Pilihan bagi peminat motosikal di Malaysia sekarang adalah banyak dan jika seseorang itu mampu, pilih sahaja model diminati yang berada dipasaran. Model-model ini kerap berubah setiap tahun, baik dari jenama atau reka bentuk. BMW yang menghasilkan model “Adventure Bike” terkenal iaitu BMW GS, kali ini memperkenalkan model “Adventure Sport Bike” iaitu BMW S1000XR, yang pasti lebih laju dan berkuasa di jalan raya.
OK, berbalik kepada model BMW ini. ENJIN DOTcom berpeluang menguji BMW S1000RR (Supersport), S1000R (Naked Bike) dan S1000XR (Adventure Sport). Kali ni, Mr. Stick menunggang uji BMW S1000XR. Melihat kepada reka bentuk jentera ini akan membuat kita terfikir ia seperti belalang tempur yang sedang terbang laju. BMW S1000XR nampak seolah-olah seperti pengembara santai, tetapi enjinnya amat berkuasa dan walaupun gaya tunggangannya duduk menegak dan selesa, jangan dicabar kelincahan ia. Jangan disamakan BMW S1000XR ni dengan saudaranya, BMW GS yang berenjin boxer. BMW S1000XR hadir dengan enjin 4 silinder sebaris sama seperti kembarnya, BMW S1000RR dan BMW S1000R.
Sebagai model Adventure Sport, BMW S1000XR ini dilengkapi dengan sistem gantungan Dynamic ESA separa aktif. Ia mempunyai dua mod – “Street” dan “Dynamic”. Mod “Dynamic” membuatkan motosikal ini rasa “kukuh” dengan lebih baik, walaupun perbezaan antara kedua-dua mod ini tidaklah besar sangat.
BMW S1000XR sememangnya pantas seperti peluru berpandu tetapi yang kita boleh kawal untuk ke mana-mana dengan selesa. Pulas pendikit sedikit sahaja, penunggang akan mendapat kuasa sempurna yang lancar dan sedar-sedar sahaja sudah mencapai kelajuan seakan sebuah jentera “SuperSport” tetapi anda sedar yang ditunggang adalah sebuah motosikal Adventure Sport.
Untuk berhenti, BMW S1000XR dilengkapi brek cakera berkembar terapung 320mm dengan angkup empat omboh Brembo di bahagian hadapan yang memberikan banyak kuasa berhenti dan bahagian roda belakang dilengkapi dengan cakera tunggal 265mm dengan angkup omboh tunggal. Brek BMW S1000XR dilengkapi dengan sistem ABS BMW (ABS Pro) – satu tambahan yang meyakinkan sekiranya anda dalam terpaksa berhenti dalam keadaan tergesa-gesa dan panik.
Enjin empat silinder jentera ini menghasilkan 118kW (165HP) pada 11,000RPM dan tork maksimum 112Nm pada 9,250RPM. Tetapi ia lebih daripada sekadar keseronokan sporty yang ada pada BMW S1000XR ini, teknologi inovatif BMW juga menawarkan tahap keselesaan dan keselamatan yang tinggi. BMW S1000XR dilengkapi dengan dua mod tunggangan yang boleh dipilih sebagai standard, “Rain”dan “Street” yang membenarkan penunggang untuk menyesuaikan diri secara optimum kepada keadaan tunggangan yang pelbagai. ASC (Kawalan Kestabilan Automatik) yang dilengkapi standard pada BMW S1000XR, memastikan tahap keselamatan tunggangan yang tinggi berdasarkan daya tarikan optimum. Secara singkat, BMW S1000XR boleh melakukan segala-galanya.
Dari jauh ia kelihatan agak tinggi dan jika penunggang seorang yang rendah, ia mungkin bermasalah sedikit pada penunggang itu. Jika penunggang itu seorang yang tinggi pun ia masih kelihatan menjingkit, walaupun ketika berdiri di sebelah XR ini. (Ketinggian tempat duduk adalah 840mm). Ia juga dari segi fizikal agak besar, dengan berat beserta tangki bahan api penuh sekitar 228kg. Jika ditambah dengan kotak barang kiri dan kanan serta belakang, berat sudah tentu bertambah.
Pengendalian XR ini harus dipuji dan agak cemerlang serta ergonomik. Di dalam perjalanan, penunggang akan berada di kedudukan yang selesa di mana ia meletakkan anda terus berhubung dengan segala-galanya. Duduk sahaja atas motosikal ini, penunggang akan terus merasakan pandangan hadapan serta keliling anda dapat dengan jelas dan semua ini dalam kawalan dengan sempurna sekali. Pada harga RM106,000.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), semua ini dapat dinikmati dengan BMW S1000XR.
Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!
#bmwmalaysia #bmw #bmwmotorrad #s1000xr #enjindotcom #makelifearide #everydayadventure