BMW Malaysia umum pengemaskinian produk untuk BMW iX xDrive50 Sport baharu.

BMW Malaysia baru sahaja mengumumkan pengemaskinian produk bagi BMW iX xDrive50 Sport baharu, membuktikan komitmen pengeluar kenderaan premium ini untuk mencorak alaf Mobiliti Berelektrik di Malaysia di samping memahat tanda aras baharu bagi pengalaman pemanduan elektrik yang dijanjikan.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Kami teruja untuk memasuki tahun 2023 dengan BMW iX xDrive50 Sport serba baharu, ia mengimbau peristiwa pada bulan Januari 2022 bilamana kami juga telah memperkenalkan model-model BMW i terbaharu di NEXTGen Malaysia. Kenyataan ini menonjolkan komitmen kami ke atas Mobiliti Berelektrik, bukan sahaja untuk meluaskan produk-produk yang kami tawarkan, tapi juga infrastruktur yang tersedia bagi menampung keperluan ekosistem kenderaan elektrik (EV) yang kian berkembang. Usaha kami untuk mengelektrifikasi landskap automotif Malaysia telah berjalan selari dengan agenda kerajaan ke atas visi elektrifikasi, dan kita bakal saksikan banyak lagi kemajuan dalam aspek ini bersama ramai lagi rakan-rakan industri kami yang baharu.”

BMW iX xDrive50 Sport akan didatangkan dengan set roda aerodinamik BMW Individual 1021 multiwarna bersaiz 22 inci dengan gilapan 3D, di samping angkup brek bersaiz 17 inci dalam rona biru. Disediakan secara standard untuk BMW iX xDrive50 Sport baharu juga ialah BMW Iconic Sounds Electric yang menzahirkan suasana bunyi serba imersif dan bertaraf premium.

Pakej cermin sisi yang diperkembangkan juga akan terus melengkapi SAV elektrik tulen ini. Bahasa reka bentuk yang mewah dapat dilihat pada ruang kabin BMW iX xDrive50 Sport baharu, berlatarkan Interior Design Atelier yang menghiasi kabin tersebut secara standard, turut disempurnakan dengan konsol sentral dan ruang meletak tangan yang bermaterialkan Sensatec. Di dalam juga, BMW Live Cockpit Professional akan bersedia untuk mengalukan pemandunya, di samping skrin paparan instrumen melekuk bersaiz 12.3 inci dan skrin paparan sentral 14.9 inci yang disediakan secara standard. Keselesaan dan kemudahan ditawarkan dalam bentuk kerusi multifungsi bagi pemandu, dan ia turut dinaik taraf dengan ruang pengecasan tanpa wayar serta penyaman udara automatik 4 zon. Elemen hiburan pula dibekalkan melalui sistem bunyi keliling Harman Kardon untuk BMW iX xDrive50 Sport.

BMW iX xDrive50 Sport baharu menggandingkan kepuasan pemanduan elektrik yang sebenar dengan ketangkasan, jarak operasi dan juga keefisienan yang luar biasa. Kenderaan elektrik tulen ini mempunyai output berkadar 385 kW/523 kk, mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam tempoh 4.6 saat. Berbekalkan nilai tork maksimum, 765 Nm serta kelajuan tertinggi berhad elektronik yang mencecah 200 km/j, SAV ini dikuasakan oleh pek bateri bersaiz besar dengan kapasiti 111.5 kWj yang membekalkan jarak operasi sejauh 630 kilometer (WLTP) setelah ia dicas penuh.

Hadir bersama Mod Kabel Pengecas Fleksibel 2 serta Mod Kabel Pengecasan Pantas 3, BMW iX xDrive50 Sport baharu dapat dicas dari 0 hingga 80% dalam tempoh 35 minit dengan menggunakan Pengecas Pantas DC, dan 0 hingga 100% dalam tempoh 10 jam 45 minit dengan Pengecas ‘Wallbox’ AC 11 kW. Pemilik BMW iX xDrive50 Sport baharu juga dapat menikmati akses pengecasan di lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara, dikuasakan oleh para pembekal solusi pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

Juga hadir secara standard bagi SAV elektrik tulen ini ialah Panggilan Kecemasan Pintar, Telekhidmat, ConnectedDrive Services, Connected Package Professional, BMW Natural Interaction dan Perlindungan Aktif melalui BMW Live Cockpit Professional yang beresolusi tinggi. Dari segi bantuan, BMW iX xDrive50 Sport baharu menampilkan Driving Assistant Professional, Parking Assistant dan ciri kawalan Luncur berserta dengan fungsi pembrekan.

Pilihan warna yang standard bagi BMW iX xDrive50 Sport baharu meliputi Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, dan Blue Ridge Mountain Metallic. Dua warna baharu juga ditawarkan dengan bayaran tambahan sebanyak RM6,200, iaitu Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic. Bagi ruang interior, pengguna boleh memilih antara Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Hitam, ataupun Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea dengan bayaran tambahan sebanyak RM17,300.

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW iX xDrive50 Sport baharu, sila layari www.bmw.com.my atau hubungi wakil pengedar BMW bertauliah pilihan anda.

Pengintegrasian Telefon Pintar dan Connected Package Professional untuk semua kenderaan mulai tahun 2023.

Bermatlamat untuk terus membekalkan pengalaman bertaraf premium kepada semua pemilik BMW, Pengintegrasian Telefon Pintar[1] (menampilkan Apple CarPlay dan Android Auto), di samping Connected Package Professional akan disediakan secara standard bagi kesemua model BMW mulai tahun 2023 – sekali gus menaik taraf lagi aspek keterhubungan antara pengguna dan kenderaan milik mereka. Ia membekalkan akses yang lebih mudah ke atas aneka fungsi dan juga aplikasi yang biasa mereka gunakan di dalam semua model BMW mulai tahun 2023.

Pengintegrasian tanpa wayar dan serba lancar melibatkan Apple CarPlay dan Android Auto, digandingkan dengan Sistem Operasi BMW 7/8 yang cemerlang akan membekalkan para pemilik sebuah pengalaman keterhubungan yang luar biasa bersama kenderaan mereka. Menu iklim juga masih dapat diakses oleh pengguna tanpa perlu meninggalkan skrin Apple CarPlay atau Android Auto. Eksklusif kepada model yang beroperasi dengan BMW iDrive 8, Apple Maps akan diadaptasi ke dalam Kluster Instrumen serta Papar Pandu (Head Up Display).

Perkhidmatan Jarak Jauh1 membolehkan pengguna mengawal fungsi kenderaan mereka dari jauh dengan mengunci pintu, mengaktifkan pancaran lampu hadapan dan menghidupkan sistem pengudaraan menggunakan aplikasi My BMW. Pengguna juga dapat menikmati ‘Last State Call’ (LSC) yang membekalkan maklumat-maklumat relevan mengenai status kenderaan seperti paras bahan api, perbatuan, status pintu dan tingkap, mesej ‘Check Control’, servis yang belum selesai dan banyak lagi.

Pada tahun 2023, para pemilik juga dapat menikmati fungsi Pengecasan Terhubung[2] dan Navigasi Terhubung2 melalui BMW Maps selama tiga tahun. Pengecasan Terhubung membekalkan keupayaan mudah alih untuk kenderaan elektrik BMW ini – baik di rumah, atas jalan raya, atau di stesen pengecasan awam. Selain membekalkan maklumat kepada pemilik melalui aplikasi My BMW, fungsi Pengurusan Pengecasan juga boleh memaparkan sesi pengecasan yang lalu dan semasa, membolehkan pengguna mengawal dan memeriksa dari jauh sesi pengecasan semasa atau yang akan dibuat nanti. Aplikasi tersebut juga akan memaklumkan pengguna jika pengecasan perlu dibuat.

Sistem navigasi berasaskan awan dalam BMW Maps akan membawakan lebih banyak input alamat yang intuitif di samping pengalaman yang lebih diperkayakan dalam segmen ‘Point of Interest’. Para pemilik juga boleh menghantar destinasi mereka dari aplikasi My BMW ke kenderaan masing-masing dengan mudah menggunakan fungsi ‘Send-to-Car’. Ciri ‘Last Mile’ pula akan membantu pengguna menavigasi ke arah destinasi jika mereka terpaksa berjalan kaki kerana ketiadaan ruang parkir di kawasan berhampiran.

Pengemaskinian Harga Kenderaan BMW dan MINI pada tahun 2023.

BMW Group Malaysia akan terus menawarkan pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh dengan harga baharu untuk BMW dan MINI Malaysia. Berlatarkan cabaran semasa dari segi inflasi global dan kenaikan kos pembuatan, pengemaskinian harga purata berasaskan volum berkadar sekitar 4.7% dan 2.6% akan terpakai bagi kesemua model BMW dan MINI mulai 1 Januari 2023. Walau bagaimanapun, pemilik akan dapat menikmati lebih banyak penambahan ciri baharu dalam semua model BMW dan MINI yang dibeli pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *