Bermula dengan impian untuk merekacipta motorsikal yang boleh diterima oleh masyarakat sedunia, Research & Development Team di ibu pejabat Honda telah mengadakan satu pertandingan dalaman, bagi rekacipta bentuk motorsikal yang mempunyai tarikan global.
Hasil dari pertandingan dalaman itu, yang dimenangi oleh Team R&D Honda Thailand, maka lahirlah skuter yang diberi nama Honda ADV 150. Bagi mereka yang sedang merancang untuk membeli sebuah skuter untuk kegunaan harian, maka model Honda ADV 150 ini sepatutnya menjadi salah satu model pilihan untuk dipertimbangkan dalam senarai belian anda!
Mari kita lihat ciri-ciri yang ada pada model Honda ADV 150 ini.
- Untuk menunggang Honda ADV150 2021, anda tidak perlu menjadi seorang penunggang motorsikal yang mahir. Skuter ini amat mudah dan senang dikendali, bahkan bagi mereka yang tidak pernah mengendalikan motosikal boleh menunggangnya. Anda tidak perlu menggunakan klac, hanya lompat dan terus duduk atas motorsikal ini, tekan butang Start dan putar pendikit, anda akan terus meluncur pergi dengan penuh bergaya!
- Walaupun hanya sebuah skuter berkuasa 150 cc, skuter ini dilengkapi dengan system SMART Key Honda. Dengan sistem Smart Key Honda, tombol utama skuter diaktifkan secara automatik ketika pemiliknya menghampiri skuter, dan enjin dapat dihidupkan tanpa memasukkan kunci Ianya juga dilengkapkan dengan alat penggera sekiranya ada percubaan untuk mencuri skuter ini.
- Kesemua lampu skuter Honda ADV 150 ini menggunakan lampu LED untuk penggunaan elektrik yang lebih efisen dan pencahayaan yang lebih terang. Lampu belakang terpisah dari lampu isyarat belok belakang (kiri & kanan), dan menggabungkan reka bentuk “X” yang mengekspresikan konsep crossover skuter ini.
- Cermin hadapan skuter ini boleh dilaras ke 2 posisi kedudukan tanpa menggunakan sebarang alat. Posisi rendah membolehkan aliran angin ke tahap dada penunggang untuk keselesaan tunggangan di dalam bandar manakala posisi tinggi akan melindungi penunggang dari aliran angin yang kuat ketika melakukan perjalanan jarak jauh rentas border! (bila la border nie nak dibuka?!)
- Enjin 4 lejang silinder tunggal 149 cc memberikan kuasa yang cukup bertenaga dan lancar. Reka bentuk Tenaga Pintar (eSP) yang dibangunkan oleh Honda dengan kecekapan pembakaran bahan api menampilkan teknologi canggih termasuk starter ACG, dan sistem start-stop yang secara automatik mematikan enjin semasa skuter sedang berhenti untuk mengurangkan pelepasan karbon monoksid. Skuter yang mesra alam!
- Ruang simpanan kalis air sebesar 27 liter di bawah tempat duduk skuter ini mampu menyimpan sebiji helmet full face dan pelbagai barangan lagi. Manakala di sebelah kiri bahagian depan terdapat lagi satu ruang simpanan bersaiz 2 liter. Di dalamnya terdapat port 12 volt untuk mengecas telefon bimbit atau barangan elektronik lain.
- Perasan tak kenapa model 150 cc ini dinamakan Honda ADV 150 manakala abang long diberi nama XADV 750? Mana pergi huruf X pada skuter 150 cc nie?! Walaupun skuter ini direkabentuk seperti sebuah skuter ‘off-road’ adventure namun pada pandangan Unkel, skuter ini lebih sesuai untuk penggunaan dalam bandar dan kembara jarak jauh. Kalau light off-road boleh la cuma jangan masuk Rimba Raid guna skuter cantik ni, ya dik!
Honda ADV 150 telah dijual dengan larisnya macam goreng pishang cheese panas di pasaran Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand dan Filipina manakala ianya bakal dipasarkan di Negara kita pada suku tahun pertama 2021. Jadi simpan sikit duit KWSP yang bakal dikeluarkan itu, buat deposit skuter ini ya anak-anak!
Akhir kata dari Unkel untuk semua pembaca enjindotcom, “Jangan ditunda kebahagiaan anda!”