BRIXTON MALAYSIA MENAMPILKAN GAYA KEUNGGULAN CROMWELL 1200 YANG LEBIH ‘VINTAGE’.

Dengan tema “Ride The New Old School”, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd yang juga merupakan pengedar rasmi jenama Brixton di Malaysia telah melancarkan sebuah model dengan sesaran enjin 1222cc iaitu Cromwell 1200. Jentera ini akan dijual pada harga permulaan iaitu RM55,888.00 istimewa untuk 100 pelanggan pertama dan selepas itu akan dijual pada harga RM58,888.00, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model ini juga hadir dengan dua warna pilihan iaitu Backstage Black dan Cargo Green dan boleh didapati sekarang di mana-mana pengedar sah Brixton di seluruh Malaysia.

Cromwell 1200 menggunakan enjin dua silinder selari, 4-lejang dan 8-injap yang berkemampuan untuk menghasilkan lontaran kuasa maksimum setinggi 83Hp pada 6,550rpm dan tork maksimum 108Nm pada 3,100rpm. Dari segi teknikal, motosikal seberat 235kg ini menggunakan suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan suspensi boleh laras di bahagian belakang. Untuk faktor keselamatan yang maksimum, Brixton Cromwell 1200 dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci ataupun ABS dwi-saluran di mana brek hadapan dipasang dengan dwi brek cakera jenis hidraulik dan brek belakang dipasang dengan brek cakera tunggal hidraulik. Sistem kawalan cengkaman turut dipasang, yang direka bagi mencegah kehilangan cengkaman pada roda.

Bagi mod tunggangan pula, model baharu ini mempunyai dua mod, Eco dan Sport, yang memberikan pengalaman tunggangan berbeza; mod Sukan membolehkan pendikit dibuka dengan lebih pantas, memberikan enjin rasa lebih langsung dan agresif pada pendikit Walaupun mempunyai reka bentuk vintaj klasik, Brixton Cromwell 1200 pasti memenuhi cita rasa peminat motosikal klasik berjiwa moden. Pelbagai aksesori tambahan turut disediakan pada model ini seperti bahagian enjin, yang dilindungi oleh plat gelincir yang diperbuat daripada aluminium yang membantu motosikal ini melalui jalan berbatu tanpa merosakkan enjin. Kemudian, tangki bahan api Cromwell 1200 dipasang dengan pad yang melindungi bahagian tepi tangki daripada sebarang kesan luaran. Berbaloi dengan harga jualan, beg pelana berkapasiti 10-liter disertakan yang diperbuat dengan bahan kalis air 100%. Beg berkualiti tinggi yang dijahit dengan kemas ini juga mempunyai reka bentuk kukuh yang mengekalkan bentuknya walaupun dikosongkan.

Dengan setiap pembelian Brixton Cromwell 1200, para pembeli dapat menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *