Honda Malaysia panggil semula 36,000 unit model Civic, Civic Type-R dan CR-V

Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan kemaskini produk secara proaktif melibatkan kira-kira 36,000 unit model Civic, Civic Type R, dan CR-V. Langkah ini diambil untuk mengemas kini kotak gear Electric Power Steering (EPS) pada kenderaan yang terlibat.

Isu yang dikenal pasti adalah pada roda ulir kotak gear EPS, yang mungkin mengembang dan mengurangkan ketebalan filem grease, menyebabkan bunyi abnormal pada stereng atau kendalian stereng tidak lancar.

Model yang terlibat adalah Civic Tahun Model 2022-2024, Civic Type R Tahun Model 2023-2024, dan CR-V Tahun Model 2024.

Honda CR-V

Honda Malaysia dalam satu kenyataan, memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan yang terlibat. Syarikat juga memberi jaminan bahawa model lain dalam pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas oleh kemaskini produk ini.

Honda Malaysia menegaskan bahawa kemaskini produk ini adalah penting kerana keselamatan pelanggan adalah menjadi keutamaan. Semua pelanggan terlibat akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang mengandungi butiran lanjut mengenai kemaskini produk ini.

Honda Civic

Honda Malaysia menggesa pelanggan yang terlibat menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat janji temu selepas menerima pemberitahuan, bagi pemeriksaan atau pembaikan jika diperlukan.

Honda Malaysia akan menanggung kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas. Tambahnya lagi, stok gantian akan disediakan secara berperingkat bermula Disember 2024.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau memeriksa status kenderaan mereka untuk kemaskini produk ini dengan menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020, melayari laman web productrecall.honda.com.my, atau menghubungi mana-mana pengedar sah Honda.