BMW M 1000 R baharu menampilkan enjin sebaris 4 silinder berpenyejukan air, dan ia berasaskan enjin jentera BMW S 1000 R. Merekodkan berat 199 kg setelah diisi penuh dengan bahan api, ia membekalkan kuasa yang mengagumkan, mampu menjana 210 kk. Dengan output puncak tork bernilai 152 kW pada paras 13,750 rpm, BMW M 1000 R mampu menjana kuasa tambahan sebanyak 33 kW (45 kk) berbanding jentera BMW S 1000 R dari segi prestasi tulen. Manakala tork maksimumnya pula yang mencecah 113 Nm dapat dijana pada paras 11,000 rpm, berbanding BMW S 1000 R dengan bacaan 114 Nm pada paras 9,250 rpm. Secara komparatif, BMW M 1000 R juga mampu mencapai ligatan (rev) maksimum lebih tinggi pada paras 14,600 rpm. Peningkatan cengkaman roda belakang dalam semua aras gear juga dijamin dengan nisbah gear sekunder yang lebih singkat, sementara nisbah gear ke-4, ke-5, dan ke-6 juga dijadikan lebih singkat, yang dapat memberi sumbangan dari segi tujahan dan cengkaman pada roda belakang.
Di samping komponen enjin, suspensi dan casis BMW M 1000 R baharu juga telah diperhalusi agar ia lebih berpaksikan prestasi. Dengan kerangka titian aluminiumnya yang menjadi tumpuan utama, ia turut dilengkapi dengan sisipan kartrij bertutup, sistem silinder piston hidraulik berasingan. Satu lagi ciri yang baharu ialah keupayaan boleh laras tambahan bagi pangkal spring fork di samping Kawalan Peredam Dinamik (DDC) yang disediakan secara standard. Jentera ini juga didatangkan dengan pengapit bar hendal yang telah diperhalusi, berserta bar hendal tiub aluminium dalam rona hitam yang tampak lebih lebar berbanding jentera BMW S 1000 R, yang turut dihiasi dengan penghurufan “BMW M 1000 R”. Juga baharu ialah cermin sisi yang ditempa daripada aluminium, di samping kaki fork yang juga telah diubah suai dan kini dapat memuatkan angkup brek M yang baharu. Peredam stering berciri boleh laras juga merupakan satu lagi rangkuman yang baharu.
Selain teknologi pacuan dan suspensi, ciri aerodinamik jentera roadster ini turut ditala bagi memenuhi spesifikasi prestasi tinggi model tersebut. BMW M 1000 R hadir dengan sayap lawi M yang baharu di hadapan, yang membekalkan daya turun (downforce) tambahan untuk meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi. Penangkis angin turut dirangkumkan bagi melawan rintangan aerodinamik tambahan yang tercetus ekoran penambahan kecil yang dibuat di bahagian hadapan, termasuk bentuk sayap lawi M tadi. Perincian rekaan aerodinamik ini memastikan jentera tersebut mempunyai kecenderungan “wheelie” yang lebih rendah justeru dapat memecut dengan lebih cepat.
Untuk dinamik tunggangan yang optimum di atas litar lumba dan dalam mod prestasi, brek M juga didatangkan secara standard dengan BMW M 1000 R baharu, yang dipasangkan bersama roda aluminium tempaan ringan secara standard. Bersama, sistem brek tersebut meliputi dua cakera brek 320 mm dengan ukuran tebal 5 mm di samping pendakap cakera brek aluminium beranod dalam rona hitam, serta pam brek tangan. Mengiringi inovasi yang penting ini ialah fungsi Brake Slide Assist – yang amat berguna untuk tunggangan di litar lumba, kerana fungsi tersebut membolehkan penunggang membuat drif brek semasa memasuki selekoh dengan melungsur secara konstan.
Kluster instrumennya terdiri daripada skrin paparan TFT 6.5 inci yang menampilkan takometer baharu dengan julat kelajuan berwarna merah yang telah dilanjutkan di samping animasi M apabila kenderaan dihidupkan, sejajar dengan tema rekaan BMW M 1000 R baharu. Kelengkapan standard yang lain bagi BMW M 1000 R meliputi Titanium ESD, bateri LiO, roda tempaan M, tempat duduk sport M, rantai M Endurance, Tunggangan Tanpa Kunci, spoiler enjin, penggenggam hangat, kawalan luncur, pengantara pengecas USB, tuil klac M dan tuil brek M, lampu membelok LED, TFL, DRC, kit penumpang dan pelitup tempat duduk pembonceng. Turut didatangkan secara standard ialah Shift Assistant Pro, mod-mod tunggangan Pro, dan Kawalan Redaman Dinamik (DDC). BMW M 1000 R disediakan dalam satu skim warna, iaitu Lightwhite / M Motorsport.
Khidmat Pembiayaan.
Dengan Pelan Pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW M 1000 R baharu bermula daripada RM1,928 sebulan (berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun). Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program yang terunggul seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/service-inclusive.html.
Harga runcit bagi BMW M 1000 R baharu (dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) ialah:
BMW M 1000 R Baharu | RM158,500.00 |
Untuk maklumat lanjut mengenai BMW M 1000 R baharu, para pelanggan boleh mengunjungi wakil pengedar BMW Motorrad bertauliah pilihan masing-masing atau melayari www.bmw-motorrad.com.my