BMW Motorrad Malaysia mempersembahkan BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu.

BMW Motorrad Malaysia hari ini telah mendedahkan dua motosikal jelajah baharu daripada portfolio BMW K 1600, iaitu BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL yang baharu, menjanjikan pengalaman jelajah yang dinamik lagi mewah buat para pelanggan BMW Motorrad serta peminat jentera beroda dua di Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sudah lebih sedekad kami membawa jentera enam silinder yang handal dan juga mewah di aras yang tertinggi melalui model-model BMW K 1600. Kini, sementara masih berpegang kepada seni reka bentuknya yang asal, kami berasa amat teruja untuk mempersembahkan ciri-ciri kefungsian eksklusif yang baharu untuk BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL, yang bukan sahaja bakal memperkayakan lagi pengalaman jelajah para penunggang, tapi yang utama sekali merealisasikan janji jentera jelajah: untuk membolehkan penggunanya meneroka dunia baharu – dengan menyusuri pelbagai kota, negara dan landskap.”

 BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL hadir dengan ciri-ciri kefungsian yang dikemas kini, membawakan pendekatan baharu kepada bahasa reka bentuknya yang menawan, sambil mengekalkan pengalaman tunggangan serba mewah yang dijanjikan motosikal ini. Menampilkan enjin sebaris enam silinder yang paling langsing dalam produksi bersirinya, varian-varian baharu ini mempersembahkan karakter dan keupayaan jentera jelajah yang luar biasa, digandingkan dengan prestasi yang paling cemerlang dalam segmennya.

BMW K 1600 GT khususnya merupakan varian yang tangkas dan dinamik, dilengkapi dengan lampu hadapan LED yang telah dinaik taraf sepenuhnya yang mencahayakan jalan yang terbentang di hadapan tanpa mengkompromikan aspek keselamatan mahupun keselesaan. BMW K 1600 GTL pula dirumus khas untuk menyempurnakan pengalaman tunggangan yang dikongsi oleh dua individu. Ini dibuktikan dengan ciri dinamisme dan keselesaannya yang lebih hebat, memudahkan ia dinaiki oleh dua orang individu dengan begitu selesa.

Jadikan Hidup Sebuah Pengembaraan dengan BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL.

Dibawakan sebagai motosikal mewah berprestasi tinggi bagi segmen jelajah, BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu didatangkan dengan keupayaan jentera jelajah yang tiada bandingannya, dipersembahkan dalam bentuk dua kenderaan bersofistikasi tinggi yang kaya dengan ciri-ciri yang begitu dinamik.

BMW K 1600 GT baharu dibawakan dalam dua tema warna yang berbeza, iaitu Black Storm Metallic dan Style Sport yang menonjolkan kombinasi antara rona putih, metalik biru, dan merah bagi tubuh dan sorotannya. Ia termasuk angkup brek berwarna emas di hadapan serta rona berkontras dalam warna putih bagi komponen pelitup roda hadapan. BMW K 1600 GTL baharu pula disediakan dalam warna Black Storm Metallic dan Gravity Blue Metallic (Style Exclusive). Bukan itu sahaja, warna Option 719 Meteoric Dust edisi khas yang baharu juga akan disediakan untuk BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL.

Varian-varian baharu ini digayakan dengan Komponen Pelindung Enjin bagi enjin sebaris enam silindernya yang hadir dalam warna hitam, di samping perisai angin rendah yang boleh dilaras secara elektrik, dan lampu hadapan LED yang menampilkan Ikon Cahaya serta Lampu Membelok Adaptif, selain Lampu Tunggangan Waktu Siang, Lampu Tambahan LED, Pencahayaan Aras Dasar dan juga lampu kabus tambahan. Empat butang “Kegemaran” yang dapat dikonfigurasi juga membekalkan akses yang mudah ke atas aneka fungsi kenderaan, sementara komputer dan skrin paparan TFT berwarna 10.25 inci yang diintegrasikan pada jentera ini menawarkan khidmat keterhubungan dan sistem navigasi bersepadu melalui aplikasi BMW Motorrad Connected. Fungsi Bluetooth juga disediakan untuk telefoni dan pemain muzik, selain WiFi untuk navigasi.

Enjin sebaris enam silinder empat lejang yang disejukkan dengan minyak/air menjadi jantung kedua-dua varian, hadir bersama dua aci sesondol overhed yang terletak di atas aci pacuan, menggalang kapasiti 1,649 cc, yang mampu menjana 118 kw (160 kk) pada paras 6,750 rpm. Nilai tork maksimum mencecah 180 Nm pada paras 5,250 rpm mampu menjana kuasa tujahan yang mengagumkan, membolehkan kedua-dua motosikal ini mencatat kelajuan maksimum yang mencecah 200km/j.

Kadar penggunaan bahan api bagi jentera tersebut direkodkan pada paras 5.9 liter bagi setiap 100 km yang disusuri. Dikemas kini mengikut piawaian EU-5, daya kawalan emisi akan dibekalkan melalui penukar katalitik bercabang tiga dengan sistem tertutup bagi menjana output sekitar 137g bagi setiap satu kilometer perjalanan. Komponen alternator yang melengkapi jentera ini datang dalam bentuk generator tiga fasa 700W (kuasa nominal) yang dipadankan dengan bateri bebas penyenggaraan 12 V/26 Ah.

Kuasa disalurkan kepada varian-varian ini melalui klac multicakera bermediumkan minyak di samping transmisi bergigi helikal dengan enam kelajuan, justeru menjamin daya pembelokan dan ketangkasan yang lebih mengagumkan. Menunjangi komponen suspensi tersebut ialah kerangka jenis titian yang dibentuk dengan tuangan aluminium. Suspensi hadapan dibekalkan kepada BMW K 1600 GT baharu melalui BMW Motorrad Duolever berdasarkan suspensi sangga spring sentral, manakala suspensi belakang dibekalkan melalui lengan ayun aluminium tuang dengan sisi tunggal berserta BMW Motorrad Paralever. BMW K 1600 GTL hadir dengan BMW Motorrad Duolever di hadapan, digandingkan dengan komponen penyerap hentak sentral dengan spring heliks. Di belakang, sangga spring sentral dengan kumparan spring melengkapi BMW K 1600 GTL baharu, menampilkan peredam lantunan dan prabeban spring – menjamin fungsi redaman yang optimum selain pengendalian yang stabil.

Di samping BMW Motorrad Integral ABS Pro, varian-varian baharu ini juga membawakan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic – dirumus khas untuk membekalkan pengalaman tunggangan yang terbaik dalam apa jua keadaan cuaca dan jalan. Para pemilik juga dapat menikmati pelbagai kemudahan tunggangan seperti Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Enjin (MSR), Hill Start Control Pro, serta Dynamic ESA Next Generation (dengan Pendatar Muatan Automatik) yang menjamin pengendalian serta dinamik tunggangan yang optimum. Penunggang juga dapat memanfaatkan Bantuan Mengundur yang didatangkan secara standard bagi kedua-dua varian.

Bukan itu sahaja, aspek keselesaan jentera berkenaan dinaik taraf dengan fungsi penghangat yang dibawakan bagi komponen penggenggam dan tempat duduk, selain brek tangan dan tuil klac yang boleh dilaras, dan juga Kawalan Luncur. Bagi memudahkan pengguna, pendakap bekas muatan, bekas panier integral dalam rona yang sama dengan tubuh jentera, kawalan tekanan tayar di samping talam telefon pintar dengan port USB turut disertakan secara standard.

Eksklusif untuk BMW K 1600 GTL baharu ialah Audio System 2.0 – lengkap dengan fungsi-fungsi radio, profil bunyi pengimbang, dan pembesar suara hadapan yang diintegrasikan pada reraut (fairing), di samping bekas pangkal varian eksklusif yang menawarkan ruang muatan yang luas, sempurna untuk pengalaman tunggangan berkongsi. Kelengkapan opsyenal yang ditawarkan sebelum ini juga dijadikan standard bagi kedua-dua varian, ia termasuk Tunggangan Tanpa Kunci, sistem pengunci sentral, Gear Shift Assist Pro dan penggera antikecurian.

Khidmat Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu masing-masing bermula daripada RM 2,128.00 dan RM 2,238.00 sebulan (berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun). Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program terunggul yang mencakupi Inklusif Minyak Enjin Premium Peneraju Industri, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/service-inclusive.html.

Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu ialah:

BMW K 1600 GT Baharu                                  RM 174,500.00

BMW K 1600 GTL Baharu                                 RM 183,500.00

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu, para pelanggan boleh mengunjungi wakil pengedar BMW Motorrad pilihan masing-masing atau sila layari www.bmw-motorrad.com.my.