BMW Group Malaysia Mengunjurkan Sokongan kepada NGO dalam Fasa Susulan Inisiatif Bantuan Makanan.

Kuala Lumpur, 11 Jun 2020 – BMW Group Malaysia terus menyalurkan sumbangan kepada Tenaganita, Refuge for the Refugees, Liga Rakyat Demokratik dan Dapur Jalanan KL demi inisiatif bantuan makanan mereka dengan sokongan logistik untuk menggiatkan proses pengedaran makanan.

Pengeluar kenderaan premium ini telah menawarkan sokongan kepada empat NGO berkenaan sejak minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membekalkan makanan serta barangan keperluan dua kali seminggu buat warga pelarian dan komuniti penghijrah di Lembah Klang.

Sejak lebih sembilan minggu, para sukarelawan dari BMW Group Malaysia – menerusi kolaborasi bersama wakil pengedarnya, Quill Automobiles dan Ingress Auto – telah menawarkan bantuan logistik dalam bentuk kenderaan BMW yang meliputi jentera-jentera SAV (Sports Activity Vehicle) dan sedan. Bantuan dapat dibekalkan kepada keluarga yang terkesan dengan penguatkuasaan tempoh PKP yang panjang, serta susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di lebih 900 lokasi merentasi Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ditunjangi dengan semangat #KitaJagaKita, kami di BMW Group Malaysia menzahirkan perasaan rendah diri kerana berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada misi ini bersama Tenaganita, Refuge for the Refugees, Liga Rakyat Demokratik dan Dapur Jalanan KL untuk menawarkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik pada waktu yang mencabar ini. Kami berasa kagum untuk melihat para sukarelawan yang tidak lekang membantu para keluarga yang terkesan dengan situasi semasa dan kami berharap sumbangan kami dapat meringankan beban dan cabaran yang dihadapi oleh mereka,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia.

Elise Arya Chen, Pegawai Program di Tenaganita berkata, “Sokongan dan komitmen yang kami terima sejak dua bulan yang lalu daripada semua rakan penaung, penyumbang dan sukarelawan telah memperlihatkan impak positif yang dapat dicetuskan bila warga Malaysia berganding bahu untuk mengambil bahagian dalam suatu usaha yang lebih besar daripada diri kita sendiri. Kini kita sedang melalui fasa PKPP, namun golongan yang tersisih di Malaysia terus berhadapan dengan pelbagai cabaran. Meskipun inisiatif ini dijadualkan untuk disimpul dalam fasa yang berikutnya, kami akan terus memberikan komitmen ke atas program bantuan makanan ini untuk memenuhi keperluan warga komuniti selagi kita masih boleh berbuat demikian.”

Mohd Ezzuandi Ngadi, Wakil Dapur Jalanan KL turut berkongsi, “Inisiatif ini memainkan peranan yang penting untuk menampung keperluan lebih 45,000 individu di seluruh Lembah Klang sejak PKP bermula, yang kebanyakannya terdiri daripada ibu dan bapa tunggal serta warga emas dalam golongan B40. Meskipun kami cuba berharap agar pendapatan harian mereka pulih ketika PKPP, ia tidak bermakna usaha kami akan dihentikan begitu sahaja.”

Bantuan dan sumbangan kepada inisiatif ini boleh dibuat terus kepada:

CIMB: Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Pelarian

No. Akaun: 8000499285

Rujukan: MCO Grocery Aid

Sebagai alternatif, sumbangan juga boleh disalurkan kepada https://www.simplygiving.com/event/bmw-foodrelief.

Bagi setiap RM60 yang disumbangkan, sebuah keluarga lima beranak dapat ditampung dengan bekalan makanan yang asas selama dua minggu. Pek barangan runcit yang dibekalkan merangkumi beras, telur, tepung, minyak masak, ubi kentang, makanan bertin, dan sebagainya.