GIVI bukan jenama yang asing di Malaysia dan peralatan yang dihasilkan GIVI popular bagi penunggang motosikal baik untuk kegunaan harian atau kembara jarak jauh. Penggunaan topi keledar adalah wajib bagi penunggang motosikal di Malaysia dan topi keledar jenis ‘modular’ menjadi antara pilihan utama dengan penggunaan ‘visor’ dengan Pinlock, ‘visor’ penghadang cahaya matahari yang boleh dilipat, pelindung hidung, sistem pengudaraan yang baik dan pelindung di bahagian dagu yang boleh dibuka penuh. Topi keledar sebegini amat mudah dan selesa digunakan terutamanya bagi mereka yang kerap berada di atas jalan raya dan berhenti-henti, lebih-lebih lagi ketika menunggu lama di persimpangan lampu isyarat. Bagi yang gemar mengembara dan melancong terutamanya menggunakan laluan desa yang mempunyai pemandangan cantik, tentu tidak akan melepaskan peluang menikmati panorama dan menghirup udara segar. Ia amat memudahkan kita bila memakainya dan amat mudah untuk membuka bahagian hadapan sepenuhnya lebih-lebih lagi semasa berhenti lama di bawah panas terik (bayangkan anda dalam situasi ini ketika memakai topi keledar bertutup penuh).
GIVI telah menghasilkan topi keledar modular Voyager X.16 dengan pelindung dagunya mempunyai tanda amaran “ALWAYS CLOSED” yang bermakna, ia tetap tidak mengubah ciri-ciri keselamatan sebuah topi keledar bertutup penuh. Topi keledar ini boleh didapati dalam pelbagai warna dan ia juga dilengkapi dengan ‘Pinlock predisposition’ untuk ‘visor’ utama, visor matahari (dikawal oleh kabel keluli dalaman), sistem pembukaan / penutupan pelindung dagu yang sangat baik dengan titik kelongsong keluli dan butang kawalan yang mudah dikenal pasti walaupun bersarung tangan. Mekanisme untuk menaikkan pelindung dagu berada di bahagian dalam, menekan butang merah melepaskan sistem penambat dan kita dapat menaikkan pelindung dagu. Sistem penambat adalah melalui pangsi (pivot). Jadi apabila kita menutupnya, kita dapat mendengar “klak” yang menandakan penutupan lengkap yang sepatutnya. Perlu diingat bahawa topi keledar ini telah dibuat untuk berada dalam keadaan bertutup penuh; dengan kata lain dalam keadaan pelindung dagu diturunkan.
Sistem pengudaraannya mencukupi dengan peresap hingga ke bahagian belakang kepala. Ia agak selesa dipakai dengan berat keseluruhan hanya 1,690 gram. Ada dua liang pengudaraan utama pada GIVI Voyager X.16. Kedua-dua penutup liang pengudaraan ini boleh dibuka dengan mudah walaupun dengan memakai sarung tangan dalam keadaan pelindung muka bertutup penuh ketika menunggang. Rekaannya yang baik membenarkan udara beredar di dalam topi keledar, keluar melalui lubang di bahagian ‘spoiler’ belakang yang dipasang secara tetap, jadi ia sentiasa berada dalam kedudukan terbuka. Terdapat juga liang kemasukan udara tambahan di bahagian pelindung dagu.
GIVI Voyager X.16 dilengkapi dengan ‘visor’ tahan lasak yang tidak mudah bercalar. Di samping itu, ia juga boleh ditukar kepada ‘visor’ anti-kabus dengan Pinlock. Antara kelengkapan keselamatan yang penting juga. Mr.Stick telah mencuba topi keledar Givi Voyager X.16 ini dari perjalanan dalam bandar hingga ke perjalanan jarak jauh. Salah satu topi keledar modular yang popular dikalangan pengembara merentas negeri dan negara.
Di bahagian dalam topi keledar Givi Voyager X.16, terdapat lapisan pelindung dengan antibakteria untuk mengelakkan bau busuk selepas penggunaan yang berpanjangan dan dapat dibuka untuk dibasuh. Lapisan ini direka untuk memberikan keselesaan optimum dalam perjalanan yang lama digabungkan dengan sistem pengudaraan yang baik. Di bahagian atas, Givi meletakkan kain mesh yang digabungkan dengan panel empuk dengan liang saluran untuk meningkatkan peredaran udara. Akhir sekali, sistem tali pengikat topi keledar GIVI Voyager X.16 ini adalah jenis mikrometrik yang mudah dicapai.
Secara keseluruhannya, dengan harga yang berpatutan, sekitar RM735.00 bagi topi keledar bermutu dari Itali ini, ia amat berbaloi untuk keselamatan anda, khususnya kepala, ketika menunggang dan untuk keselesaan sepanjang perjalanan.