BMW Motorrad Malaysia perkenalkan BMW R 1250 R baharu dan BMW R 1250 RS baharu.

BMW Motorrad Malaysia hari ini telah merungkaikan jentera BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS yang baharu, hadir bersama aneka ciri kefungsian serba inovatif yang melengkapi sifat dinamik jentera jelajah sport yang mempesonakan ini.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Asal usul BMW Motorrad yang gemilang telah dicorak melalui inovasi, menjanjikan kemajuan yang luar biasa dan bersofistikasi dengan matlamat untuk memenuhi keperluan para peminat motosikal di seluruh dunia yang pelbagai. Di Malaysia, kita dapat merasai bahang semangat warga tempatan terhadap jentera beroda dua, yang terus menyala usaha kami untuk meluaskan barisan produk motosikal yang kami bawakan untuk setiap segmen.”

Tambah beliau, “Berbekalkan cita yang besar, kami dengan rasa bangga mempersembahkan era baharu bagi segmen jentera jelajah sport, menjulang slogan ‘Make Life a Ride’ yang telah kami laungkan selama 100 tahun. BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS mencabar batasan dengan beberapa kemajuan teknologi yang baharu, digandingkan dengan enjin boxer dan siluet kami yang ikonik, menonjolkan lagi kepakaran jenama ini dalam arena motosikal jelajah sport.”

BMW R 1250 R baharu menyambung kejayaan jentera roadster yang dibawakan oleh BMW Motorrad. Kini dalam bentuk yang lebih diperhalusi, ia hadir untuk menaik taraf pengalaman jelajah para penunggang biar secara solo mahupun berkumpulan. BMW R 1250 RS baharu pula berpegang kepada legasi “RS”, yang menjadi tanda aras bagi kecemerlangan jentera jelajah sport. Lebih bersofistikasi dan inovatif, ia menjanjikan sebuah pengalaman jelajah yang sporty dan dinamik di aras yang tertinggi.

Pelbagai inovasi dan ciri kefungsian untuk tunggangan dinamik.

Sebagai jentera jelajah sport, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu dilengkapi secara standard dengan BMW Integral ABS Pro, iaitu sistem pembrekan yang dirumus untuk memperkayakan aspek keselamatan, khususnya semasa membelok. Turut dirangkumkan secara standard ialah Kawalan Brek Dinamik (DBC), ia membekalkan sokongan tambahan semasa membuat pembrekan kecemasan dengan mencegah pengaktifan pendikit yang dibuat tanpa sengaja. Ia dapat dikecapi dengan intervensi dalam kawalan enjin, tork pacuan akan menyusut semasa membrek bagi memanfaatkan daya pembrekan pada roda belakang dengan sepenuhnya. Hasilnya ialah stabiliti yang lebih baik serta jarak pembrekan yang lebih singkat.

Selain itu, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu juga didatangkan dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) secara standard, menjamin daya cengkaman yang cemerlang serta tahap keselamatan tunggangan yang tinggi. Riding Modes Pro, yang membawakan mod-mod tunggangan yang boleh disuai turut disertakan bersama untuk membekalkan pelbagai kemudahan. Sebagai contoh, dalam mod tunggangan “PRO”, fungsi kawalan brek enjin dinamik (MSR) membantu penunggang mengelakkan kondisi tunggangan tidak stabil yang mungkin wujud dalam pacuan neutral atau semasa menukar ke gear rendah, ekoran kegelinciran brek berlebihan yang berlaku pada roda belakang. Mod tunggangan “ECO” yang baharu pula memaksimumkan keefisienan bahan api dengan memanfaatkan keluk pendikit yang lembut serta pengehadan tork enjin secara sederhana, yang dikecapi dengan bantuan teknologi enjin BMW ShiftCam serba inovatif.

Memberi nafas kepada BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu ialah enjin boxer empat lejang dua silinder berpenyejukan udara/cecair – sesarannya yang bernilai 1,254 cm3 mampu membekalkan 100 kW (136 PS) dan 143 Nm tork. Di sini, teknologi BMW ShiftCam juga memainkan peranannya, menawarkan keupayaan pemasaan injap serta peninggian injap berciri boleh ubah pada bahagian salur masuk. Hasilnya ialah sebuah enjin yang berkeupayaan untuk membekalkan kuasa dengan lancar merentasi semua julat kelajuan, sambil memelihara corak penggunaan bahan api dan emisi yang cemerlang.

Dari segi fungsi keterhubungan dan navigasi, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu membawakan skrin paparan berwarna TFT secara standard, memudahkan aspek kebolehbacaan, selain membawakan navigasi menu yang jelas serta konsep pengoperasian yang mengetengahkan pengintegrasian. Aneka paparan skrin tersuai boleh dipilih untuk pelbagai tujuan, termasuk Skrin Teras “Sports”, yang membekalkan informasi masa nyata mengenai sudut sendengan yang semasa dan maksimum serta intervensi kawalan – seperti ABS Pro atau DTC. Seunit soket kuasa 12 volt bersepadu dan juga soket USB-A tambahan dengan bekalan kuasa 5 volt dapat mengecas peranti mudah alih pengguna, turut hadir dengan keupayaan pengecasan pantas yang bergantung kepada jenis peranti. Panggilan Kecemasan Pintar juga merupakan fungsi standard bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan dalam situasi kecemasan.

Turut menyempurnakan aneka kelengkapan BMW 1250 R dan BMW R 1250 RS yang baharu ialah pakej Comfort, Touring dan Dynamic yang disertakan secara standard bagi kedua-dua model. Pakej Comfort mencakupi Tunggangan Tanpa Kunci, peredam khas, kepala ekzos bersadur krom, penggenggam hangat dan kawalan tekanan tayar. Pakej Touring meliputi wadah peranti GPS, kawalan luncur, topang utama serta pendakap bekas muatan kiri dan kanan. Sementara itu, pakej Dynamic meliputi ciri-ciri kefungsian yang membabitkan keselamatan dan prestasi, seperti Dynamic ESA dan Shift Assistant Pro, di samping MSR (kawalan brek enjin dinamik) yang telah disebutkan tadi selain Riding Modes Pro. Grid ruang muatan juga dilengkapi secara standard bagi kedua-dua model.

BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu disediakan dalam varian model Sport dan juga Triple Black, setiap satu hadir dengan aneka warna tubuh yang unik. Varian Sport jentera BMW R 1250 R didatangkan dalam warna Racingblue, manakala varian Triple Black hadir dalam warna Blackstorm. Sementara itu, varian Sport bagi BMW R 1250 RS baharu disediakan dalam warna Lightwhite, Racingblue dan Racingred, manakala varian Triple Black disediakan dalam warna Blackstorm.

Khidmat Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu masing-masing bermula daripada RM1,398.00 sebulan dan RM1,448.00 sebulan (berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun). Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program yang terunggul seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/service-inclusive.html#/section-service-packages-pricing.    

Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu ialah:

BMW R 1250 R Baharu                         RM 114,500.00

BMW R 1250 RS Baharu                       RM 118,500.00

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu, sila layari laman sesawang BMW Motorrad Malaysia di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *