BMW Malaysia Meraikan Jiwa Bebas Dinamik yang Dimiliki Para Usahawan Muda dalam Normal Baharu.

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2020 – Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, BMW Malaysia telah diberi ilham oleh Jiwa Bebas Dinamik yang dimiliki para usahawan yang membuat kemunculan sewaktu kepincangan COVID-19 berleluasa.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia berkongsi, “Jiwa bebas dinamik dijulang oleh BMW Group. Ia merupakan titik perubahan dalam sejarah kami yang telah mendorong kami untuk menjadi peneraju dalam industri automotif premium hari ini. Kami dapat menyaksikan semangat yang dijiwai oleh para individu dan usahawan yang bukan sahaja mempamerkan tekad dan azam ketika berhadapan dengan pandemik, malah terus memberanikan diri dan memberi inspirasi. Para usahawan muda di Malaysia memainkan peranan yang penting pada hari ini untuk mewujudkan kelestarian dalam komuniti masing-masing sambil menjadi penyinar harapan buat semua ketika detik yang mencabar ini.”

Sewaktu PKP, pengeluar kenderaan premium ini telah menemui dan mengikuti perjalanan beberapa usahawan dan perusahaan baharu seperti Chunky, Super Secret Social, dan Breakfirst by Amy – serta pengeluar kenderaan premium berkenaan telah menjalin usaha sama dengan mereka ketika jentera BMW M135i xDrive dan BMW X1 sDrive18i terbaharu dirungkaikan baru-baru ini. 

Berikut merupakan nukilan semangat dan kisah mereka yang penuh inspirasi:

Chunky – semanis manisan.

Meskipun terpaksa berada di rumah, Nik Alia Ilani telah menemui jalan untuk menjadikan hidup dalam kuarantin lebih manis ketika berlangsungnya PKP. Chunky – iaitu perniagaan sampingan yang dijalankan oleh Alia dengan menjual biskut coklat lazat yang dihasilkannya sendiri, telah ditubuhkan beberapa bulan sebelum PKP berkuatkuasa dan dalam sekelip mata menjadi satu-satunya sumber pendapatan buat keluarga beliau.

“PKP merupakan detik yang mencabar, namun ia telah mencungkil kreativiti dan sikap proaktif saya untuk mencari solusi yang inovatif dalam perihal melibatkan sumber perniagaan dan penghantaran. Bahkan, kami telah mengambil peluang untuk mempelajari tentang pemasaran digital untuk mencapai pelanggan kami dengan lebih efektif – yang meluangkan lebih banyak masa di dalam talian ketika itu,” ujar Alia. 

Beliau mengusahakan Chunky secara sampingan sebagai projek minat sebelum PKP, sambil memenuhi pesanan kek yang diterima melalui perniagaan utamanya, Raindough Desserts. Setelah penganjuran acara dan majlis terbuka mula menyusut, Alia terpaksa menghasilkan juadah manisannya dalam skala kecil melalui Chunky demi kelangsungan perniagaannya.

Super Secret Social – penyedia hidangan serba eksklusif.

Pandemik bertaraf global ini juga telah mendorong Jonathan Sebastian dan rakan niaganya, Nicolas Grisé, untuk memperkenalkan Super Secret Social kepada Malaysia. Setelah kehilangan mata pencarian ketika PKP, kedua-dua individu ini telah mengambil tindakan segera untuk merealisasikan impian mereka dalam industri kulinari – bermula dengan servis penghantaran makanan ketika PKP, sebelum menubuhkan sebuah restoran eksklusif pada awal fasa PKP Bersyarat.

“Idea restoran eksklusif tersebut telah dikonsepsikan oleh kami berdua hampir lima tahun lalu apabila kami bertemu buat pertama kali. Setelah PKP berkuatkuasa dan pekerjaan kami terjejas, kami menganggap ia sebagai petunjuk untuk mengejar cita-cita kami dalam bidang kulinari. Meskipun dilatari cabaran semasa, ketekunan dan minat merupakan aspek yang penting untuk merealisasikan konsep restoran eksklusif yang kasual ini,” jelas Jonathan.

Menu kedai makan mereka yang memanfaatkan pendekatan ‘farm-to-table’ membezakan mereka dalam arena kulinari, hanya juadah yang menggunakan sumber tempatan dan semula jadi dihidangkan. Haluan organik yang diambil oleh Super Secret Social tidak mencakupi sumber pertanian organik semata-mata, malah mereka mengerah usaha secara berterusan untuk memperoleh sumber pertanian polikultur biodinamik kerana mereka tidak menggalakkan penggunaan hasil pertanian monokultur. 

Breakfirst by Amy – sarapan pagi yang lengkap.

Amelia Lee, pengasas tunggal jenama bakeri dan mentega kacang yang berkhasiat – Breakfirst by Amy, telah mengorak langkah untuk menjadikan minat beliau ke atas amalan pemakanan yang sihat dan seimbang sebagai sebuah perniagaan. Semangat keusahawanan beliau yang tidak dilunturkan oleh situasi semasa, iaitu ketika perniagaan beliau dilahirkan, membolehkan beliau memperkukuhkan pengaruh jenamanya di dalam talian ketika PKP.

Selain mengecilkan skala menunya, Amelia – yang mesra dengan panggilan Amy – bukan sahaja telah berkecimpung dalam pelbagai pasaran dalam talian untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai jenamanya, malah turut berganding bahu dengan jenama-jenama tempatan untuk berkongsi sumber dan menghasilkan pakej-pakej khas buat para pelanggan di Malaysia. Meskipun pandemik semasa telah membantutkan pelan pengembangan yang asal, Amy bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Ketika PKP, komuniti tempatan dilihat memberikan sokongan yang padu, dan saya berharap ia akan berterusan menjangkaui PKP Pemulihan kerana sikap prihatin dan sokongan warga Malaysia mampu menjadi pendorong bagi perusahaan-perusahaan kecil,” ujar Amy.

Terokai Jiwa Bebas Dinamik jentera BMW M135i dan BMW X1 sDrive18i terbaharu, serta para individu dan usahawan yang penuh inspirasi ini di https://youtu.be/Be_CGgeBuVw.
Dapatkan maklumat lanjut mengenai Breakfirst by Amy di https://breakfirstbyamy.com/, Super Secret Social di https://www.supersecretsocial.com/, dan Chunky di https://www.instagram.com/chunky.my/.

GALERI