BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan Jentera BMW M 1000 RR dan BMW S 1000 R yang Baharu.

BMW Motorrad Malaysia pada hari ini telah memperkenalkan jentera BMW M 1000 RR serta varian-varian BMW S 1000 R baharu yang dinantikan ramai.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia mengulas “Malaysia kini sedang pulih secara berperingkat, dan kami ingin menggunakan peluang ini untuk menyuntik semula keterujaan dalam diri peminat motosikal. Dengan pengenalan varian-varian model jentera yang baharu dalam portfolio BMW Motorrad, kami berharap pelanggan setia kami dan para peminat BMW Motorrad di Malaysia dapat Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan sekali lagi.”

“BMW M 1000 RR baharu dan varian-varian BMW S 1000 R yang terkini merupakan antara sumbangan yang kami paling bangga dengan, bagi segmen Superbike serta sukan permotoran, dan kami berasa teruja untuk mengongsikan barisan jentera baharu ini kepada penggemar motosikal di Malaysia – yang telah menunjukkan minat mendalam mereka ke atas superbike yang bertaraf ikonik ini. Sehubungan itu, kami juga telah berjaya menyerahkan lebih daripada 100 unit BMW S 1000 R dan BMW S 1000 RR. Kami percaya varian-varian model yang baharu ini juga mampu membuahkan kejayaan di Malaysia,” tambah de Visser.

BMW M 1000 RR baharu memuatkan teknologi perlumbaan yang tulen untuk memenuhi syarat prestasi yang tertinggi dalam sukan permotoran serta di atas jalan raya. Sebagai model BMW M yang pertama dalam portfolio BMW Motorrad, model baharu ini melangkaui jangkaan ramai bagi segmen Superbike yang teratas dengan output enjinnya yang berjumlah 212 kk, dipadankan dengan suspensi dan ciri aerodinamik yang dirumus untuk prestasi maksimum di litar lumba. BMW S 1000 R baharu juga kini disediakan dalam dua varian baharu, kedua-duanya menawarkan peralatan dan aksesori tambahan untuk menaik taraf lagi keterujaan yang dapat dialami di atas litar lumba.

BMW M 1000 RR Baharu – BMW Motorrad bertemu M.

Aksara ‘M’ yang terunggul di dunia telah memberi nafas kepada BMW M 1000 RR dalam portfolio BMW Motorrad, ia membawakan pengalaman yang luar biasa di atas litar lumba. 

Bahasa reka bentuk M yang sinonim dapat dilihat pada rekaan casisnya yang telah diperhalusi untuk kegunaan di litar lumba berserta dengan geometri yang diubah suai, distribusi berat roda yang dioptimumkan dan keupayaan tambahan untuk melaras pusat komponen lengan ayun. Cabang songsang yang dioptimumkan serta sangga spring sentral yang diperbaharui hadir dengan kinematik Full Floater Pro. Sayap lawi M baharu dengan perisai angin yang tinggi juga membolehkan jentera ini dipecut dalam kadar segera dengan kestabilan yang lebih tinggi ketika membelok, menerusi daya mendap (downforce) aerodinamik yang langsung tidak menjejaskan kelajuan maksimumnya.

BMW M 1000 RR baharu menggunakan enjin sebaris empat silinder yang disejukkan dengan air. Enjin ini juga berasaskan rangkaian kuasa RR dengan teknologi BMW ShiftCam bagi pemasaan injap dan peninggian injap berciri boleh ubah, lantas membekalkan output tertinggi mencecah 156 kW (212 kk) pada paras 14,500 rpm. Puncak torknya bernilai 113 Nm pada paras 11,000 rpm. Di samping kelajuan maksimum jentera ini yang dipertingkatkan ke 15,100 rpm, pengoptimuman teknikal juga turut dibuat pada enjinnya melalui piston tempaan dwigelung daripada Mahle, kebuk pembakaran yang diadaptasi, pemampatan lebih tinggi sebanyak 13.5 dan batang penghubung titanium yang lebih ringan daripada Pankl, lengan jumpelang yang lebih langsing dan ringan, port salur masuk dengan geometri saluran yang baharu, serta komponen aci sesondol dan ruang salur masuk yang lebih optimum. Sistem ekzosnya yang ringan juga diperbuat daripada titanium, termasuk peredam bunyi di hadapan dan belakang.

BMW M 1000 RR baharu hadir dengan mod tunggangan “Rain”, “Road”, “Dynamic”, “Race”, dan “Race Pro1-3”, berserta dengan generasi Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control) yang baharu dan fungsi ‘wheelie’ DTC dengan kotak sensor 6 gandar. Dua lekuk pendikit yang berciri boleh laras juga menawarkan respons yang optimum, manakala brek enjin membawakan tork seretan enjin dengan tiga peringkat larasan dalam mod “Race Pro”. Shift Assistant Pro, klac ‘anti-hopping’ bagi Kawalan Pelancar (Launch Control) yang optimum, Pit-Lane Limiter, dan Hill Start Control Pro juga melengkapi BMW M 1000 RR baharu.

Model baharu ini turut menampilkan kluster instrumen dengan skrin TFT 6.5 inci yang dapat dilihat dengan jelas, serta antara muka OBD yang boleh digunakan dengan kod pengaktifan bagi pengelog data M GPS dan ‘laptrigger’ M GPS. Kelengkapan standard yang lain meliputi brek M – pertama kali diperkenalkan untuk BMW Motorrad, roda karbon M, bateri M yang serba ringan, soket pengecasan USB di belakang, serta sistem penggera antikecurian.

Hadir dengan kombinasi warna Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red (BMW Motorrad Motorsport bagi M Package), BMW M 1000 RR baharu akan disediakan di pusat pengedaran terpilih BMW Motorrad yang bertauliah di seluruh negara mulai 27 Ogos 2021.

BMW S 1000 R baharu – menggandakan pilihan dan keterujaan.

Jentera superbike yang ikonik ini hadir dalam dua varian baharu: Style Sport dan BMW M Package – kedua-duanya menawarkan kelengkapan serba unik yang mampu menaikkan tanda aras dalam segmen Superbike sekali lagi.

Disediakan dalam warna Hockenheim Silver Metallic bagi varian Style Sport, dan kombinasi warna Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red (BMW Motorrad Motorsport bagi M Package) untuk varian BMW M Package, BMW S 1000 R baharu juga menampilkan lampu hadapan dan lampu brek LED, berserta dengan tawaran Headlight Pro dan Lampu Waktu Siang (Daytime Running Lamp).

BMW S 1000 R baharu masih dikuasakan oleh enjin sebaris 4 lejang 4 silinder berkuasa tinggi yang disejukkan oleh air/minyak, hadir dengan kapasiti berjumlah 999 cc dan output maksimum berjumlah 152 kW / 207 kk pada paras 13,500 rpm. BMW S 1000 R baharu turut mempunyai nilai tork berjumlah 113 Nm pada paras 11,000 rpm, ia mengguna pakai 6.4 liter bahan api bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. Bukan itu sahaja, BMW S 1000 R turut dilengkapi dengan BMW ShiftCam Technology yang membekalkan variasi pemasaan injap serta ayunan injap pada bahagian salur masuk.

Varian-varian baharu ini juga dilengkapi dengan empat mod tunggangan sebagai standard – “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”, lengkap dengan Riding Mode Pro. Mod-mod tunggangan ini mengawal fungsi seperti Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control) dan ABS Pro bagi membekalkan ciri-ciri keselamatan yang tinggi ketika membrek atau menunggang dalam posisi menyendeng, manakala sistem BMW Motorrad Integral ABS membekalkan tahap keselamatan yang lebih tinggi lagi, digandingkan dengan Kawalan Brek Enjin Dinamik (Dynamic Engine Brake Control). Kawalan Redaman Dinamik (Dynamic Damping Control) turut dimuatkan pada varian-varian baharu ini, termasuk Kawalan Luncur (Cruise Control), dan HP Shift Assistant Pro.

BMW S 1000 R baharu dalam varian BMW M Package akan menampilkan BMW M Endurance Chain secara eksklusif, ia bebas penyenggaraan dan meminimumkan impak alam sekitar dengan rantainya yang memiliki pelincir kekal dalam gegelung X yang diselitkan di antara komponen penggulung dan pin. Maka pengguna tidak lagi perlu menambah bahan pelincir pada rantai tersebut, malah ia juga tidak perlu ditegangkan semula. Dengan ciri pelinciran kering yang terbaik serta impak kelusuhan yang dapat dielakkan, komponen penggulung bersalut karbon tetrahedron amorfus (tetrahedral amorphous carbon) pada rantai M Endurance ini menawarkan kemudahan yang setara seperti motosikal yang digerakkan dengan teknologi aci (shaft).

BMW S 1000 R turut didatangkan dengan fungsi Tunggangan Tanpa Kunci, Soket Pengecasan USB, Pakej Penumpang (Passenger Package), dan grip berciri hangat, termasuk spoiler motosikal. Kelengkapan dan aksesori eksklusif yang ditawarkan bagi varian BMW M Package meliputi tempat duduk M Sport, bateri M yang serba ringan, peredam bunyi sport, dan M GPS Laptrigger.

Kedua-dua varian BMW S 1000 R baharu akan disediakan di pusat pengedaran terpilih BMW Motorrad yang bertauliah di seluruh negara mulai 27 Ogos 2021.

Khidmat Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW M 1000 RR dan BMW S 1000 R masing-masing bermula daripada RM 3,040.00 dan RM 1,270.00 setiap bulan. Ia berdasarkan anggaran ‘balloon financing’ bagi pinjaman berjumlah 80% untuk tempoh 4 tahun.

Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis, dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/warranty.html.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti 3 Tahun yang baharu dan Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW M 1000 RR dan varian-varian BMW S 1000 R yang baharu ialah:

BMW M 1000 RR Baharu:                                                    RM 249,500.00

BMW S 1000 R Baharu (Style Sport):                                 RM 104,500.00

BMW S 1000 R Baharu (M Package):                                 RM 119,500.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *