh berkuasa tetapi ia juga serba boleh dan boleh diuruskan dengan santai jika anda mahu. Tetapi perkara ini tidak diuji oleh admin sehinggalah motosikal ni dipulangkan kepada Kawasaki. Naluri ingin mencuba kuasanya membuatkan kita lupa ia juga adalah sebuah Sport Touring!

Apabila kita menunggangnya dengan putaran enjin antara 10,000 rpm hingga mencapai garisan merah pada 12,000 rpm, enjinnya menghasilkan bunyi kicauan yang sungguh merdu membuatkan kita nak lagi dan lagi mendengar bunyi itu. Menurut Kawasaki, hujung bilah pemutar supercharger memecahkan halangan bunyi. Ia adalah ciri enjin yang menyatakan ia sebuah enjin ‘supercharged’.

Kawasaki H2 SX ini menggunakan enjin induksi paksa ‘supercharge’ empat silinder 998 cc yang sama seperti H2 tetapi ditala dengan “lembut” untuk kegunaan harian terutama bagi penggemar kembara. Jurutera Kawasaki meletakkan unit supercharger baharu pada H2 SX ini dan kuasanya kini menjadi 200 PS pada 11,000 rpm dan menjana 137.3 Nm tork pada 9,500 rpm. Sebagai perbandingan dengan H2, enjin yang terdapat pada H2 SX adalah kurang 5 PS tetapi torknya lebih 4.2 Nm.

Kawasaki H2 SX dilengkapi dengan unit pengira inertia (IMU), yang sekaligus dapat mengaktifkan KTRC (termasuk fungsi ‘traction control’ dan ‘wheel lift control’), KIBS (termasuk ‘pitching control’ dan ‘corner braking control’) dan Kawasaki Engine Brake Control, tetapi bagi model SE, ia mendapat tambahan KLCM (‘launch control’).

Harga anggaran Kawasaki H2 SX adalah lebih kurang RM136,000. Memang tidak murah tetapi berbaloi dengan harganya kerana anda akan memiliki sebuah jentera dengan enjin ‘supercharge’ yang tidak ramai memilikinya.