Kuala Lumpur, 4 Ogos 2020 – BMW Group Malaysia telah merungkaikan solusi khidmat pelanggan tanpa sentuh yang baharu dengan perkhidmatan Pintu ke Pintu – menerusi usaha sama yang dijalin dengan Allianz Worldwide Partners untuk menaik taraf pengalaman pemilikan premium yang dijanjikan oleh BMW.
“Perkhidmatan Pintu ke Pintu ini merupakan satu langkah ke hadapan yang lazim bagi kami dalam usaha untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggan. Perkhidmatan baharu ini bukan sahaja akan meminimumkan sentuhan fizikal antara pelanggan dan wakil pengedar BMW ketika normal baharu ini, malah turut menawarkan kemudahan dengan mengintegrasikan perkhidmatan premium kami ke dalam rutin harian para pelanggan. Dengan berada selangkah di hadapan, kami dapat melangsungkan penawaran pengalaman pemilikan yang terbaik buat pelanggan-pelanggan kami, di samping memaksimumkan efisiensi barisan wakil pengedar kami,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
Pelanggan BMW dan MINI di seluruh negara kini boleh meminta dan menerima servis kenderaan daripada wakil pengedar pilihan masing-masing tanpa meninggalkan rumah mereka. Pembekal servis BMW akan ditugaskan untuk memperoleh kenderaan BMW atau MINI milik pelanggan dari rumah mereka dan memindahkan kenderaan tersebut ke pusat pengedaran yang terpilih untuk diservis. Setelah servis tersebut disempurnakan, kenderaan berkenaan akan dikembalikan kepada pelanggan di lokasi yang diinginkan oleh pelanggan tersebut.
Di samping itu, perkhidmatan Pintu ke Pintu ini memberi peluang kepada pelanggan untuk menjadualkan penghantaran kenderaan BMW atau MINI baharu mereka terus dari pusat pengedaran yang dipilih. Kenderaan baharu tersebut akan dihantar melalui trak ‘flatbed’ – bergantung kepada lokasi dan kemahuan pelanggan.
Kerjasama dengan Allianz Worldwide Partners bagi perkhidmatan Pintu ke Pintu ini membolehkan pelanggan BMW dan MINI berlapang dada, rentetan daripada liputan jaringan yang ekstensif wujud di seluruh Malaysia, termasuk waktu pelaksanaan yang singkat, dan penguatkuasaan langkah keselamatan COVID-19 yang ketat untuk memastikan pelanggan dan pembekal perkhidmatan dilindungi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Pintu ke Pintu ini, sila layari https://bit.ly/bmw-door-to-door-delivery-service. Para pelanggan juga boleh menghubungi pusat pengedaran pilihan masing-masing untuk mendapatkan butiran lanjut.