Ketika kali pertama Honda Africa Twin XRV650 diperkenalkan pada tahun 1988, model ini telah menambat hati ramai peminat motosikal dwi kegunaan (dual purpose). Honda Africa Twin pernah dinobatkan sebagai jaguh dalam sukan permotoran yang paling lasak di dunia, Rally Paris Dakar.
Tahun 1986, Honda telah memulakan misi untuk memberi cabaran di perlumbaan rali yang paling mencabar ketika itu – Rali Paris Dakar – dengan model baru yang direka khas, NXR 750. Dengan lahirnya model khas ini, Honda berjaya meraih kedudukan juara sebanyak 4 kali dan memberi tentangan sengit kepada jenama-jenama yang mendominasi Rali Paris – Dakar sebelum ini. Berikutan kejayaan Honda ini, Ketua Unit Reka Bentuk Honda, Tomonori Mogi menggunakan model NXR 750 sebagai asas untuk model yang akan dikomersialkan dikenali sebagai XRV 650 atau Africa Twin. Africa Twin pertama yang dilancarkan pada 20 Mei 1988 dipadankan dengan skema warna merah, biru dan putih, sama seperti model yang memenangi Rali Paris Dakar. Pada tahun 1990 Africa Twin XRV 750 dilancarkan tetapi kali ini menggunakan enjin bersesaran lebih besar, SOHC V-Twin berkapasiti 742cc. Model XRV 750 ini juga melalui 3 kali perubahan naik taraf iaitu pada tahun 1993, 1996 dan terakhir pada 2003 sebelum dihentikan pengeluarannya.
Setelah lama menyepi, Honda memperkenalkan kembali model Africa Twin CRF1000L pada tahun 2016 dan sempena ulangtahun ke-30 pada 2018, Honda sekali lagi memperkenalkan model Africa Twin Adventure Sports CRF1000L2 yang telah di naik taraf. Kehadiran model ini sedikit sebanyak telah menggugat jenama motosikal ‘adventure sport’ yang lain. Africa Twin Adventure Sports ini hadir dengan dua model iaitu model Dual Clutch Transmission (DCT) dan juga manual. Kami di ENJINDOTcom diberi peluang oleh pihak Honda untuk menunggang uji Africa Twin Adventure Sports DCT. Walaupun secara fizikal Africa Twin ni kelihatan agak tinggi, admin mudah menyesuaikan diri dengannya.
Admin memulakan acara membelek Africa Twin ini dahulu yang dikatakan telah banyak dinaik taraf dari model sebelumnya. Honda Africa Twin Adventure Sports edisi 30 tahun ini dipadankan dengan kombinasi warna rasminya iaitu putih, biru dan merah. Jadi untuk model edisi 30 tahun, hanya ada satu pilihan warna sahaja. Jangan nak tanya warna apa yang ada lagi.
Tangki CRF1000L2 berkapasiti lebih kurang 24 liter, lebih besar berbanding CRF1000L yang berkapasiti 18 liter, bagi membolehkan kita mengembara lebih jauh. Pelananya pula kali ini ‘flat’ 35.4 / 36.2 inci, 1.2 inci lebih tinggi daripada model sebelumnya. Walaupun begitu, material yang digunakan untuk pelana ini memberikan keselesaan yang cukup ketika menunggang.
Kedudukan ketika menunggang Honda Africa Twin Adventure Sports juga ada perubahan dimana hendal ditinggikan dan posisinya kebelakang sedikit bagi memberikan tunggangan yang lebih selesa dan meyakinkan ketika di laluan ‘offroad’. Tetapi admin merasakan kedudukan begini juga agak ideal bagi semua permukaan jalan, tidak mudah penat. Penghadang angin hadapan yang tinggi juga membantu mengurangkan rintangan angin daripada terus mengenai penunggang dengan kuat.
Enjin bersesaran 998cc, 2 silinder sebaris betul-betul memberikan kepuasan menunggang dengan sistem DCT (Dual Clutch Transmission) yang sangat lancar, walaupun kadang-kadang dalam kesesakan lalu lintas terlajak pula admin nak tarik klac untuk menukar gear. Admin memang jatuh cinta dengan model ini sampaikan terasa seperti menunggang sebuah skuter. Pada mod ‘Urban’, penukaran gear hampir tidak dirasai. Honda Africa Twin Adventure Sports ini mempunyai 4 jenis mod tunggangan yang boleh diubah mengikut kesesuaian, ‘Urban’, ‘Tour’, ‘Gravel’, dan juga ‘User’ dimana mod ini boleh ditetapkan mengikut kesesuaian peribadi pemiliknya dari segi kuasa enjin, ‘engine braking’ dan ‘traction control’.
Sistem ‘traction control’ Honda Africa Twin Adventure Sports ini mempunyai 7 tahap kesesuaian. Bagi penunggang yang mempunyai kemahiran tinggi tidak kira jenis permukaan jalan, ‘traction control’ ini boleh dimatikan fungsinya. Bukan itu sahaja, fungsi sistem ABS pun boleh dimatikan juga bila perlu. Semua indikasi ini boleh dilihat pada panel meter yang baharu dengan terang dan mudah.
Ketika admin menggunakan jalan persekutuan atau ada yang panggil jalan kampung, admin tukar kepada mod ‘Tour’. Mod ini memberikan kita lebih kuasa dan seperti biasa di jalan kampung ni, kadangkala memerlukan aktiviti memintas yang agak kerap. Malah jika perlu, penunggang boleh menukar gear secara manual dengan menggunakan suis pengawal gear di sebelah kiri hendal. Syok weiii… Sistem suspensi boleh laras 45mm Showa ‘inverter forks’ dan suspensi belakang boleh laras menambahkan lagi tahap keselesaan menunggang di atas apa jua permukaan jalan.
Apa lagi yang ada pada Honda Africa Twin Adventure Sports ini yang membolehkan ia menjadi satu pilihan yang bijak bagi bakal pemiliknya? Honda Africa Twin Adventure Sports ini dilengkapi dengan pemanas tangan yang amat berguna ketika musim hujan. Soket elektrik 12 volt juga tidak sah jika tiada kerana memang hampir semua penunggang memerlukannya untuk mengecas telefon bimbit yang sering digunakan sebagai GPS ketika dalam perjalanan. Pelindung bahagian enjinnya juga lebih besar untuk memberikan perlindungan yang lebih baik ketika berada di laluan ‘offroad’. Pelindung besi dibahagian hadapan dan tepi juga adalah aksesori standard model ini. Maknanya selepas beli, Honda Africa Twin Adventure Sports CRF1000 L2 ini bersedia untuk pergi ke mana sahaja.
Bagi admin, Honda Africa Twin Adventure Sports merupakan sebuah model untuk apa jua aktiviti. Bagi penggunaan harian, beriadah atau mengembara memang tiada batasannya. Dengan harga bermula daripada RM82,718.50 bagi model manual dan RM89,496.90 bagi model DCT, ia menjadikan pemiliknya seorang pengguna yang bijak memilih untuk salah satu model terbaik daripada Honda.