Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 3,722 kenderaan Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024 selepas didapati tidak mematuhi peraturan spesifikasi ditetapkan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata, ia membabitkan sebanyak 2,518 kereta Perodua Alza 1500 x (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT), 1,139 Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV kerana berkaitan masalah ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi.
Katanya, bagi 65 motosikal Honda CB35ORS pula berkaitan permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem brek antikunci (ABS), ‘traction control’ dan meter had laju tidak tepat.
“Setiap pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi Perodua Manufacturing Sdn Bhd (Perodua) dan Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda).
“la bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing atau pemilik kenderaan turut dibenarkan hadir secara ‘walk-in’ ke mana-mana pusat servis pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aedy Fadly berkata, mana-mana komponen terbabit dengan isu itu akan digantikan dengan kos ditanggung pihak syarikat pengeluar kenderaan berkenaan.
Justeru, katanya, semua pemilik kenderaan model berkenaan diminta membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.
Katanya, berhubung maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula itu, pemilik kenderaan boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda berdekatan.
Bagi pemilik Perodua, mereka boleh talian,1-800-88-6600 atau melayari https://www.ufirst.com.my/member/login atau melalui aplikasi U-First.
Sementara untuk Boon Siew Honda, pelanggan boleh menghubungi talian 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line) atau melayari https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/.
Katanya, JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan kesemua unit kenderaan terbabit akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.