CARSOME ACADEMY & SUNWAY UNIVERSITY BEKERJASAMA MEMPERKUKUHKAN KURIKULUM KEMAHIRAN INSANIAH UNTUK MENINGKATKAN KUALITI PELAJAR TVET

CARSOME Academy akan bekerjasama dengan Sunway University untuk membangunkan modul kemahiran insaniah (soft skills) untuk institusi latihan TVET dibawah program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Julung kalinya, sebuah institusi automotif dan Sunway University bekerjasama dalam membina sebuah kurikulum atas talian untuk memberi manfaat kepada pelajar CARSOME Academy yang mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Kurikulum ini mengandungi enam modul kemahiran insaniah iaitu modul asas dan modul pertengahan Bahasa Inggeris, Konsep Asas Kemahiran Komunikasi Teknologi Maklumat, Prinsip pengurusan serta kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Kurikulum kemahiran insaniah ini dibangunkan selaras dengan keperluan untuk menyediakan set kemahiran yang lebih holistik untuk pelajar automotif. Ia memberi tumpuan untuk mempertingkatkan sifat peribadi graduan CARSOME Academy supaya mereka dapat berinteraksi dalam dunia sebenar dengan lebih berkesan semasa mereka berada di persekitaran kerja yang kompleks. Kurikulum akan disampaikan oleh fakulti CARSOME Academy dalam talian dan juga di dalam kelas secara bersemuka.

Jiun Ee Teoh, Pengasas Bersama CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy berkata, “Melengkapkan pelajar kami dengan kedua-dua kemahiran insaniah dan teknikal akan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET CARSOME Academy, meningkatkan peluang mereka untuk berjaya mendapat peluang penempatan kerja di industri. Akhirnya, mereka akan menjadi rakyat Malaysia yang memberi kesan yang produktif dalam ekonomi. “ “Sejak penubuhan CARSOME Academy, kami sentiasa berusaha ke arah memperkenalkan pendekatan pengajaran baharu yang inovatif untuk memastikan pelajar kami bersedia dalam industri. Pendekatan kami adalah sentiasa mengutamakan pada DNA industri automotif dan fokus utama kami adalah pelajar.

Realitinya kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk para pelajar mendapat tempat di industri. Mereka perlu bekerja bersama dengan orang lain dalam satu pasukan untuk menyelesaikan masalah, membangunkan perkhidmatan baharu dan mencapai matlamat organisasi. Kurikulum atas talian yang direka khas ini akan membantu mereka memperoleh pelbagai kemahiran profesional untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Di samping itu, kami mengambil berat seruan Kerajaan untuk meningkatkan nilai graduan TVET di Malaysia,” sambungnya. Profesor Sibrandes Poppema, Presiden, Sunway Universiti berkata, “Sunway University berbesar hati untuk bekerjasama dengan CARSOME Academy untuk membangunkan modul kemahiran insaniah untuk pelajar CARSOME Academy dan TVET sebagai sebahagian daripada laluan pendidikan holistik untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.”

Baru-baru ini, CARSOME Academy bersama Kerajaan Selangor mengumumkan biasiswa kepada pelajar yang berjaya diterima masuk ke institusi tersebut. Biasiswa TVET Selangor Untuk Pelajar CARSOME Academy 2023 ditawarkan kepada belia Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun yang dilahirkan di Selangor dan juga terbuka kepada penduduk negeri Selangor yang menetap di sini sejak lima tahun lalu. Biasiswa tersedia untuk 30 pelajar yang layak diterima masuk ke CARSOME Academy pada tahun 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai Biasiswa TVET Selangor Untuk Pelajar CARSOME Academy 2023, sila layari https://carsomeacademy.my/scholarship_2023/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *