BMW Shorties bekerjasama dengan Malaysia International Film Festival bagi edisi ke-17, meluaskan peluang buat bakat kreatif watan

BMW Group Malaysia telah mengumumkan usaha samanya dengan Malaysia International Film Festival (MIFFest) untuk edisi BMW Shorties yang ke-17 – berhasrat untuk mengangkat pembikin filem dan konten digital tempatan ke aras yang lebih tinggi dengan meluaskan peluang untuk mereka menempa nama di persada antarabangsa. Seiring dengan perungkaian usaha sama tersebut, sebuah tema baharu untuk tahun 2023, EVOLVE juga telah diperkenalkan. Ia dirumus untuk para pembikin filem dan bakat kreatif mencabar batasan dalam dunia penceritaan, di samping merangkap kesediaan platform BMW Shorties untuk terus berevolusi mengikut peredaran masa.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Menerusi tema 2022 kami, RE:IMAGINE, kami telah menimba inspirasi daripada bakat-bakat kreatif generasi baharu, yang berjaya menyulam aneka cerita menggunakan pengalaman yang unik terlahir daripada situasi pandemik. Ia membuktikan bahawa kreativiti berevolusi seiring dengan masa dan juga keadaan. Terdapat banyak lagi potensi yang dapat dicungkil sementara kita menginjak ke era endemik dalam industri kreatif. Sama seperti pendekatan Menghala Ke Hadapan yang diterapkan oleh BMW Group, BMW Shorties juga terus bersinar dengan mencabar kelaziman, bersama para bakat kreatif yang berani menjelmakan bayangan hari esok pada hari ini.”

Tahun ini, BMW Shorties mengalu-alukan rakan pertandingan rasminya, Malaysia International Film Festival (MIFFest), berbekalkan komitmen yang dikongsi bersama untuk meraikan karya perfileman tanah air di samping karya-karya antarabangsa. Misi MIFFest adalah berlandaskan cita kemanusiaan serta kemampanan hubungan yang dijalin antara bakat-bakat kreatif dalam industri seni perfileman. Sementara itu, MIFFest juga telah mengumumkan acara festivalnya yang akan datang, mengambil tempat dari 23 hingga 29 Julai 2023, dengan susunan aneka program sepanjang minggu tersebut, ia termasuk tayangan filem, kelas pakar dan peluang untuk berhubung dengan warga industri. Sebagai rakan automotif rasmi, BMW Group Malaysia juga akan membekalkan pengalaman serba eksklusif menerusi barisan jentera BMW i7 sebagai kenderaan pengangkutan rasmi buat para pengarah dan bintang filem antarabangsa semasa festival tersebut.

Joanne Goh, Pengasas dan Presiden MIFFest yang teruja dengan usaha sama antara BMW Shorties dan MIFFest turut menyatakan, “Ini merupakan sebuah berita baik untuk industri seni perfileman Malaysia. Sebagai platform antarabangsa, MIFFest mempersembahkan peluang yang besar untuk para pelapis dunia perfileman tahan air menonjolkan bakat masing-masing tanpa kekangan sempadan. Menerusi usaha sama ini, para pembikin filem dan konten digital yang beraspirasi mempunyai peluang untuk bukan sahaja mendapat pendedahan, tapi juga mencipta hubungan baharu dalam industri ini, membolehkan mereka meluaskan lagi sayap kerjaya kreatif mereka.”

De Visser turut menambah, “Menyediakan batu loncatan bagi bakat-bakat baharu dalam industri filem dan kreatif Malaysia – itulah matlamat yang kami kongsi bersama dengan MIFFest. Sejajar dengan kreativiti dan idea yang terus berevolusi dengan peredaran masa, platform BMW Shorties juga membuktikan yang sama. Usaha sama antara BMW Shorties dan MIFFest merupakan langkah yang natural, berupaya untuk membuka peluang baharu buat para bakat tempatan untuk meneroka dan juga diterokai di persada antarabangsa.”

Pemenang hadiah utama bagi pertandingan BMW Shorties 2023 akan dianugerahkan sebuah geran produksi bernilai RM 80,000 untuk pembikinan filem pembiayaan BMW Shorties mereka. Di samping itu, pelbagai faset pembikinan filem juga akan diiktiraf melalui kategori penganugerahan seperti Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Anugerah Pilihan Popular, serta Anugerah Filem Pendek Terbaik oleh Pelajar.

Serahan penyertaan akan dibuka dari 1 April 2023 hingga 21 Mei 2023 jam 6:00 petang di laman sesawang MIFFest di https://www.mgga.com.my dan laman sesawang BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my. Ikuti laman Facebook dan Instagram rasmi BMW Shorties untuk perkembangan terkini, atau tonton aneka filem pemenang dari tahun-tahun yang lalu di saluran YouTube rasmi BMW Shorties.

GALERI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *