Kuala Lumpur, 11 September 2020 – BMW Group Malaysia telah merungkaikan BMW Shorties Tahun ke-14 pada hari ini, iaitu pertandingan filem pendek yang paling berprestij dan dengan sejarah penganjuran yang paling lama di Malaysia.
“Sepanjang 13 tahun yang dihiasi dengan kejayaan BMW Shorties, BMW Group Malaysia berbangga untuk meneroka dan mendukung lebih daripada 1,000 pembikin filem dan kandungan digital di seluruh negara – iaitu para pemilik bakat yang merentasi pelbagai genre dan aliran. Meskipun dilatari situasi yang mencabar dalam era normal baharu ini, BMW Shorties masih bingkas, khususnya dalam edisi tahun yang ke-14 sebagai platform kreatif bagi bakat-bakat baharu,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia.
BMW Shorties 2020 mempersembahkan “CHARGE”, tema yang tepat untuk normal baharu kerana ia mencabar rakyat Malaysia untuk bukan sahaja memupuk perubahan, namun berdaya bingkas untuk mengecapi kejayaan; melangkah ke aras yang lebih tinggi lagi.
“Untuk BMW Shorties kali ini, bezanya ialah kita harus kekal bersemangat untuk menempuhi situasi semasa yang menyelubungi seluruh dunia. Tahun ini memaksa kita untuk menghadapi dan mengatasi cabaran, dalam apa jua industri kita. CHARGE merangkapkan pendekatan kami dengan sempurna untuk tahun ini, dan kami yakin sentimen ini bukan sahaja dapat dikongsi oleh para pembikin filem dan kandungan digital di Malaysia, malah mampu menyuntik semangat mereka,” tambah Ambi.
BMW Shorties ke-14 mempelawa tiga ahli baharu untuk menyertai barisan juri yang teriktiraf. Tahun 2020 menyaksikan semula Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang dan You Mean The World To Me) dan Indrani Kopal (The Game Changer dan Incarcerated Rhythm); berserta juri-juri baharu yang terdiri daripada pengarah yang teriktiraf, Tony Pietra Arjuna (TRAIN STATION dan SHADOWPLAY); pengarah terkemuka di peringkat antarabangsa, Nadiah Hamzah (Motif), serta bekas juri BMW Shorties, Ho Yuhang (Rain Dogs dan The Ghost Bride).
Indrani berkata, “Situasi yang melanda tahun ini benar-benar tidak dijangka. Sebagai juri sekali lagi, saya ingin melihat filem-filem yang dibuahkan oleh individu yang memiliki semangat dan dorongan. Saya juga tertanya-tanya karya apa yang bakal dihasilkan oleh para peserta, dek situasi yang kita semua telah tempuhi pada tahun ini.”
“Ramai yang membazirkan masa dengan penantian untuk membikin satu filem sempurna yang bakal mengukir haluan kerjaya mereka di pentas perfileman. Bayangkan jika semua masa itu diluangkan untuk mencipta dan mengasah kemahiran mereka. Saya selalu menasihatkan para pembikin filem dan kandungan digital untuk mengambil kamera mereka, dan rakam sahaja sesuatu! Cerita ialah segala-galanya, jadi sesebuah filem haruslah dinukilkan dengan sejujur yang mungkin,” jelas Nadiah.
“Pada hemat saya, proses pembelajaran yang dilalui para peserta merupakan komponen yang paling penting dalam BMW Shorties – belajar untuk menceritakan kisah mereka, untuk mencetus impak secara halus, untuk menyuntik nafas ke dalam karya mereka. Terdapat banyak perkara yang ingin saya lihat sebagai juri sekali lagi; Saya yakin bahawa bukan sahaja bakat-bakat tempatan mampu merakamkan cerita-cerita yang hebat – malah saya berharap, seperti saya, industri seni juga akan menghargai karya mereka,” ungkap Ho Yuhang.
“Menerusi BMW Shorties, saya berhasrat untuk melihat lebih banyak cerita-cerita Malaysia yang mampu menambat hati rakyat Malaysia dan audiens antarabangsa. Matlamatnya adalah untuk membawa cerita-cerita tempatan ini sejauh yang mungkin. Dengan cara ini, kita mampu mengilap bakat-bakat tempatan,” jelas Tony.
Saw turut menyatakan bahawa beliau ingin melihat pemerkayaan diversiti dalam cerita dan suara yang dipersembahkan pada tahun ini, yakni setelah BMW Shorties menobatkan Ekin Kee Charles sebagai wanita Malaysia Timur yang pertama menjulang hadiah utama pada tahun 2019. “Saya percaya jurang peluang yang wujud bagi seluruh rakyat Malaysia semakin mengecil, dan sokongan ke atas keinklusifan dan diversiti dalam sesebuah cerita amat diperlukan sekarang,” simpul beliau.
BMW Shorties 2020 sekali lagi akan menghadiahkan pemenang utama sebuah geran produksi yang bernilai RM 80,000. Pelbagai faset pembikinan filem juga akan diiktiraf melalui kategori-kategori penganugerahan seperti: Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Pelajar Terbaik, serta Anugerah Pilihan Popular.
Penyertaan dibuka mulai sekarang sehingga jam 6:00 petang pada 1 November 2020. Maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya boleh didapati di laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau laman Facebook rasmi BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram rasmi di www.instagram.com/bmwshorties.