BMW Motorrad Malaysia hari ini telah mempersembahkan BMW R 18 100 Years, terhad kepada 1,923 unit sahaja di seluruh dunia – mendabik hormat kepada tahun pengasasan BMW Motorrad, bilamana motosikal BMW yang sulung telah dirungkaikan kepada dunia. Hanya sepuluh unit disediakan secara eksklusif untuk para pelanggan dan peminat jenama ini di Malaysia.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Mempersembahkan jentera ‘SoulFuel‘ dalam ragam yang benar-benar ikonik, BMW R 18 100 Years bakal menempa nama sebagai kruiser klasik keluaran BMW Motorrad yang paling menawan, dikuasakan oleh enjin sesaran bersaiz terbesar yang dimuatkan dalam sebuah motosikal. Dirumus untuk para peminat sejati jentera berperwatakan klasik, BMW R 18 merupakan sebuah ikon yang bersifat abadi, hadir dengan elemen-elemen penting yang mendefinisikan model terdahulu, termasuk seni rekaan ‘puris’ dengan teknologi yang serba ringkas dan enjin boxer bersaiz besar yang mengagumkan untuk menjamin keterujaan maksimum. Menjulang slogan ‘Make Life a Ride’ kini selama 100 tahun, edisi seabad BMW R 18 menonjolkan keabadian pengalaman tunggangan yang mengghairahkan. Kami berasa teruja untuk mempersembahkan varian edisi terhad jentera kruiser klasik ini buat para pelanggan setia BMW Motorrad di Malaysia.”
BMW R 18 100 Years mencerminkan seni bina BMW R 18 yang menyulam unsur-unsur moden serta klasik, mewarisi pelbagai ciri yang memberi jentera ini sebuah iras yang unik. BMW R 18 terbaharu turut diperkayakan dengan elemen-elemen rekaan klasik yang menjengah lewat tahun 1920-an, bilamana konsep kombinasi permukaan krom dan cat berkualiti tinggi melahirkan sebuah jentera yang benar-benar memukau.
Enjin Boxer Bersaiz Besar yang Ikonik di dalam BMW R 18 100 Years.
Konsep permukaan krom klasik bergred tinggi dengan gilapannya yang menawan mendefinisikan BMW R 18 100 Years, ia menggandingkan rona hitam dan krom berglos tinggi dengan jalur halus berkembar dalam warna putih, selain dihiasi dengan jata “100 Years”. Sentuhan krom klasik juga boleh dilihat pada pelitup roda belakang yang turut memperagakan jalur halus berkembar berwarna putih. Pelitup roda hadapan dan pelitup sisi dikemasi dalam warna hitam, disinambungkan dengan jalur halus berkembar yang serupa pada komponen madgad di hadapan. Tempat duduk Option 719 yang diselubungi dengan upholsteri berwarna hitam dan ”oxblood” berserta embos corak berlian yang bertaraf premium juga tampak sempurna bersama.
BMW R 18 100 Years turut dilengkapi dengan pelbagai komponen krom yang dibawakan melalui opsyen rekaan krom yang dapat dilihat pada penyedang (fitting) bar hendal, penganjak gear dan tuil brek kaki, pengapit bar hendal, pemberat bar hendal, cermin, silinder utama brek, angkup brek, pelitup selongsong enjin, pelitup kepala silinder dan trim pancarongga komponen salur masuk. Pelapisan permukaan galvanik yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak juga dapat dilihat pada komponen peredam bunyi Akrapovič di belakang, hadir dengan trim paip ekzos berleliang dalam corak bebaling (propeller) yang berdasarkan logo BMW.
Kelengkapan utama yang lain bagi BMW R 18 100 Years meliputi meter laju baharu dengan paparan multifungsi, di samping lampu hadapan LED penuh, lampu belakang dan brek LED bersertakan indikator, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), tiga mod tunggangan (Rock, Roll, Rain) di samping kemudahan Tunggangan Tanpa Kunci. Kelengkapan opsyenal yang kini didatangkan secara standard meliputi Lampu Hadapan Adaptif, penggenggam berciri hangat, Kawalan Permulaan Curam (HSC), Kawalan Luncur, gear mengundur, penutup tangki minyak yang boleh dikunci, di samping rangkaian kuasa dan panel pemijak (floorboard) berwarna hitam.
Khidmat Pembiayaan.
Dengan Pelan Pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R 18 100 Years baharu bermula daripada RM1,938.00 sebulan (berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun). Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program yang terunggul seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/service-inclusive.html.
Harga runcit bagi BMW R 18 100 Years baharu (dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) ialah:
BMW R 18 100 Years Baharu RM 159,500.00