BMW Group Financial Services Malaysia Bertekad untuk Menggiatkan Lagi Penerimagunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

Kuala Lumpur, 5 Oktober 2020 – BMW Group Financial Services Malaysia telah memberi komitmen pada hari ini, bagi pihak para pelanggan mereka, untuk menyumbang RM100 kepada program subsidi BMW Safety 360° bagi setiap kontrak yang dibiayai melalui platform pembiayaan dalam taliannya – BMW Engage. Dengan meluangkan 15 minit sahaja untuk menghantar permohonan menerusi BMW Engage, para pelanggan boleh menyumbang secara tidak langsung ke atas usaha murni ini melalui BMW Group Financial Services.

BMW Engage ialah platform pembiayaan yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia untuk menawarkan fleksibiliti kepada para pelanggan untuk memohon dan memperoleh prakelulusan bagi pembiayaan mereka dari keselesaan rumah masing-masing melalui sebuah proses permohonan yang ringkas. Ia juga melengkapi sumbangan menyeluruh BMW Group ke atas kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas dalam proses-proses digitalnya.

“Meskipun kerajaan telah menangguhkan penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sehingga hujung tahun ini, kami berharap para ibu bapa sedar betapa pentingnya CRS untuk memelihara keselamatan anak-anak mereka di atas jalan raya – biarpun jarak perjalanannya pendek atau panjang. Namun, kami sedar bahawa sokongan terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak ialah tanggungjawab bersama, dan dengan BMW Safety 360° serta rakan-rakan penaungnya, kami juga ingin menggalas tanggungjawab untuk memastikan banyak lagi kerusi keselamatan kanak-kanak dapat diakses oleh golongan dalam kumpulan pendapatan B40,” jelas Tobias Eismann, Pengarah Urusan BMW Group Financial Services Malaysia.

Sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°, program subsidi ini telah diperkenalkan pada bulan Disember 2019 bersama Safe ‘n Sound dan Childline Foundation yang telah menyaksikan 150 unit kerusi keselamatan kanak-kanak ditawarkan pada harga bersubsidi bernilai RM100 seunit. Inisiatif berkenaan telah meraih lebih daripada 25,000 pendaftaran oleh pihak ibu bapa dalam kumpulan pendapatan B40.

Fasa kedua program subsidi ini memberi tumpuan untuk melengkapi para pendaftar yang berbaki daripada fasa pertama dengan aneka kerusi keselamatan kanak-kanak snskidz bagi anak-anak dalam julat usia baru lahir sehingga berat mencecah 36kg. Program ini terus disokong oleh Shopee sebagai Rakan E-Dagang Eksklusif, bersama jenama-jenama barangan bayi dan kanak-kanak seperti KU.KU Duckbill dan Otomo, pengedar mainan dan permainan bercorak pendidikan; Mideer, pengedar permainan dan alat mainan didikan; Ankou, pembekal solusi pengedap stor makanan; dan Kakimotor, pembekal alat ganti dan aksesori kereta.

Setiap kerusi keselamatan kanak-kanak snskidz ditawarkan dengan subsidi berjumlah RM50, berserta diskaun harga oleh Safe ‘n Sound yang eksklusif bagi para benefisiari program subsidi ini. Para benefisiari akan diberikan baucar Shopee bernilai RM113 yang boleh digunakan bagi pembelian di laman mikro khas ini: https://shopee.com.my/m/bmw-child-safety-seat-subsidy-programme.

“Bersama rakan-rakan penaung kami, kami berbesar hati kerana telah berpeluang untuk membantu memelihara keselamatan 170 kanak-kanak di atas jalan raya setakat ini. Sokongan BMW Group Financial Services Malaysia menerusi BMW Engage hadir tepat pada masanya ketika kami terus melangsungkan usaha untuk melengkapi lebih ramai ibu bapa dengan kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum akhir tahun ini. Sekali lagi, kami ingin menggesa para individu, rakan kongsi dan syarikat yang mampu menyalurkan sokongan – sama ada dengan meningkatkan kesedaran mengenai topik ini melalui pendidikan, menjadikan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih mudah untuk diakses, atau dengan menghubungi kami untuk menjalin kolaborasi – agar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dapat dijadikan satu keperluan bagi para ibu bapa mulai sekarang,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Engage atau untuk memperoleh prakelulusan pembiayaan, sila layari https://www.bmwfs.my/.