BMW Motorrad Malaysia pada hari ini telah melancarkann BMW C 400 X dan BMW C 400 GT baharu dalam pasaran tempatan, sekali gus menyebar luaskan lagi penapakan segmen Mobiliti Urban di dalam negara.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Cogan kata ‘Make Life a Ride’ terus menjadi sumber ilham kami di BMW Motorrad. Meskipun pergerakan kita terbatas ketika ini, kami berhasrat untuk melihat seluruh warga Malaysia kembali berkembara seperti sedia kala, biarpun di atas atau di luar jalan raya. BMW Motorrad telah menunjukkan kecemerlangan di atas semua jenis permukaan oleh motosikalnya, dan ketika ini tumpuan kita beralih ke segmen Mobiliti Urban yang mengujakan dengan perungkaian skuter saiz pertengahan generasi terbaharu yang bertaraf premium.”
“BMW C 400 X dan BMW C 400 GT baharu bakal menyaksikan para penunggang menikmati pelbagai jenis penambah baikan teknikal yang menawarkan pengalaman tunggangan urban yang menyelesakan lagi selamat, tanpa mengkompromikan prestasi atau dinamik tunggangan. Segmen Mobiliti Urban merupakan segmen kedua tertinggi dari segi jumlah penyerahan dalam portfolio BMW Motorrad Malaysia pada tahun 2020 – ia menyusuli segmen Kembara yang menjadi kegemaran ramai, dan kami yakin skuter saiz pertengahan ini akan menambat hati para peminat motosikal di Malaysia sekali lagi,” tambah de Visser. BMW C 400 X dan BMW C 400 GT baharu hadir dengan sistem brek yang diperbaharui, pacuan silinder tunggal berpiawaian EU-5 dengan ciri E-gas, pengurusan enjin teroptimum serta klac sentrifugal. Kawalan Stabiliti Automatik (Automatic Stability Control) juga turut dioptimumkan lagi, termasuk gubahan iluminasi yang baharu pada kompartmen muatan tempat duduk, dan kelengkapan pengecasan USB.
Mobiliti Urban dalam Normal Baharu.
Olahan serba mudah yang boleh dibuat menggunakan jentera BMW C 400 X terus menjadi kelebihan skuter saiz pertengahan ini. Ia turut hadir dengan komponen trim berbentuk V, sosok tubuh yang menegak , serta grafik dengan komponen trim berwarna. Lampu hadapan LED yang besar dan bersimetri serta Lampu Waktu Siang (Daytime Running Light) juga melengkapi BMW C 400 X baharu – kini ditawarkan sebagai standard bagi model tersebut.
BMW C 400 GT baharu pula menguasai segmen skuter maxi. Varian skuter GT saiz pertengahan ini juga membawakan teknologi pencahayaan LED yang dapat dilihat dengan jelas menerusi lampu hadapan LED berkembar yang mempunyai reka bentuk aerodinamik yang menawan, kini turut membawakan Lampu Waktu Siang secara standard. Tempat duduk yang ergonomik juga menjamin posisi duduk yang menyelesakan bagi penunggang. Berbekalkan bahagian penyandar berasingan dan ruang pemijak yang terintegrasi, BMW C 400 GT juga masih mengekalkan perisai anginnya yang tinggi, iaitu ciri yang praktikal dan sesuai bagi mereka yang ingin mengembara.
Konsep muatan yang pintar dengan Flexcase juga kini menampilkan pencahayaan yang optimum di bawah tempah duduk bagi kedua-dua model untuk memudahkan lagi pengguna. Ia menyuluh cahaya dari atas, dan bukannya dari sisi maka pengguna dapat melihat dengan lebih jelas. Selain soket 12 V yang dimuatkan pada jentera tersebut, kompartmen muatan di sebelah kanan hadapan juga kini dilengkapi dengan soket pengecasan USB.
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin silinder tunggal yang efisien dengan kapasiti 350 cc. Enjin ini menjana 34 kk (25 kW) pada paras 7,500 rpm, serta puncak tork bernilai 35 Nm pada paras 5,750 rpm. Model-model tersebut memanfaatkan transmisi kuasa menerusi kotak gear Transmisi Pembolehubah Berterusan (Continuously Variable Transmission) termasuk lengan ayun rangkaian pemacu kilasan (torsional drivetrain swing arm) dengan getaran yang minimum. Di samping mematuhi piawaian EU-5, unit pacuan yang diperbaharui ini membekalkan respons pendikit yang lebih lancar lagi sensitif, termasuk kestabilan melahu yang lebih tinggi. Enjin tersebut kini didatangkan dengan cengkaman pendikit elektronik, atau dikenali sebagai E-gas, termasuk injap pendikit yang dioperasikan secara elektrik. Penambah baikan yang diubah suai serta penyalutan komponen, sensor oksigen jalur lebar, modifikasi pada kepala silinder, sensor baharu pada pelitup generator, pendakap wayar yang diadaptasi serta unit kawalan kelajuan yang diubah suai. Pelaras kelajuan melahu dalam kotak udara tidak lagi digunakan, dan kini kawalan kelajuan melahu dilakukan melalui pintasan injap pendikit dan sistem gelora lantas model-model ini mempunyai keupayaan melahu yang optimum.
Ciri keselamatan juga dibekalkan melalui Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) yang ditambah baik, ia kini menampilkan kalibrasi radius automatik serta kualiti penyelarasan yang dipertingkatkan sekali gus memberikan jentera ini respons yang lebih sensitif, terutamanya di atas permukaan yang basah dan licin. Penyah aktifan fungsi ASC juga kini tidak lagi diperlukan. Suspensi dan redaman masih dikendalikan oleh cabang teleskopik di hadapan dan dua sangga spring di belakang.
Sistem brek BMW C 400 X dan BMW C 400 GT kini telah diperbaharui dengan angkup brek yang baharu. Sistem brek dwicakera di hadapan kini lebih stabil dan mempunyai titik tekanan yang lebih jelas, termasuk operasi “roll-back” pada bahagian piston brek yang telah ditambah baik. Ia dipadankan dengan pergerakan tuil yang terjajar bagi brek belakang di sebelah kiri, dan brek hadapan di sebelah kanan untuk membekalkan daya pembrekan yang bersimetri. Kedua-dua model terus dilengkapi dengan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) sebagai standard.
Maklumat yang jelas dan segera untuk penunggang dengan gangguan konsentrasi yang minimum masih dibekalkan oleh fungsi Connectivity – kini disediakan sebagai standard. Kedua-dua model turut membawakan kluster instrumen dalam bentuk skrin TFT berwarna 6.5 inci. Berserta dengan BMW Motorrad Multi-Controller yang menawarkan operasi terintegrasi, ia membolehkan penunggang mengakses pelbagai fungsi kenderaan dan keupayaan hubungan. Navigasi yang mudah berasaskan anak panah turut disediakan menerusi aplikasi BMW Motorrad Connected. Ciri Tunggangan Tanpa Kunci yang canggih juga dibawakan oleh kedua-dua model sebagai standard, yang menawarkan pengaktifan transponder bagi pengunci stereng, pencucuh, penutup salur masuk bahan api serta peranti anti kecurian, semuanya dipakejkan dalam satu kunci.
BMW C 400 X disediakan secara eksklusif dalam warna Black Storm (Style Triple Black) yang baharu, manakala BMW C 400 GT hadir dengan tiga warna – Black Storm (Style Triple Black) baharu, Callisto Grey, dan Alpine White.Kedua-dua model akan disediakan di semua pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah di seluruh negara mulai 20 Ogos 2021. Semua wakil pengedar BMW kini kembali beroperasi, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dengan Pelan Pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW C 400 X dan BMW C 400 GT baharu masing-masing bermula daripada RM 550.00 dan RM 590.00 setiap bulan. Ia berdasarkan anggaran ‘balloon financing’ bagi pinjaman berjumlah 80% untuk tempoh 4 tahun.
Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/warranty.html.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW C 400 X dan BMW C 400 GT baharu ialah:
BMW C 400 X Baharu RM 44,500.00
BMW C 400 GT Baharu RM 48,500.00