Motosikal kini semakin maju dengan teknologi dan reka bentuk termaju di pasaran. Jentera yang dihasilkan menjadi semakin canggih dan laju di jalan raya tak kira apa pun jenama, itu hakikatnya. Tetapi, ada beberapa perkara penting yang kita terlepas pandang dalam mengendalikan jentera dua roda ini.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah pengalaman dan kemahiran. Kita kerap membuat pertimbangan yang salah antara litar lumba dan jalan raya umum yang kita gunakan setiap hari. Pengendalian dan kemahiran di litar lumba hanya tertumpu kepada teknik antara jentera, penunggang, litar dan pelumba lain. Litar adalah kemahiran perlumbaan dalam menguasai kelajuan dan kemahiran mengawal jentera, dan ini adalah penting.
Satu perkara yang kita hampir terlupa apabila menunggang di jalan raya dengan motosikal masing-masing terutamanya motosikal berkuasa tinggi. Ini tidak bermakna motosikal berkuasa rendah tidak terdedah kepada bahaya, tetapi apa sahaja kenderaan yang memiliki kuasa dan kelajuan yang lebih, faktor risiko juga turut sama meningkat bahayanya.
Banyak kisah kemalangan yang disiarkan di berita adalah akibat kecuaian sendiri dan orang lain. Pengetahuan mengenai selok-belok keadaan jalan raya setempat dan kelajuan kenderaan harus dititik beratkan sebagai pengetahuan asas sebelum seseorang itu menjadi penunggang motosikal.
Tidak kira kecil atau besar jentera yang kita bawa, pengaruh keadaan sekeliling boleh menyumbang kepada keadaan berbahaya jika ia tidak dikawal, terutamanya sikap bersaing ketika di jalan raya, sikap marah, tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan banyak lagi yang boleh menjadikan kita lupa diri.
Diri kita hendaklah sentiasa dalam keadaan bersedia terutamanya kesihatan tubuh badan. Fikiran hendaklah sentiasa tenang apabila berada di atas jalan raya dan ini akan memudahkan kita untuk lebih fokus dan cekap membuat penilaian untuk suatu keputusan terutama sekali dalam keadaan kecemasan.
Sentiasa ukur kemampuan diri sendiri dan jangan mudah terpengaruh dengan orang lain terutamanya dalam perkara melibatkan kemahiran pengendalian motosikal kerana ia boleh mengundang kecelakaan jika berlaku kecemasaan semasa menunggang. Contohnya seperti situasi mengawal motosikal berkuasa tinggi yang jarak dan kelajuannya dari satu titik ke titik yang lain amat pantas untuk dicapai.
Patuhi had kelajuan setempat di kawasan yang kita lalui dan perhatikan persekitaran sekeliling di sepanjang perjalanan kerana bahaya ada dimana-mana. Ia umpama jerangkap samar.
Kurangkan atau hindari sikap menunggang dalam keadaan tergopoh-gapah di jalan raya terutamanya di kawasan yang banyak kenderaan, simpang, rumah, di dalam bandar, kawasan sekolah dan jalan raya luar bandar.
Kenali setiap jentera yang anda bawa kerana tidak semuanya sama walaupun ia mempunyai dua roda. Sebuah motosikal, samada sebuah skuter hinggalah “superbike”, amat berbeza cara mengendalikannya. Salah pertimbangan boleh membawa padah. Sehebat manapun saudara di litar lumba, apabila berada di jalan raya, anda akan terdedah dengan semua kemungkinan dan risiko yang akan ditempuh.
Utamakan keselamatan sebelum menunggang motosikal di jalan raya. Ingatlah ia hanya keseronokan yang boleh berubah menjadi kekecewaan yang amat pedih buat diri anda, keluarga dan sahabat.