BENELLI 752S AKHIRNYA MEMBUAT PENAMPILANNYA DI PASARAN MALAYSIA HARI INI

PULAU PINANG, 5 FEBRUARI 2021 – Selepas pelancaran Benelli 752S pada tahun 2018, kini ia sudah pun berada di pasaran Malaysia dengan harga saranan RM37,888.00 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. 752S ini menampilkan reka bentuk moden, ringkas dan dinamik yang dibuat khas untuk memenuhi citarasa setiap penunggang. Untuk anda peminat motorsikal berkuasa besar ini, ia didatangi dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan hijau.

Benelli 752S yang dilengkapi dengan kemampuan enjin empat lejang 750cc ini memiliki kuasa maksimum 76Hp apabila mencecah 8,500 r/min dan tork maksimum 67N.m pada 6,500 r/min untuk daya tarikan yang berterusan dan progresif. Apa yang menjamin perjalanan yang lancar sepanjang menunggang adalah fork terbalik Marzocchi pada suspensi hadapan manakala di bahagian belakang terdapat lengan berayun dengan monoshock boleh laras mengikut pilihan.

Yang perlu diberi perhatian semestinya mengenai keselamatan penunggang, oleh itu motorsikal seberat 226kg ini memiliki ciri-ciri sistem brek Brembo, dengan cakera separa terapung berdiameter 320mm di depan dan kaliper empat-piston, dan cakera berdiamater 260mm di bahagian belakang dengan caliper piston berganda berserta ABS untuk brek hadapan dan belakang.

Berbeza dengan kebiasaan, Benelli 752S menggunakan paparan thin-film transistor (TFT). Ini kerana, paparan TFT lebih terang dan jelas berbanding LCD biasa. Ia juga menunjukkan paparan atau pergerakan dengan lebih lancar.

Benelli 752S kini sudah pun berada di pasaran dan anda boleh dapatkannya segera di semua premis pengedar sah Benelli. Dengan pembelian motosikal ini, anda dapat menikmati waranti dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana yang lebih dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti dalam talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.